Mesej utama
– Pilihan akses vaskular boleh mempengaruhi hasil angioplasti bawah lutut.
– Kami mengenal pasti tiada kajian yang membandingkan akses distal retrograde dengan akses femoral untuk angioplasti bawah lutut untuk dimasukkan; terdapat keperluan untuk kajian berkualiti tinggi mengenai topik ini.
Apakah penyakit arteri periferal?
Penyakit arteri periferal merupakan stenosis (sempitan) atau oklusi (sekatan) pembuluh arteri anggota badan yang biasanya disebabkan oleh pengumpulan mendapan lemak dalam arteri (dikenali sebagai lesi) yang menyekat aliran darah ke otot. Kira-kira 12% hingga 14% orang dalam populasi umum menghidap penyakit arteri periferal dan kadarnya meningkat dengan usia. Di seluruh dunia, bilangan penghidap penyakit arteri periferal telah meningkat daripada 164 juta orang pada tahun 2000 kepada 202 juta orang pada tahun 2010. Lebih daripada dua pertiga pesakit yang menghidap penyakit arteri periferal berasal dari negara berpendapatan rendah atau sederhana.
Penyakit arteri periferal boleh menyebabkan iskemia anggota badan yang kritikal, yang disebabkan oleh kekurangan peredaran darah yang serius dalam anggota badan, yang kemudiannya menyebabkan kesakitan atau luka. Satu pertiga daripada pesakit iskemia anggota kritikal mempunyai lesi di bawah paras lutut, yang dikaitkan dengan risiko pemotongan kaki bawah yang lebih tinggi.
Bagaimanakah penyakit arteri periferal dirawat?
Rawatan untuk pesakit iskemia anggota kritikal adalah dengan membuka saluran darah yang tersumbat menggunakan angioplasti, yang melibatkan penggunaan belon untuk meregangkan arteri yang sempit atau tersumbat dan mungkin memasukkan tiub (stent) untuk memastikan arteri tetap terbuka. Keberhasilan teknikal mana-mana jenis prosedur angioplasti bergantung pada keupayaan untuk melepasi (merentasi) lesi. Secara konvensional, angioplasti ini dilakukan menggunakan kateter (tiub) yang dimasukkan melalui arteri femoral (arteri utama yang mengalir ke paha), tetapi kadar kegagalan adalah tinggi apabila terdapat cubaan untuk menolak melalui lesi dengan kaedah ini. Pendekatan masuk dari arah lain secara tusukan distal retrograde (iaitu pemasukan kateter melalui arteri yang berdekatan dengan buku lali) mungkin dapat memudahkan perentasan lesi.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin menilai manfaat atau kelebihan dan kemudaratan akses distal retrograde dan membandingkannya dengan akses femoral konvensional untuk pesakit yang menjalani angioplasti bawah lutut.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari pangkalan data perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta diagihkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak; satu daripadanya adalah kumpulan rawatan) atau ujian terkawal separa rawak (peserta diagihkan kepada kumpulan dengan menggunakan kaedah yang tidak rawak sepenuhnya, contohnya, mengikut tarikh lahir atau urutan peserta yang direkrut) yang membandingkan akses distal retrograde dengan akses femoral untuk angioplasti bawah paras lutut.
Apakah yang telah kami temui?
Kami mendapati bahawa tiada kajian rawak terkawal atau separa rawak yang memenuhi kriteria kami.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak dapat memaklumkan sebarang bukti muktamad mengenai topik ini kerana kami tidak menemui sebarang kajian yang mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Carian pangkalan data telah dijalankan pada 26 September 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).