Apakah faedah dan risiko pelbagai jenis katil, tilam dan penutup tilam untuk merawat ulser tekanan?

Mesej utama

Oleh sebab kekurangan bukti yang kukuh, faedah dan risiko bagi kebanyakan katil, tilam dan penutup tilam untuk merawat ulser tekanan adalah tidak jelas.

Katil dengan permukaan berisi udara yang memberikan tekanan berterusan pada kulit mungkin lebih baik daripada tilam dan penutup yang diperbuat daripada busa untuk penyembuhan ulser jika bukti dilihat pada masa yang diperlukan untuk menyembuhkan ulser sepenuhnya, tetapi mungkin lebih mahal.

Kajian pada masa depan harus memberi tumpuan kepada pilihan dan kesan yang penting bagi pembuat keputusan, seperti:

- permukaan busa atau berisi udara yang mengagihkan semula tekanan di bawah badan; dan

- kesan yang tidak diingini dan kos.

Apakah itu ulser tekanan?

Ulser tekanan juga dikenali sebagai luka tekanan atau kudis tekanan. Ia adalah luka pada kulit dan tisu bahagian bawahnya yang disebabkan oleh tekanan atau geseran yang berpanjangan. Ia sering terjadi pada bahagian tubuh yang bertulang, seperti tumit, siku, pinggul dan bahagian bawah tulang belakang. Orang yang mempunyai masalah pergerakan atau yang berbaring di atas katil bagi jangka masa yang panjang berisiko mengalami ulser tekanan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Terdapat katil, tilam dan penutup tilam yang direka khas untuk orang yang mengalami ulser tekanan. Ia boleh diperbuat dari pelbagai bahan (seperti busa, sel udara atau beg air) dan dibahagikan kepada dua kumpulan:

- permukaan reaktif (statik) yang memberi tekanan berterusan pada kulit, kecuali seseorang itu bergerak atau diperbetulkan posisinya semula; dan

- permukaan aktif (tekanan berselang-seli) yang mengedarkan semula tekanan di bawah badan secara berkala.

Kami ingin mengetahui sama ada permukaan yang reaktif dan aktif:

- membantu ulser untuk sembuh;

- selesa dan meningkatkan kualiti hidup orang;

- mempunyai faedah kesihatan yang melebihi kosnya; dan

- mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang menilai kesan katil, tilam dan penutup tilam. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 13 kajian (972 orang, usia purata: 83 tahun) yang berlangsung antara tujuh hari dan 18 bulan (purata: 37.5 hari).

Secara amnya, kajian tersebut tidak memberikan bukti yang cukup kukuh untuk kami menentukan kesan permukaan aktif dan reaktif.

Bukti dari dua kajian menunjukkan bahawa, jika dibandingkan dengan tilam dan penutup tilam yang diperbuat daripada busa, katil dengan permukaan reaktif berisi udara mungkin dapat:

- meningkatkan peluang penyembuhan ulser tekanan jika data mengenai masa yang diperlukan untuk menyembuhkan ulser sepenuhnya dilihat (1 kajian, 84 orang);

- mempunyai kos tambahan 26 dolar AS setiap orang untuk setiap hari bebas ulser pada tahun pertama penggunaan (1 kajian, 87 orang).

Manfaat dan risiko lain bagi permukaan ini dan yang lain adalah tidak jelas.

Apa yang membataskan keyakinan kami terhadap bukti?

Sebilangan besar kajian adalah kecil (purata 72 orang) dan hampir separuh (enam kajian) menggunakan kaedah yang cenderung untuk memasukkan kesalahan dalam keputusannya.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information