Adakah terdapat sebarang ubat yang membantu mengurangkan pendarahan selepas pembedahan pada saluran darah?

• Mesej utama

Kami belum tahu apakah ubat terbaik untuk mengurangkan pendarahan dan pemindahan darah semasa pembedahan vaskular.

• Apakah pembedahan vaskular?

Pembedahan vaskular ialah apabila pakar bedah melakukan pembedahan pada saluran darah, untuk membaiki kebocoran dan kawasan yang lemah, atau untuk melapangkan penyumbatan. Ulasan ini memberi tumpuan kepada jenis pembedahan vaskular yang lebih berpotensi menyebabkan pendarahan teruk.

• Mengapakah penting untuk mengurangkan pemindahan darah semasa pembedahan vaskular?

Jika pesakit berdarah semasa atau selepas pembedahan jenis ini mereka mungkin memerlukan pemindahan darah untuk menggantikan darah yang telah hilang. Adalah lebih baik untuk mengelak daripada menerima pemindahan darah, jika boleh, kerana pemindahan darah boleh menyebabkan kemudaratan. Ini amat penting apabila perkhidmatan kesihatan mempunyai bekalan darah yang terhad.

• Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui rawatan ubat yang membantu mengurangkan pendarahan dan keperluan untuk pemindahan darah. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan ini meningkatkan risiko kesan sampingan, seperti pembekuan darah.

• Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari perpustakaan elektronik untuk laporan kajian yang paling boleh dipercayai (dipanggil kajian rawak terkawal) tentang ubat yang mencegah pendarahan selepas pembedahan pada saluran darah.

• Apa yang telah kami temui?

Kami menemui tujuh kajian ubat yang disuntik sebelum pembedahan yang cuba mengurangkan jumlah pendarahan. Kami menemui 15 kajian pembalut atau gam dengan ubat di dalamnya. Ini digunakan untuk menghentikan pendarahan semasa pembedahan dan dibiarkan di dalam selepas pembedahan. Kami tidak menemui maklumat yang mencukupi untuk memastikan ubat yang terbaik untuk mengurangkan pendarahan dan pemindahan darah semasa pembedahan vaskular. Selalunya, pesakit yang menjalani pembedahan tidak disusuli untuk tempoh yang lama sebaik sahaja mereka meninggalkan dewan bedah, jadi kami tidak dapat mengetahui sama ada mereka memerlukan pemindahan darah selepas itu.

Satu kajian, melibatkan 9535 orang yang menjalani pembedahan, menguji ubat yang dipanggil asid tranexamic yang disuntik sebelum pembedahan. Ini termasuk 1399 pesakit yang menjalani pembedahan pada saluran darah mereka, tetapi ia tidak melaporkan banyak maklumat untuk kumpulan ini sendiri. Satu hasil yang dilaporkan, khususnya untuk pembedahan vaskular, adalah sama ada terdapat peningkatan risiko pembentukan bekuan darah jika asid tranexamic diberikan. Kami mendapati bahawa mungkin tiada perbezaan dalam risiko pembentukan bekuan darah antara asid tranexamic dan plasebo.

• Apakah batasan bukti ?

Kebanyakan kajian yang kami temui adalah kecil, dengan kurang daripada 100 pesakit yang terlibat. Ini tidak mencukupi untuk memastikan sama ada mana-mana rawatan ini mungkin membantu pesakit. Kami memerlukan kajian dengan ratusan atau bahkan ribuan pesakit yang terlibat untuk mengetahui sama ada ubat ini membantu mereka pulih daripada pembedahan.

Kebanyakan kajian yang kami temui tidak mengumpul maklumat tentang pemindahan darah selepas pembedahan. Kami fikir ini mungkin atas beberapa sebab yang berbeza. Pakar bedah boleh memindahkan penjagaan pesakit yang telah mereka bedah kepada profesional penjagaan kesihatan lain jika mereka memerlukan penjagaan selepas pembedahan yang berpanjangan, contohnya doktor. Adalah lebih rumit untuk membuat kajian jika mereka perlu bekerjasama dengan profesional penjagaan kesihatan lain untuk mengetahui apa yang berlaku selepas itu.

Selain itu, kebanyakan kajian dijalankan oleh syarikat yang membuat rawatan. Ia adalah lebih murah dan mudah untuk mereka hanya melihat apa yang berlaku semasa pembedahan, terutamanya jika pesakit akan menerima produk mereka tanpa sebarang maklumat tentang apa yang berlaku selepas pembedahan.

• Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami menemui semua kajian yang telah diterbitkan mengenai topik ini sehingga 31 Mac 2022. Kami juga menemui semua kajian yang telah bermula atau akan bermula tidak lama lagi. Berita baiknya ialah terdapat satu kajian yang sangat besar mengenai ubat yang mencegah pendarahan dalam pembedahan yang sedang dijalankan. Ia sedang menguji asid tranexamic yang disuntik sebelum pembedahan. Ia merancang untuk merekrut 8320 pesakit yang menjalani pelbagai pembedahan, termasuk pembedahan pada saluran darah, dan akan melaporkan bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan darah. Ini akan menjadi keputusan penting apabila kajian selesai, dan kami berharap ia akan memberi inspirasi kepada pakar bedah lain untuk melakukan kajian seperti ini pada masa hadapan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information