Apakah dehidrasi dan bagaimanakah ia dirawat?
Kanak-kanak dengan cirit-birit akut atau gastroenteritis yang mengalami dehidrasi teruk memerlukan rehidrasi intravena (ke dalam vena) dengan cecair (dipanggil pembetulan intravena). Larutan intravena yang sering digunakan untuk tujuan ini dipanggil kristaloid, iaitu larutan garam mineral (contohnya elektrolit seperti sodium, potassium, atau klorida). Kristaloid yang paling biasa digunakan untuk menghidratkan semula kanak-kanak ialah larutan garam 0.9%. Adalah tidak jelas sama ada larutan ini adalah intervensi terbaik untuk kanak-kanak ini, apabila dibandingkan dengan cecair lain dalam penyakit dan keadaan lain, 0.9% air garam telah dikaitkan dengan menjana atau memburukkan asidosis metabolik dan meningkatkan tempoh tinggal di hospital.
Apakah asidosis metabolik?
Asidosis metabolik ditakrifkan sebagai pengurangan pH serum rendah yang disebabkan oleh pelbagai penyakit, termasuk dehidrasi. pH ialah ukuran asid/bes larutan (seperti air atau cecair badan). Satu lagi ukuran tahap asidosis ialah paras serum bikarbonat. Bikarbonat ialah penampan badan yang membantu mengimbangkan pH apabila asidosis metabolik berlaku. Semakin rendah paras serum bikarbonat, semakin serius asidosis. Asidosis metabolik adalah komplikasi biasa dehidrasi, yang boleh mengakibatkan muntah dan menghadkan pengambilan makanan dalam kanak-kanak yang sedang pulih daripada dehidrasi, dimana ianya boleh meningkatkan tempoh tinggal di hospital. Apabila asidosis metabolik teruk (pH sangat rendah) dan tidak dirawat, ia akan menjejaskan fungsi metabolik badan. Satu lagi kebimbangan dalam menggunakan 0.9% air garam adalah potensi peningkatan risiko hipokalemia (paras potassium rendah dalam darah), yang biasanya menjejaskan kanak-kanak yang dehidrasi. Hipokalemia mungkin menghalang keupayaan kanak-kanak untuk menerima cecair oral dan makanan, di samping komplikasi lain, disebabkan kelemahan otot dan penurunan pergerakan usus (gastrointestinal).
Apakah yang tidak diketahui tentang rawatan dehidrasi teruk dalam kanak-kanak dengan cirit-birit?
Alternatif kepada larutan garam 0.9% adalah yang dipanggil larutan seimbang, yang ditakrifkan sebagai cecair intravena yang mempunyai elektrolit yang hampir sama dengan plasma manusia (satu komponen darah). Berbanding dengan larutan garam 0.9%, yang hanya mengandungi sodium dan klorida, larutan seimbang mempunyai komposisi elektrolit (sodium, potassium, dan klorida) yang mirip komposisi plasma manusia, termasuk kation tambahan (kalsium, sodium, atau magnesium) , dan anion seperti lactate, asetat atau glukonat. Komposisi yang lebih mirip dengan plasma manusia dijangka lebih bermanfaat untuk penghidratan semula berbanding dengan larutan garam 0.9% tradisional. Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menentukan sama ada menghidrat semula kanak-kanak yang dehidrasi dengan larutan seimbang menyebabkan hasil yang lebih baik berbanding 0.9% air garam.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara menghidrat semula kanak-kanak dengan dehidrasi teruk akibat cirit-birit dengan larutan garam 0.9% dan apabila menggunakan larutan seimbang.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari pangkalan data perubatan dan mengenal pasti lima kajian yang menilai 465 kanak-kanak. Kajian ini membandingkan secara rawak larutan seimbang (Ringer's lactate atau Plasma-Lyte) dengan larutan garam 0.9% untuk kanak-kanak yang mengalami dehidrasi teruk dengan cirit-birit akut. Kajian telah dijalankan di India, Pakistan, AS, dan Kanada.
Apa yang kami dapati?
Dalam kanak-kanak yang mengalami dehidrasi teruk dengan cirit-birit, rehidrasi dengan larutan seimbang berkemungkinan akan sedikit mengurangkan tempoh kanak-kanak tinggal di hospital, namun kami tidak pasti akan kesannya terhadap kematian dalam hospital jika dibandingkan dengan rehidrasi dengan 0.9% air garam.
Larutan seimbang boleh menghasilkan peningkatan pH darah dan paras bikarbonat selepas pembetulan, yang mungkin menunjukkan peningkatan asidosis metabolik yang lebih cepat. Walau bagaimanapun, larutan seimbang tidak menghasilkan perubahan dalam keperluan cecair intravena tambahan selepas pembetulan awal; dalam isipadu cecair yang diberikan; dan dalam purata perubahan paras elektrolit dan kreatinin (bahan buangan dari otot).
Juga, dari segi kesan sampingan, larutan seimbang berkemungkinan mengurangkan risiko hipokalemia selepas pembetulan intravena (iaitu, kurang kanak-kanak yang mengalami kekurangan potassium) selepas pembetulan intravena, dan mereka mungkin tidak menyebabkan perbezaan dalam kejadian hiponatremia (paras sodium rendah dalam darah), jika dibandingkan dengan 0.9% air garam.
Keputusan kami kebanyakannya boleh diaplikasikan untuk lactate Ringer kerana kebanyakan bukti datang daripada kajian yang membandingkan 0.9% air garam kepada larutan ini. Bukti mengenai Plasma-Lyte (satu lagi larutan seimbang) adalah terhad dan memerlukan lebih banyak kajian.
Apakah batasan bukti?
Bukti yang membandingkan larutan garam 0.9% dan larutan seimbang adalah terhad. Kajian yang sedia ada menilai sangat sedikit kanak-kanak dan berkemungkinan mereka yang terlibat dalam kajian itu mengetahui rawatan mana diterima oleh kanak-kanak, yang memberikan kita sedikit keyakinan terhadap keputusannya.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini meringkaskan bukti sehingga 4 Mei 2022.
Diterjemahkan oleh Nuryn Nadia Noor Azuan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my