Senaman sebelum pembedahan terancang aneurisma aorta abdomen

Latar belakang

Aorta abdomen adalah saluran darah utama dalam badan yang membawa darah daripada jantung ke organ utama di dada dan abdoment. Aneurisma aorta abdomen (AAA) ialah bonjolan seperti belon pada aorta. Jika AAA membesar melebihi 5.5 cm diameter (panjang dari satu sisi ke sisi yang lain), kemungkinan untuk AAA koyak (pecah) meningkat. AAA yang koyak menyebabkan kematian melainkan pembedahan dijalankan sejurus selepas kejadian untuk membaiki koyakan. Pembedahan disyorkan untuk orang dengan diameter AAA melebihi 5.5 cm atau mempunyai kesakitan yang berkaitan dengan AAA, untuk mengurangkan risiko koyakan dan kematian. Komplikasi selepas pembedahan terancang AAA adalah perkara biasa. Senaman sebelum pembedahan AAA boleh membantu orang ramai menjalani pemulihan yang lebih baik selepas pembedahan. Pada masa ini pengulas tidak tahu sama ada senaman sebelum pembedahan akan membantu orang ramai menjalani pemulihan yang lebih baik selepas pembedahan AAA. Pengulas mendapati hanya beberapa kajian yang melihat sama ada senaman sebelum pembedahan AAA membantu orang ramai menjalani pemulihan yang lebih baik, oleh itu lebih banyak kajian diperlukan sebelum pengulas yakin bahawa senaman itu membantu pemulihan.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Pengulas mencari literatur pada 6 Julai 2020, dan mereka menemui empat kajian yang merangkumi 232 peserta dengan AAA yang berada dalam senarai menunggu untuk pembedahan AAA. Kajian secara rawak meletakkan peserta ke dalam dua kumpulan, satu dengan senaman sebelum pembedahan dan satu lagi dengan penjagaan biasa (tiada senaman sebelum pembedahan, peserta mengekalkan aktiviti fizikal biasa). Jenis senaman termasuk latihan litar, senaman berterusan berintensiti sederhana dan latihan selang berintensiti tinggi. Dalam tiga daripada empat kajian, peserta dalam kumpulan senaman diawasi oleh profesional penjagaan kesihatan di hospital apabila mereka melakukan sesi senaman mereka. Dalam kajian lain, sesi senaman pertama diawasi di hospital, dan sesi berikut telah dilengkapi oleh peserta sendiri di rumah mereka. Bilangan dan tempoh sesi latihan adalah berbeza dalam kajian-kajian ini. Ada sesi senaman yang dijalankan tiga kali seminggu dan ada yang enam kali seminggu. Dalam beberapa kajian, peserta bersenam selama seminggu dan beberapa peserta kajian bersenam selama enam minggu sebelum pembedahan mereka.

Maklumat terhad daripada sebilangan kecil kajian menunjukkan bahawa senaman sebelum pembedahan AAA mungkin mengurangkan sedikit komplikasi jantung dan buah pinggang selepas pembedahan, berbanding dengan tanpa senaman (penjagaan biasa) sebelum pembedahan AAA. Pengulas tidak pasti sama ada senaman sebelum pembedahan AAA mengurangkan kematian dalam tempoh 30 hari selepas pembedahan AAA, komplikasi paru-paru, keperluan untuk rawatan lanjut atau perdarahan selepas pembedahan, berbanding dengan tanpa senaman sebelum pembedahan AAA. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan senaman dan penjagaan biasa dalam tempoh tinggal di unit rawatan rapi, tempoh tinggal di hospital dan kualiti hidup. Tiada kajian melaporkan maklumat untuk bilangan hari peserta menggunakan ventilator dan perubahan dalam saiz AAA sebelum dan selepas bersenam.

Kepastian terhadap bukti

Kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah kerana cara kajian direka (risiko bias), dan bilangan orang yang kecil dalam kajian. Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk meningkatkan keyakinan pengulas terhadap sebarang faedah bersenam sebelum pembedahan AAA untuk mengurangkan komplikasi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information