Penggunaan ubatan tambahan semasa pembedahan katarak untuk meningkatkan kejayaan berterusan pembedahan yang sedia ada (trabekulektomi)

Mengapakah soalan ini penting?
Glaukoma dan katarak adalah masalah global yang boleh memberi kesan kepada keadaan ekonomi dan sosial seseorang. Kehilangan penglihatan akibat daripada glaukoma adalah kekal, kerana peningkatan tekanan dalam mata yang terjadi akibat glaukoma merosakkan saraf optik yang membawa isyarat dari mata ke otak. Tujuan utama rawatan untuk glaukoma adalah untuk mengurangkan tekanan ini, dan dengan itu, melambatkan kerosakan progresif pada penglihatan.

Walaupun rawatan perubatan dan laser adalah berkesan dalam merawat glaukoma, satu pembedahan yang dikenali sebagai trabekulektomi diperlukan apabila rawatan-rawatan ini tidak menghentikan peningkatan kerosakan pada penglihatan. Satu lubang kecil dipotong pada bahagian putih mata untuk membolehkan cecair berlebihan mengalir keluar dari mata. Apabila seseorang dengan trabekulektomi menjalani pembedahan katarak, ubatan tambahan sering digunakan untuk menghentikan mata daripada sembuh dengan berlebihan dan menghasilkan tisu parut, yang boleh menyekat lubang saliran dan menyebabkan trabekulektomi tersebut gagal.

Dalam ulasan ini, pengulas melihat pesakit dengan trabekulektomi yang berfungsi serta menjalani pembedahan katarak dan yang menerima ubatan tambahan (5-fluorouracil, mitomycin C, atau terapi faktor pertumbuhan endotelial anti-vaskular) berbanding mereka yang tidak menerima ubatan tambahan.

Bagaimana pengulas mengenalpasti dan menilai bukti?
Pengulas mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal dengan peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), kerana kajian inilah yang memberikan bukti yang paling kukuh mengenai kesan rawatan. Pengulas merancang untuk menggabungkan hasil kajian yang disertakan untuk mendapat jawapan kepada persoalan kajian.

Apakah yang telah pengulas temui?
Pengulas mendapati tiada kajian rawak terkawal yang memenuhi kriteria mereka.

Apakah maksudnya?
Pengulas tidak tahu sama ada rawatan perubatan tambahan semasa pembedahan katarak meningkatkan kemungkinan lubang saliran kekal terbuka, kerana tiada bukti pada masa ini. Adalah lebih baik sekiranya lebih banyak kajian dijalankan dalam bidang ini pada masa depan.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini hingga April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza Ismai (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information