Faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan terapi penggantian nikotin dan e-rokok pada kehamilan

Apakah yang telah dikaji didalam ulasan ini? Terapi penggantian nikotin (NRT) memberikan nikotin tanpa bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam asap tembakau. NRT membantu beberapa orang dewasa yang tidak hamil untuk berhenti merokok, tetapi ia mungkin tidak berfungsi dengan baik semasa mengandung. Ini mungkin kerana wanita hamil pada amnya tidak menggunakan NRT seperti yang ditetapkan. Kajian menunjukkan bahawa sebilangan wanita hamil menggunakan e-rokok untuk membantu mereka mengurangkan atau berhenti, walaupun keselamatan dan keberkesanannya dalam kehamilan tidak diketahui. Tidak banyak yang diketahui mengenai masalah yang mempengaruhi penggunaan NRT / e-rokok pada wanita yang mengandung.

Apakah matlamat ulasan ini? Untuk meneroka faktor-faktor yang mempengaruhi sama ada wanita mengambil dan menggunakan NRT atau e-rokok untuk mengurangkan atau berhenti merokok semasa mengandung.

Apakah mesej utama ulasan ini? Tiga faktor utama mempengaruhi sama ada wanita mengambil dan menggunakan NRT dan e-rokok pada kehamilan: nasihat yang diterima oleh wanita dari profesional kesihatan mengenai penggunaan NRT atau e-rokok semasa kehamilan, keinginan wanita untuk melindungi bayi mereka yang belum lahir dari bahaya, dan pengalaman peribadi yang lepas dengan NRT . Setiap faktor ini boleh mendorong atau tidak menggalakkan wanita menggunakan produk ini.

Apakah penemuan utama? Kami merangkumi 21 kajian; 15 daripadanya tertumpu pada NRT, 3 pada e-rokok dan 3 pada kedua-duanya. Penemuan kami menunjukkan bahawa keinginan wanita untuk melindungi bayi mereka yang belum lahir dari bahaya adalah salah satu sebab utama mereka menggunakan produk ini. Mereka juga mempertimbangkan nasihat profesional kesihatan mereka; apabila profesional memberitahu wanita bahawa NRT atau e-rokok lebih selamat daripada merokok dan boleh menggunakannya semasa kehamilan, keyakinan mereka untuk menggunakannya semakin meningkat. Apabila wanita diberitahu bahawa NRT atau e-rokok adalah sama bahaya atau lebih berbahaya daripada merokok dan mereka tidak boleh menggunakannya semasa mereka mengandung, mereka merasa kurang yakin untuk menggunakannya. Pengalaman masa lalu wanita dengan NRT juga akan mempengaruhi kesediaan mereka menggunakan NRT semasa mengandung.. Sebagai contoh, wanita yang rasa bahawa NRT berfungsi untuk mereka (atau seseorang yang mereka kenal) pada masa lalu lebih yakin untuk menggunakannya lagi. Namun, wanita yang mempunyai pengalaman negatif lebih enggan menggunakan NRT. Kami menyimpulkan bahawa mesej yang konsisten berdasarkan penyelidikan berkualiti tinggi dan menjelaskan bagaimana NRT dan e-rokok yang selamat dibandingkan dengan merokok pada kehamilan, dapat membantu wanita menggunakan NRT dan e-rokok dengan lebih konsisten atau seperti yang disyorkan. Ini dapat meningkatkan sikap mereka terhadap NRT atau e-rokok, meningkatkan kesediaan mereka untuk menggunakannya dalam usaha mereka berhenti, dan mendorong mereka untuk bebas dari merokok.

Adakah ulasan ini terkini? Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sebelum 1 Februari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information