Apakah faedah dan risiko rawatan yang berbeza untuk patah siku pada kanak-kanak?

Mesej utama

- Kanak-kanak dengan patah tulang siku suprakondilar (tulang patah di bahagian atas siku, kira-kira 5 cm di atas sendi siku) mungkin mempunyai risiko kecederaan saraf yang lebih rendah jika dua atau lebih wayar dimasukkan dari bahagian luar siku dan bukannya satu wayar dimasukkan dari bahagian dalam siku dan satu dari luar (wayar bersilang). Kaedah yang digunakan oleh doktor untuk menggerakkan semula tulang secara manual mungkin tidak meningkatkan atau mengurangkan risiko kecederaan saraf, tetapi menggunakan kaedah tertutup boleh mengurangkan risiko jangkitan.

- Kerana kami tidak menemui kajian yang mencukupi tentang rawatan lain untuk patah siku ini, faedah dan risikonya tidak jelas.

- Lebih banyak kajian yang direka bentuk dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang faedah dan kemudaratan rawatan lain. Kajian ini harus memberi tumpuan kepada hasil yang berkaitan dengan pergerakan siku, serta kualiti hidup dan betapa kecewanya kanak-kanak itu.

Apakah patah tulang siku suprakondilar?

Tulang patah jenis ini berada pada tulang lengan atas, lebih kurang 5 cm di atas sendi siku. Ia adalah tulang patah yang paling biasa pada siku semasa zaman kanak-kanak, dan boleh menjejaskan fungsi harian kanak-kanak serta keupayaan mereka untuk bermain dan bersukan.

Bagaimanakah tulang patah ini dirawat?

Rawatan berbeza mengikut sama ada tulang telah terkeluar dari kedudukan. Jika ia telah bergerak, doktor boleh menggerakkan semula secara manual ke kedudukan normal. Doktor melakukan ini menggunakan 'pengurangan tertutup' (tanpa membuka kulit) atau 'pengurangan terbuka' (selepas kulit dibuka).

Semasa pembedahan, wayar logam digunakan untuk menahan tulang di tempatnya semasa ia sembuh. Doktor mungkin menggunakan jenis dan bilangan wayar yang berbeza, yang dimasukkan dari sudut yang berbeza.

Jika tulang tidak bergerak, pembedahan mungkin tidak diperlukan. Dalam kes ini, rawatan untuk menahan tulang pada tempatnya semasa ia sembuh termasuk menggunakan acuan tuangan plaster, anduh atau menggunakan daya tarikan (dengan pemberat, tali dan takal).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu:

- jenis rawatan yang paling berkesan untuk menyembuhkan tulang dengan berkesan; dan

- sama ada rawatan ini dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan dua jenis rawatan ini. Rawatan yang paling biasa ialah:

- rawatan pembedahan menggunakan pelbagai jenis wayar logam selepas tulang diletakkan semula;

- pengurangan terbuka atau pengurangan tertutup;

- pembedahan atau bukan rawatan pembedahan; dan

- rawatan bukan pembedahan yang berbeza

Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 52 kajian dengan 3594 kanak-kanak. Kebanyakan kanak-kanak berumur kira-kira 5 hingga 8 tahun dan kebanyakannya lelaki. Kajian telah dijalankan di negara-negara di seluruh dunia; 33 kajian telah dijalankan di negara-negara di Asia Tenggara. Sangat sedikit kajian melaporkan bagaimana mereka dibiayai.

Hasil-hasil utama

- Wayar yang dimasukkan hanya dari bahagian luar siku boleh mengurangkan risiko kecederaan saraf berbanding wayar bersilang (dimasukkan dari luar dan juga dari dalam siku). Walau bagaimanapun, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara rawatan ini dalam bilangan kanak-kanak yang mengalami jangkitan di mana wayar logam telah dimasukkan (jangkitan tapak pin). Kami tidak tahu sama ada salah satu daripada rawatan ini menjejaskan fungsi siku, risiko memerlukan pembedahan tambahan, atau sebarang kecacatan siku jangka panjang (di mana siku tidak lagi bentuk normal).

- Kaedah awal yang digunakan untuk menggerakkan tulang kembali ke kedudukan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko kecederaan saraf. Walau bagaimanapun, kanak-kanak mungkin mempunyai kurang jangkitan tapak pin apabila pengurangan tertutup digunakan.

- Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara menggunakan wayar logam untuk membetulkan tulang atau menahan tulang pada tempatnya dengan acuan yang memerlukan pembedahan tambahan, kecederaan saraf, jangkitan tapak pin atau kecacatan siku. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang dapatan ini.

- Kami tidak tahu sama ada tuangan plaster berbanding anduh mempunyai sebarang kesan ke atas risiko kecederaan saraf atau jangkitan tapak pin.

Apakah batasan bukti yang disertakan?

Kebanyakan kajian sama ada tidak direka bentuk dengan baik atau tidak melaporkan dengan jelas bagaimana ia dijalankan. Ini bermakna kami kurang yakin atau tidak yakin dengan penemuan mereka. Keyakinan kami juga berkurangan kerana tidak cukup kanak-kanak dalam kajian untuk memastikan penemuan mereka. Ada kemungkinan juga bahawa kajian yang kami temui telah melebih-lebihkan penemuan dan beberapa kajian dengan keputusan alternatif mungkin tidak dijumpai.

Adakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information