Latar belakang
Lelaki yang lebih tua sering mengalami aduan kencing seperti kerap membuang air kecil atau aliran air kencing yang lemah. Jika gejala ini boleh dipersalahkan pada kelenjar prostat yang membesar dan perubahan gaya hidup serta ubat-ubatan tidak cukup membantu, terdapat prosedur pembedahan yang mungkin membantu. Satu prosedur sedemikian dipanggil reseksi transuretral prostat (pembedahan tradisional). Pembedahan tradisional ini telah digunakan secara meluas untuk masa yang lama, dan diketahui berfungsi dengan baik, tetapi ia memerlukan bius dan mempunyai beberapa kesan yang tidak diingini. Terdapat prosedur pembedahan 'invasif minima' lain. Prosedur ini dikatakan berfungsi dengan baik, tetapi dengan kesan yang tidak diingini yang lebih sedikit. Lima prosedur invasif minima tersebut ialah 'pengangkatan uretra prostat', 'terapi wap air radiofrekuensi perolakan', 'termoterapi gelombang mikro transuretra', 'embolisasi arteri prostatik' dan 'peranti nitinol boleh implan sementara'.
Soalan Ulasan
Kami melakukan ulasan ini untuk membandingkan lima bentuk rawatan yang lebih baru untuk lelaki dengan simptom saluran kencing bawah dengan pembedahan tradisional atau 'pembedahan palsu'. Dalam pembedahan palsu, lelaki menyangka mereka akan menjalani pembedahan tetapi sebenarnya tidak melakukan apa-apa.
Kaedah
Kami menggunakan kaedah Cochrane dan GRED yang disyorkan untuk menilai kepastian bukti. Kami juga menggunakan kaedah statistik khas yang dipanggil meta-analisis rangkaian untuk membandingkan rawatan yang berbeza.
Tarikh carian
Penemuan kajian kami adalah terkini sehingga Februari 2021.
Kajian yang dimasukkan
Kami meneliti 27 kajian terkawal rawak. Dalam jenis kajian ini, 'peluang' rawak menentukan sama ada lelaki ditugaskan untuk menerima salah satu prosedur pembedahan yang lebih baru, atau pembedahan tradisional (atau pembedahan palsu). Kaedah menugaskan peserta kepada kumpulan 'intervensi' atau 'kawalan' ini membantu mengurangkan berat sebelah dalam kajian penyelidikan.
Lelaki kebanyakannya berumur lebih dari 50 tahun dan mempunyai gejala kencing yang teruk. Kebanyakan kajian (16 kajian) menggunakan termoterapi gelombang mikro transuretral. Sebelas kajian mengikuti lelaki selama kurang dari satu tahun dan sembilan kajian mengikuti lelaki selama satu tahun. Hanya tujuh kajian mengikuti lelaki selama dua tahun atau lebih.
Pembiayaan
Kebanyakan kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan mereka, manakala yang lain melaporkan bahawa mereka yang membayar untuk kajian itu menerima sekurang-kurangnya sedikit wang untuk syarikat yang membuat peranti yang digunakan.
Hasil-hasil utama
Kami hanya melaporkan keputusan untuk apa yang kami fikir adalah tiga hasil yang paling penting: gejala kencing, kualiti hidup kencing dan kesan yang tidak diingini, membandingkan rawatan ini dengan pembedahan tradisional. Ulasan ini juga memasukkan maklumat tentang beberapa hasil lain dan bagaimana ia dibandingkan dengan pembedahan palsu.
Pengangkatan uretra prostat dan embolisasi arteri mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam gejala lelaki berbanding pembedahan tradisional dalam jangka pendek (sehingga 12 bulan). Intervensi invasif minimum yang lain mungkin boleh mengakibatkan skor simptom yang lebih teruk daripada pembedahan tradisional pada susulan jangka pendek, tetapi mungkin tiada perbezaan. Semua rawatan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup berbanding pembedahan tradisional pada susulan jangka pendek. Termoterapi gelombang mikro transuretral mungkin menghasilkan pengurangan yang besar dalam kejadian buruk yang besar berbanding dengan pembedahan tradisional, manakala rawatan invasif minimum yang lain boleh mengakibatkan pengurangan yang besar dalam kejadian buruk yang besar. Termoterapi gelombang mikro transuretral boleh menyebabkan kadar rawatan semula yang lebih tinggi, tetapi kami tidak pasti tentang prosedur invasif minimum yang lain. Kami juga tidak pasti kesan intervensi ini pada fungsi ereksi dan ejakulasi.
Kepastian bukti
Tahap kepastian kami tentang bukti adalah berbeza untuk setiap hasil, tetapi kebanyakannya rendah atau sangat rendah. Ini bermakna kami tidak dapat memastikan bahawa keputusan semakan ini adalah tepat. Sebab biasa untuk menurunkan kepastian bukti termasuk kelemahan dalam cara kajian dirancang dan dijalankan. Selain itu, keputusannya sangat berbeza antara kajian, dan keputusan kajian selalunya tidak tepat.
Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my