Pembedahan pemuliharaan payudara onkoplastik (O-BCS) untuk wanita dengan kanser payudara primer

Latar belakang

Pembedahan tradisional bagi kanser payudara awal adalah pembedahan pemuliharaan payudara standard (S-BCS) yang bertujuan untuk mengekalkan sebanyak mungkin payudara. Bagi wanita yang mempunyai tumor yang lebih besar berbanding saiz payudara mereka mungkin sukar untuk memulihara payudara sambil memastikan semua tumor dibuang dan ini mungkin bermakna mastektomi diperlukan. Bahagian yang paling penting dalam rawatan pembedahan untuk kanser payudara adalah untuk membuang semua kanser. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, teknik pembedahan payudara onkoplastik telah digunakan untuk memulihara payudara sambil membuang kanser payudara dengan menggunakan prinsip pembedahan plastik, yang menghasilkan hasil kosmetik yang lebih baik. Pembedahan pemuliharaan payudara onkoplastik (O-BCS) juga boleh menghasilkan kepuasan dan kualiti hidup pesakit yang lebih baik.

Secara tradisinya, pakar bedah sama ada memulihara tisu payudara dengan membuang ketulan kanser (S-BCS) atau membina semula serta-merta selepas mastektomi. O-BCS melibatkan mengeluarkan kanser dan sama ada menggerakkan/melaraskan baki tisu payudara di sekeliling (anjakan isipadu) atau membawa masuk tisu dari tempat lain untuk mengisi kekurangan selepas penyingkiran kanser payudara (penggantian isipadu). Terdapat banyak teknik di bawah O-BCS yang telah kami senaraikan sepenuhnya di bahagian lain dalam ulasan ini; namun, kesemuanya adalah serupa dalam prinsip mereka.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan O-BCS (iaitu, mengeluarkan sebahagian daripada tisu payudara dan kemudian membina semula baki payudara dengan sama ada menggerakkan tisu payudara (mammaplasty atau anjakan isipadu) atau membawa tisu dari tempat lain (pembinaan semula separa payudara atau penggantian isipadu)) berbanding dengan S-BCS lain (iaitu, membuang tumor dalam payudara tanpa memerlukan pelarasan payudara selanjutnya) atau mastektomi (iaitu, membuang semua tisu payudara dengan atau tanpa pembinaan semula). Kami mengkaji kesan pada kualiti hidup yang berkaitan kanser (kemunculan semula setempat, kelangsungan hidup bebas penyakit dan kemandirian keseluruhan), dan hasil kosmetik pada wanita dengan kanser payudara.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2020. Kami menyertakan 78 kajian melibatkan 178,813 pesakit dengan kanser payudara. Kami membahagikan kajian kepada kajian yang membandingkan O-BCS kepada S-BCS, O-BCS kepada mastektomi sahaja dan O-BCS kepada mastektomi dengan pembinaan semula. Beberapa kajian menyumbang kepada lebih daripada satu perbandingan.

Keputusan utama

Nampaknya O-BCS menghasilkan kadar kemunculan semula setempat yang sama (iaitu, sama ada kanser kembali pada payudara yang sama) dan kelangsungan hidup bebas penyakit (bebas daripada sebarang kanser payudara selepas rawatan awal) apabila dibandingkan dengan S-BCS, dan menghasilkan kurang keperluan untuk pembedahan pengasingan semula yang kedua (yang mungkin diperlukan jika tumor tidak dibuang sepenuhnya semasa pembedahan pertama). O-BCS mungkin mengakibatkan lebih banyak komplikasi dan lebih banyak biopsi pada tahun-tahun selepas pembedahan berbanding S-BCS. Nampaknya O-BCS mungkin memberikan kepuasan pesakit dan penilaian pakar bedah yang lebih baik bagi rupa payudara, tetapi bukti untuk ini adalah berkualiti rendah, dan oleh kerana kekurangan data bernombor, adalah tidak mungkin untuk mengumpulkan keputusan kajian yang berbeza.

Adalah tidak mungkin untuk membuat kesimpulan sama ada hasil kanser untuk kemunculan semula setempat dan kelangsungan hidup bebas penyakit untuk O-BCS adalah serupa dengan mastektomi dengan atau tanpa pembinaan semula kerana tidak banyak kajian berkualiti baik. Nampaknya O-BCS mempunyai kurang komplikasi daripada pembedahan yang melibatkan mastektomi.

Dalam amalan, keputusan untuk memilih O-BCS harus dilakukan melalui membuat keputusan bersama dengan pakar bedah, membincangkan potensi risiko dan faedah.

Kepastian bukti

Kepastian bukti dalam ulasan ini adalah sangat rendah. Kajian-kajian ini mempunyai beberapa kelemahan dalam metodologi. Perbezaan antara kumpulan dalam peringkat kanser dan rawatan kanser lain yang digunakan mungkin telah menjejaskan keputusan. Ini berkemungkinan memberi kesan kepada penemuan, dan penyelidikan masa depan diperlukan untuk mengkaji topik ini dengan lebih lanjut.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information