Apakah matlamat sintesis ini?
Matlamat sintesis bukti kualitatif Cochrane ini adalah untuk meneroka bagaimana orang yang menerima pemindahan tunai bersyarat atau tanpa syarat berkaitan kesihatan mengalaminya. Kami menganalisis 41 kajian kualitatif untuk menjawab soalan ini.
Mesej utama
Orang menghargai pemindahan tunai dan melihatnya sebagai perlu untuk keperluan asas mereka. Walau bagaimanapun, pemindahan tunai boleh mempengaruhi hubungan orang dalam cara yang positif dan negatif. Tidak semua orang mahu menerima wang tunai dan sesetengah penerima tidak menganggap bahawa wang tunai sahaja cukup untuk mengubah tingkah laku kesihatan mereka.
Apakah yang dikaji dalam sintesis ini?
Program pemindahan tunai bersyarat dan tanpa syarat terdapat di seluruh dunia. Pemindahan tunai bersyarat ialah wang (tunai) yang diberikan kepada orang jika mereka berkelakuan dengan cara tertentu. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menerima wang tunai jika mereka membawa anak-anak mereka ke pusat kesihatan. Pemindahan tunai tanpa syarat ialah wang yang diberikan tanpa sebarang syarat atau peraturan tentang penggunaannya. Dalam sesetengah tetapan, orang menerima pemindahan tunai melalui program kerajaan. Dalam tetapan lain, pemindahan tunai terutamanya diberikan melalui pertubuhan bukan kerajaan atau projek penyelidikan. Kebanyakan program ini bertujuan untuk meningkatkan kesihatan orang ramai, tetapi penyelidikan yang mengukur kesan program ini terhadap kesihatan menunjukkan hasil yang bercampur-campur. Oleh itu, kami ingin meneroka bagaimana orang mengalami program ini.
Apakah penemuan utama?
Kami menyertakan 127 kajian dalam ulasan dan sampel 41 kajian ini untuk analisis kami. Tiga puluh dua kajian lanjut ditemui selepas carian dikemas kini pada 5 Julai 2022 dan sedang menunggu klasifikasi. Kajian sampel adalah dari 24 negara berbeza, merentasi semua rantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Kajian terutamanya meneroka pandangan dan pengalaman penerima pemindahan tunai dengan keadaan kesihatan yang berbeza, seperti penyakit berjangkit, ketidakupayaan dan penyakit jangka panjang, kesihatan seksual dan reproduktif, serta kesihatan ibu dan anak. Kami mempunyai keyakinan yang sederhana hingga tinggi dalam penemuan kami. Kami mendapati bahawa orang yang menerima pemindahan tunai melihat itu sebagai perlu. Mereka menyifatkan wang tunai itu membantu dalam jangka pendek, dan kadangkala dalam jangka panjang. Walau bagaimanapun, orang sering merasakan bahawa jumlah yang diberikan adalah terlalu sedikit untuk memenuhi keperluan mereka. Mereka juga merasakan bahawa wang tunai sahaja tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku mereka dan mereka juga memerlukan jenis sokongan lain, seperti sokongan sosial atau psikologi atau latihan dan peluang pekerjaan. Orang menggambarkan bagaimana wang tunai itu memperkasakan mereka dan menjadikan mereka lebih berdikari, terutamanya wanita dan orang kurang upaya. Dalam sesetengah tetapan, orang mengalami tekanan daripada keluarga atau kakitangan program tentang cara menggunakan wang tunai. Orang menerangkan bagaimana wang tunai itu telah meningkatkan hubungan mereka dengan keluarga dan komuniti. Walau bagaimanapun, dalam komuniti di mana ada yang menerima wang tunai dan yang lain tidak, ini juga boleh menyebabkan ketegangan, syak wasangka dan konflik. Sesetengah orang juga menyifatkan stigma kerana menerima pemindahan tunai. Walaupun orang sering mengalami halangan untuk mengakses wang tunai, ada yang enggan atau teragak-agak untuk menerima wang tunai. Sesetengah penerima mendapati program pemindahan tunai lebih boleh diterima apabila mereka bersetuju dengan matlamat dan proses program.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sebelum 5 Jun 2020. Carian telah dijalankan semula pada Julai 2022 dan 32 kajian tambahan sedang menunggu klasifikasi.
Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my