Adakah katil, tilam dan penutup tilam yang memberikan tekanan berterusan pada kulit dan tidak diisi udara atau diperbuat daripada busa dapat mencegah ulser tekanan?

Mesej utama

Oleh kerana kekurangan bukti yang kukuh, adalah tidak jelas jika kebanyakan jenis permukaan yang memberikan tekanan berterusan pada kulit dan tidak diisi udara atau diperbuat daripada busa mencegah ulser tekanan.

Membaringkan pesakit pembedahan di atas meja operasi dengan permukaan gel yang memberikan tekanan berterusan pada kulit dan kemudian katil hospital dengan permukaan busa, selain menggunakan permukaan yang dipenuhi udara, dapat meningkatkan risiko mendapat ulser tekanan.

Kajian masa depan harus memberi tumpuan kepada pilihan dan kesan yang penting bagi pembuat keputusan, seperti:

- permukaan gel yang memberikan tekanan berterusan pada kulit, dibandingkan dengan permukaan yang dipenuhi udara atau busa; dan

- sama ada dan ketika ulser tekanan terhasil, kesan sampingan yang tidak diingini dan kos.

Apakah itu ulser tekanan?

Ulser tekanan juga dikenali sebagai luka tekanan atau kudis tekanan. Ianya adalah luka pada kulit dan tisu pada bahagian bawahnya yang disebabkan oleh tekanan atau geseran yang berpanjangan. Ianya sering terjadi pada bahagian tubuh yang bertulang, seperti tumit, siku, pinggul dan bahagian bawah tulang belakang. Orang yang mempunyai masalah pergerakan atau yang berbaring di atas katil bagi jangka masa yang panjang berisiko untuk mengalami penyakit ulser tekanan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Terdapat tempat tidur, tilam dan penutup tilam yang direka khas untuk orang yang berisiko mengalami ulser tekanan. Ianya boleh diperbuat dari pelbagai bahan (seperti busa, sel udara atau beg air) dan dibahagikan kepada dua kumpulan:

- permukaan reaktif (statik) yang memberi tekanan berterusan pada kulit, kecuali seseorang itu bergerak atau diposisikan semula; dan

- permukaan aktif (tekanan berselang-seli) yang mengedarkan semula tekanan di bawah badan secara berkala.

Kami ingin mengetahui sama ada permukaan reaktif yang tidak dipenuhi udara atau diperbuat daripada busa:

- mencegah ulser tekanan;

- selesa dan meningkatkan kualiti hidup orang;

- mempunyai faedah kesihatan yang melebihi kosnya; dan

- mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari hasil penulisan perubatan untuk kajian yang menilai kesan katil, tilam dan penutup tilam dengan permukaan reaktif yang tidak dipenuhi udara atau diperbuat daripada busa. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 20 kajian (4653 orang, usia purata: 73 tahun) yang berlangsung antara tujuh hari dan enam bulan (purata: empat minggu). Kajian membandingkan permukaan reaktif yang dipenuhi dengan air atau gel, atau diperbuat dari serat, dengan permukaan aktif atau reaktif yang lain.

Secara amnya, kajian-kajian tersebut tidak memberikan bukti yang cukup kuat untuk kami menentukan jika permukaan reaktif yang tidak dipenuhi udara atau diperbuat dari busa dapat mencegah ulser tekanan.

Bukti dari dua kajian menunjukkan bahawa orang yang menjalani pembedahan mungkin lebih cenderung mengalami ulser tekanan ketika mereka berbaring di atas meja operasi dengan permukaan gel reaktif dan kemudian katil hospital dengan permukaan busa, dan bukannya pada permukaan aktif yang dipenuhi udara.

Manfaat dan risiko gel dan permukaan reaktif lain tidak jelas. Tidak ada kajian yang melaporkan maklumat mengenai kualiti hidup dan kos.

Apa yang membataskan keyakinan kami terhadap bukti?

Sebilangan besar kajian adalah kecil (purata 198 orang) dan menggunakan kaedah yang cenderung untuk memperkenalkan kesalahan dalam hasilnya.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information