Adakah katil, tilam dan penutup tilam dengan permukaan berisi udara yang mengagihkan semula tekanan di bawah badan secara berkala dapat mencegah ulser tekanan?

Mesej utama

Katil, tilam dan penutup tilam yang mengagihkan semula tekanan di bawah badan secara berkala mungkin dapat mengurangkan kemungkinan untuk ulser tekanan terhasil apabila dibandingkan dengan permukaan yang:

- memberikan tekanan berterusan pada kulit; dan

- diperbuat daripada busa atau gel.

Namun, mereka boleh meningkatkan risiko terjadinya ulser tekanan dalam kalangan penghuni rumah jagaan jika dibandingkan dengan permukaan udara yang memberikan tekanan berterusan.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengukuhkan bukti yang membandingkan permukaan berisi udara dan permukaan lain. Kajian pada masa depan harus memberi tumpuan kepada kesan yang penting bagi pembuat keputusan, termasuklah:

- sama ada dan bila ulser tekanan terjadi;

- kesan yang tidak diingini; dan

- kos.

Apakah itu ulser tekanan?

Ulser tekanan juga dikenali sebagai luka tekanan atau kudis tekanan. Ianya adalah luka pada kulit dan tisu bahagian bawahnya yang disebabkan oleh tekanan atau geseran yang berpanjangan. Ianya sering terjadi pada bahagian tubuh yang bertulang, seperti tumit, siku, pinggul dan bahagian bawah tulang belakang. Orang yang mempunyai masalah pergerakan atau yang berbaring di atas katil bagi jangka masa yang panjang berisiko mengalami penyakit ulser tekanan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Terdapat katil, tilam dan penutup tilam yang direka khas untuk orang yang berisiko mengalami ulser tekanan. Ianya boleh diperbuat dari pelbagai bahan (seperti busa, sel udara atau beg air) dan dibahagikan kepada dua kumpulan:

- permukaan reaktif (statik) yang memberi tekanan berterusan pada kulit, kecuali seseorang itu bergerak atau diposisikan semula; dan

- permukaan aktif (tekanan berselang-seli) yang mengedarkan semula tekanan di bawah badan secara berkala.

Kami ingin mengetahui sama ada permukaan yang aktif dan berisi udara:

- mencegah ulser tekanan;

- selesa dan meningkatkan kualiti hidup orang;

- mempunyai faedah kesihatan yang melebihi kosnya (keberkesanan kos); dan

- mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian yang menilai kesan katil, tilam dan penutup tilam dengan permukaan aktif yang berisi udara. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menjumpai 32 kajian (9058 orang, usia purata: 69 tahun) yang berlangsung antara tiga hingga 180 hari (purata: 14 hari). Kajian membandingkan permukaan aktif dan berisi udara dengan:

- permukaan busa, serat, berisi air atau gel; dan

- permukaan berisi udara yang lain.

Pencegahan ulser tekanan

Bukti menunjukkan bahawa permukaan yang aktif dan berisi udara mungkin dapat mengurangkan risiko terjadinya ulser tekanan jika dibandingkan dengan:

- permukaan busa;

- permukaan gel yang digunakan pada meja operasi diikuti dengan permukaan busa yang digunakan pada katil hospital, untuk orang yang menjalani pembedahan.

Walau bagaimanapun, permukaan aktif berisi udara boleh meningkatkan risiko terjadinya ulser tekanan jika dibandingkan dengan permukaan reaktif (1 kajian, 308 penghuni rumah jagaan, durasi: 14 hari).

Tidak jelas jika permukaan aktif yang berisi udara menghalang ulser tekanan berbanding dengan permukaan selain permukaan busa reaktif, gel atau berisi udara.

Jenis permukaan aktif yang berisi udara mungkin dapat membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk mencegah ulser tekanan.

Kesan lain

Permukaan yang aktif dan diisi udara mungkin lebih berkesan kos daripada busa. Tilam dengan permukaan yang aktif dan berisi udara mungkin lebih berkesan kos daripada penutup tilam dengan permukaan yang sama.

Kami tidak menemui bukti yang cukup kukuh dan jelas untuk menentukan bagaimana permukaan aktif berisi udara mempengaruhi keselesaan, kualiti hidup dan kesan yang tidak diingini.

Apa yang membataskan keyakinan kami terhadap bukti?

Sebilangan besar kajian adalah kecil (purata 83 orang) dan lebih daripada dua pertiga kajian (25 kajian) menggunakan kaedah yang cenderung untuk memperkenalkan kesalahan dalam hasilnya.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information