Intervensi untuk kanak-kanak dan remaja yang mencederakan diri sendiri

Kami telah mengkaji penulisan antarabangsa mengenai intervensi psikososial, farmokologi (ubat) dan produk semula jadi (makanan tambahan) kajian-kajian rawatan di lapangan. Sebanyak 17 kajian yang memenuhi kriteria kemasukan telah dikenal pasti. Terdapat sedikit bukti kesan menguntungkan bagi psikoterapi berdasarkan terapi tingkah laku kognitif individu (CBT), terapi berdasarkan mental untuk remaja (MBT-A), psikoterapi berdasarkan kumpulan, pendekatan penilaian yang dipertingkatkan, pendekatan peningkatan kepatuhan, intervensi keluarga, atau intervensi hubungan jauh. Terdapat beberapa bukti keberkesanan terapi tingkah laku dialektik (DBT-A) untuk remaja. Walau bagaimanapun, sedikit kajian yang telah dilakukan dan bilangan tersebut adalah kecil, yang bermaksud bahawa kemungkinan kesan baik dari beberapa terapi tidak dapat ditentukan.

Mengapakah ulasan ini penting?

Mencederakan diri sendiri (SH), termasuk meracuni diri sendiri/mengambil ubat secara berlebihan dan mencederakan diri sendiri dengan niat, merupakan masalah utama dalam kebanyakan negara dan mempunyai kaitan yang kuat dengan membunuh diri. Oleh itu, rawatan berkesan untuk pesakit SH adalah sangat penting untuk dikembangkan. Terdapat peningkatan penggunaan intervensi untuk SH pada kanak-kanak dan remaja. Oleh yang demikian, adalah penting untuk menilai bukti berkenaan keberkesanannya.

Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?

Para pentadbir hospital (contohnya, penyedia perkhidmatan), pegawai polisi kesihatan dan pembayar pihak ketiga (contohnya, syarikat insurans kesihatan), doktor yang terlibat merawat pesakit SH, pesakit itu sendiri, dan saudara mereka.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane sebelumnya pada tahun 2015, yang mendapati sedikit sahaja bukti berfaedah kesan intervensi untuk pesakit SH dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ulasan yang dikemaskini ini bertujuan untuk menilai dengan lebih lanjut bukti keberkesanan intervensi untuk kanak-kanak dan remaja dengan SH dengan hasil keputusan yang lebih meluas.

Kajian mana yang dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini, kajian-kajian mestilah kajian rawak terkawal sama ada psikososial atau dengan rawatan ubat-ubatan untuk kanak-kanak dan remaja berumur hingga 18 tahun yang baru melakukan SH.

Apa yang diberitahu oleh bukti dari ulasan tersebut?

Adalah mengejutkan apabila tidak banyak penyelidikan mengenai rawatan SH pada kanak-kanak dan remaja, walaupun sebilangan besar masalah ini berlaku di banyak negara. Kami mendapati kesan positif DBT-A terhadap pengulangan SH. Tidak ada bukti jelas untuk keberkesanan psikoterapi berdasarkan CBT individu (CBT), MBT-A, psikoterapi berdasarkan kumpulan, pendekatan penilaian yang dipertingkatkan, pendekatan peningkatan kepatuhan, intervensi keluarga, atau intervensi hubungan jauh dalam mencegah pengulangan SH.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Kami mengesyorkan kajian DBT-A yang lebih lanjut. Memandangkan bukti manfaatnya untuk orang dewasa yang terlibat dalam SH, psikoterapi berasaskan CBT individu juga harus dikembangkan lebih lanjut dan dinilai dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Memandangkan tahap SH pada kanak-kanak dan remaja, perhatian yang lebih besar harus diberikan kepada pengembangan dan penilaian terapi khusus untuk populasi ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nor Amirah Mohd Shukor. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information