Pembedahan untuk penyakit sendi jangka panjang dalam kalangan pesakit hemofilia

Bagaimanakah pembedahan berbanding dengan rawatan bukan pembedahan dari segi keselamatan dan keberkesanan untuk pesakit yang menghidap penyakit sendi kronik (jangka panjang) disebabkan keadaan yang jarang berlaku yang menjejaskan keupayaan darah untuk membentuk darah beku (hemofilia)?

Mesej utama

Kami tidak menemui sebarang kajian yang relevan.

Lebih banyak kajian diperlukan dalam bidang ini. Kajian akan datang harus membandingkan pembedahan dengan rawatan bukan pembedahan untuk artropati kronik di kalangan pesakit hemofilia.

Latar belakang

Hemofilia adalah sejenis penyakit yang menjejaskan keupayaan darah untuk membeku. Pesakit hemofilia yang teruk sering mengalami pendarahan ke dalam sendi mereka (hemartrosis). Pendarahan berulang untuk jangka masa yang lama akan akhirnya membawa kepada penyakit sendi kronik (artropati), yang mungkin berbentuk artritis, sakit sendi atau kekejangan sendi. Ini boleh membawa kepada kemerosotan kualiti hidup dan kehilangan fungsi anggota badan.

Penyakit sendi kronik akibat pendarahan ke dalam sendi yang berpanjangan boleh dirawat secara pembedahan atau bukan pembedahan. Namun, tidak ada rawatan yang sempurna; kedua-duanya mempunyai risiko dan manfaat masing-masing. Rawatan bukan pembedahan mungkin tidak berkesan untuk semua orang. Jika ia tidak berkesan, pembedahan mungkin disarankan. Pakar perubatan masih tidak pasti tentang cara yang paling selamat dan berkesan untuk merawat artropati kronik di kalangan pesakit hemofilia.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami melakukan pencarian di pangkalan data perubatan dan jurnal setakat Ogos 2022, untuk laporan kajian rawak terkawal yang membandingkan pembedahan dan rawatan bukan pembedahan, dalam kalangan pesakit yang berusia sekurang-kurangnya 12 tahun, menghidap hemofilia dan mengalami penyakit sendi kronik. RCT adalah di mana para peserta diperuntukkan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan. Ini adalah cara terbaik untuk memastikan yang kumpulan peserta adalah serupa, dan penyelidik dan peserta tidak tahu siapa yang berada dalam kumpulan mana.

Apa yang kami dapati?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang memenuhi kriteria kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information