Keberkesanan pembedahan untuk merawat lubang makula lamellar

Mengapakah persoalan ini penting?
Lubang makula lamellar adalah kecacatan kecil ketebalan separa yang menjejaskan pusat retina, dipanggil makula. Retina adalah lapisan di bahagian belakang mata yang mengesan cahaya, dan makula adalah penting untuk penglihatan yang terperinci. Adalah dicadangkan bahawa pembedahan boleh mencegah kehilangan penglihatan (atau memperbaiki penglihatan) pada orang yang mempunyai lubang makula lamellar, tetapi tiada muafakat semasa. Kami mengulas penyelidikan yang diterbitkan untuk menentukan sama ada pembedahan memperbaiki penglihatan bagi orang yang mempunyai lubang makula lamellar.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?
Pertama, kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang disertakan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), kerana kajian ini memberikan bukti paling kukuh tentang kesan rawatan. Kami kemudiannya merancang untuk membandingkan keputusan, dan merumuskan bukti daripada semua kajian. Akhir sekali, kami bermatlamat untuk menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan kesamaan penemuan kajian yang berbeza.

Apakah yang kami temui?
Kami menemui satu kajian yang melibatkan sejumlah 36 orang dengan diagnosis lubang makula lamellar. Kajian ini menunjukkan bahawa orang yang menjalani pembedahan mungkin mencapai penglihatan yang lebih baik enam bulan selepas pembedahan mereka berbanding dengan orang di bawah pemerhatian tanpa menerima pembedahan. Walau bagaimanapun, batasan dalam reka bentuk kajian dan saiznya yang kecil bermakna keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah.

Apakah maksudnya?
Ia masih tidak jelas sama ada pembedahan adalah berkesan untuk orang dengan lubang makula lamellar. Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 20 Julai 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information