Strategi manakah yang mungkin mempengaruhi berapa tepat dan berapa lama pesakit fibrosis sista melengkapkan fisioterapi dan senaman dada?

Latar belakang

Fibrosis sista (CF) adalah keadaan genetik yang progresif dan menghadkan hayat yang mempengaruhi banyak sistem dalam badan, terutama paru-paru. Di UK, 1 dalam setiap 2500 bayi didiagnos dengan CF. Fisioterapi adalah bahagian rawatan yang sangat penting untuk orang dengan CF. Dua matlamat utama fisioterapi dada adalah untuk membersihkan lendir melekit dari saluran pernafasan untuk mengelakkan jangkitan berulang dan kerosakan paru-paru dan untuk mengekalkan kecergasan fizikal melalui senaman.

Fisioterapi dada boleh membantu mencegah kesihatan yang buruk dan kemasukan ke hospital dan boleh menyumbang untuk memperbaik kualiti hidup dan jangka hayat, tetapi ia sering dianggap sebagai satu beban. Orang dengan CF mungkin perlu melengkapkan tujuh atau lebih rawatan fisioterapi dada sehari, yang boleh memakan masa, meletihkan dan mengganggu. Akibatnya, orang dengan CF mungkin melengkapkan 30% sesi fisioterapi mereka, dengan kadar yang sering menurun semasa beberapa peringkat dalam kehidupan seseorang (seperti masa remaja). Walaupun senaman sering dilihat lebih positif oleh orang dengan CF, mereka kemungkinan tidak selalu melakukan senaman kerana keletihan, rasa tidak sihat atau kekurangan masa.

Kami ingin meneroka perkara yang boleh kami lakukan untuk menggalakkan orang dengan CF melengkapkan lebih banyak fisioterapi dada atau senaman yang dirancang untuk mereka. Kami berminat dengan pelbagai strategi yang mungkin termasuk risalah, video, aplikasi mudah alih, ganjaran, alat motivasi, permainan senaman, diari dan mesej teks.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian berkualiti tinggi orang dengan CF (berumur tujuh tahun dan ke atas). Kami merancang untuk sertakan sebarang strategi yang bertujuan memperbaik pematuhan kepada fisioterapi dada atau senaman berbanding tanpa strategi, penjagaan biasa atau jenis strategi lain.

Apa yang kami dapati?

Kami hanya mendapati dua kajian yang boleh disertakan dalam ulasan kami. Satu ialah kajian pendidikan untuk memperbaik pematuhan kepada senaman, dan yang kedua ialah kajian motivasi untuk meningkatkan pematuhan kepada fisioterapi dada.

Dalam kajian senaman (34 peserta), mereka yang menerima manual bertulis dilihat lebih aktif secara fizikal di akhir kajian, berbanding mereka yang diberi nasihat lisan sahaja, tetapi kami tidak pasti sama ada ini adalah disebabkan oleh manual. Tiada perbezaan lain antara kumpulan dari segi kualiti hidup, fungsi paru-paru atau kapasiti senaman.

Dalam kajian fisioterapi dada (43 peserta), kami tidak pasti sama ada mendengar muzik yang digubah khas semasa fisioterapi dada membawa kepada lebih banyak masa yang dihabiskan untuk melengkapkan rawatan. Kami tidak mendapati mendengar muzik pilihan pesakit sendiri semasa melakukan fisioterapi melengkapan lebih rawatan berbanding tidak mendengar sebarang muzik. Kami tidak menemui sebarang perbezaan dalam kemasukan ke hospital akibat jangkitan paru-paru dalam mana-mana kumpulan.

Apakah batasan bukti?

Dalam kedua-dua kajian, kumpulan adalah sangat kecil dan terdapat masalah dalam reka bentuk kajian dan pelaporan. Ini bermakna kebolehpercayaan keputusan mungkin terjejas. Akibatnya, bukti strategi untuk memperbaik pematuhan kepada fisioterapi dan pematuhan kepada senaman adalah sangat tidak pasti. Walaupun kajian-kajian ini mencadangkan beberapa strategi yang mungkin membantu, penyelidikan masa depan perlu mempertimbang cara untuk mengukur kepatuhan dengan tepat. Sementara itu, ahli fisioterapi yang merawat orang dengan CF harus mengikut garis panduan setempat dan standard penjagaan kebangsaan yang berkait dengan CF dan pematuhan rawatan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 28 Mac 2023.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information