D-manosa (tablet gula) untuk mencegah atau merawat jangkitan saluran kencing dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak

Apakah isunya?

Jangkitan saluran kencing (UTI) sangat biasa di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya 50% wanita akan mengalami UTI sekali seumur hidup mereka. Kira-kira 15% hingga 25% orang dewasa dan kanak-kanak mengalami UTI berulang dan jangka panjang. Dalam kebanyakan orang, antibiotik piawaian adalah tidak berkesan.

D-manosa ialah gula yang merupakan sebahagian daripada diet biasa dan dipercayai menghasilkan permukaan tidak melekat pada dinding pundi kencing, serta di sekeliling bakteria. Oleh itu, bakteria boleh dikeluarkan ketika membuang air kecil. Ini menghalang pertumbuhan bakteria yang membawa kepada jangkitan di dalam pundi kencing atau saluran kencing.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mengkaji semula semua bukti tentang D-manosa (tablet atau serbuk) untuk melihat sama ada ia boleh mencegah atau merawat UTI dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Bukti adalah terkini sehingga 22 Februari 2022.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui tujuh kajian yang mendaftarkan 719 peserta, kebanyakannya terdiri daripada wanita yang mengalami UTI berulang (sekurang-kurangnya 2 episod dalam 6 bulan atau 3 episod dalam 12 bulan) secara jangka panjang. Kami tidak dapat menggabungkan data kerana setiap kajian menyiasat jenis persediaan D-manosa yang berbeza, populasi yang berbeza, dan kumpulan kawalan yang berbeza. Kami tidak dapat menentukan sama ada mengambil D-manosa berbanding dengan tanpa rawatan, suplemen lain atau antibiotik mengurangkan bilangan episod UTI berulang. Hanya sebilangan kecil peserta yang mengalami cirit-birit atau sensasi terbakar pada faraj sebagai kesan sampingan.

Kualiti bukti adalah rendah. Kajian-kajian telah dijalankan menggunakan kaedah berkualiti rendah dan tidak mendaftarkan pesakit yang mencukupi. Hanya dua daripada tujuh kajian yang "membutakan" peserta (menyembunyikan jenis rawatan dari mereka) terhadap rawatan yang mereka terima.

Ringkasan

Tiada bukti yang mencukupi untuk mengetahui sama ada D-manosa mencegah atau merawat UTI akut atau berulang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information