Mesej utama
• Pravastatin mengurangkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah dan kesannya bergantung kepada dos dalam julat 5 mg hingga 160 mg.
• Pravastatin pada 80 mg/hari adalah dos berlesen maksimum.
• Dari ulasan sistematik lain yang kami jalankan, pravastatin dan fluvastatin mempunyai kesan yang sama pada kolesterol dan pravastatin mempunyai kesan yang lebih rendah pada kolesterol berbanding statin lain.
Apakah kolesterol dan lemak darah?
Kolesterol diperlukan untuk membina dan mengekalkan semua membran sel haiwan dan ianya penting untuk kehidupan manusia. Komponen utama kolesterol ialah lipoprotein ketumpatan rendah, lipoprotein ketumpatan tinggi, dan trigliserida. Lipoprotein ketumpatan rendah mengangkut molekul lemak di sekeliling badan dalam darah dan menghantar molekul lemak ke sel. Lipoprotein ketumpatan tinggi mengalih keluar molekul lemak dari sel dan mengangkutnya ke hati. Kolesterol dan komponennya; kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah, dan kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi boleh diukur dalam darah. Trigliserida terdapat dalam semua lipoprotein dan juga boleh diukur dalam darah. Lemak darah dianggap berkaitan dengan kejadian buruk yang menjejaskan jantung dan saluran darah.
Apakah pravastatin?
Pravastatin adalah salah satu kelas ubat yang dipanggil statin yang menurunkan kolesterol darah. Apakah statin lain? Adakah mereka mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini?
Apakah yang kami ingin tahu?
Bagaimana dos pravastatin yang berbeza mempengaruhi lemak dalam darah?
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan pravastatin dengan bentuk rawatan tidak aktif (plasebo) dalam tempoh tiga hingga 12 minggu dan mengukur kolesterol dan lemak lain dalam darah. Kami menilai kesan yang tidak diingini dengan melihat bilangan orang yang meninggalkan kajian oleh kerana kesan yang tidak diingini. Kami mempertimbangkan orang dari sebarang umur, dengan dan tanpa bukti penyakit kardiovaskular.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 64 kajian yang mengkaji kesan dos pravastatin yang berbeza dalam 9771 peserta.
Keputusan utama
Orang yang mengambil 5 mg hingga 160 mg pravastatin sehari menurunkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah mereka sebanyak 18.3% hingga 35.3%.
Perbezaan kesan yang tidak diingini antara pravastatin dan plasebo tidak pasti dalam kajian jangka pendek ini.
Apakah batasan bukti?
Banyak kajian tidak melaporkan kesan yang tidak diingini mahupun bilangan orang yang meninggalkan kajian oleh kerana kesan yang tidak diingini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga September 2021.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.