Adakah tilam dan penutup tilam yang diperbuat daripada busa dapat mencegah ulser tekanan?

Mesej utama

Tilam dan penutup tilam yang diperbuat daripada busa:

- boleh meningkatkan risiko mengalami ulser tekanan jika dibandingkan dengan permukaan yang dipenuhi udara;

- mungkin kurang jimat daripada permukaan yang dipenuhi udara yang secara berkala mengagihkan semula tekanan di bawah badan.

Adalah tidak jelas jika busa mempunyai pengaruh pada ulser tekanan berbanding dengan permukaan yang dibuat dari sel serat, gel atau air.

Kajian pada masa depan harus memberi tumpuan kepada pilihan dan kesan yang penting bagi pembuat keputusan, seperti:

- permukaan gel yang memberikan tekanan kulit berterusan, berbanding dengan permukaan busa; dan

- sama ada dan ketika ulser tekanan terhasil, kesan sampingan dan kos yang tidak diingini.

Apakah itu ulser tekanan?

Ulser tekanan juga dikenali sebagai luka tekanan atau kudis tekanan. Ianya adalah luka pada kulit dan tisu bahagian bawahnya yang disebabkan oleh tekanan atau geseran yang berpanjangan. Ianya sering terjadi pada bahagian tubuh yang bertulang, seperti tumit, siku, pinggul dan bahagian bawah tulang belakang. Orang yang mempunyai masalah pergerakan atau yang berbaring di katil bagi jangka masa yang panjang berisiko dalam mengalami penyakit ulser tekanan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Terdapat tempat tidur, tilam dan penutup tilam yang direka khas untuk orang yang berisiko mengalami ulser tekanan. Ianya boleh diperbuat dari pelbagai bahan (seperti busa, serat, sel udara atau beg air) dan dibahagikan kepada dua kumpulan:

- permukaan reaktif (statik) yang memberi tekanan berterusan pada kulit, kecuali seseorang itu bergerak atau diperbetulkan posisinya semula; dan

- permukaan aktif (tekanan berselang-seli) yang mengedarkan semula tekanan di bawah badan secara berkala.

Kami ingin mengetahui jika tilam dan penutup tilam yang diperbuat daripada busa (permukaan reaktif):

- mencegah ulser tekanan;

- selesa dan meningkatkan kualiti hidup orang;

- mempunyai faedah kesihatan yang melebihi kosnya (keberkesanan kos); dan

- mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang menilai kesan tilam dan penutup tilam yang diperbuat daripada busa. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 29 kajian (9566 orang, usia purata: 76 tahun) yang berlangsung antara lima hari dan satu tahun (purata: 15 hari). Kajian membandingkan busa dengan permukaan aktif dan reaktif yang diperbuat daripada gel, sel udara, beg air dan jenis busa lain.

Pencegahan ulser tekanan

Bukti menunjukkan bahawa:

- permukaan busa boleh meningkatkan risiko terkena ulser tekanan jika dibandingkan dengan permukaan aktif atau reaktif yang dipenuhi udara (8 kajian);

- busa memori yang lebih padat (busa yang menyesuaikan dengan bentuk tubuh seseorang) mungkin lebih baik daripada busa memori yang lebih ringan untuk mencegah ulser tekanan jika data mengenai waktu yang diperlukan untuk menghasilkan ulser baru dilihat (1 kajian, durasi: 11.5 hari);

- permukaan busa yang rata mungkin lebih baik berbanding permukaan busa yang rabung untuk mencegah ulser tekanan jika data mengenai waktu yang diperlukan untuk menghasilkan ulser baru dilihat (1 kajian, durasi: 1 bulan).

Adalah tidak jelas jika busa mempunyai pengaruh pada ulser tekanan berbanding dengan permukaan yang dibuat dari gel atau air.

Kesan lain

Bukti dari satu kajian menunjukkan bahawa busa mungkin kurang berkesan kos daripada permukaan aktif yang dipenuhi udara.

Kami tidak menemui bukti yang cukup kukuh dan jelas untuk menentukan bagaimana busa mempengaruhi keselesaan, kualiti hidup dan kesan yang tidak diingini.

Apa yang membataskan keyakinan kami terhadap bukti?

Sebilangan besar kajian adalah kecil (purata 101 orang) dan lebih daripada separuh (17 kajian) menggunakan kaedah yang cenderung untuk memperkenalkan kesalahan dalam hasilnya.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information