Adakah ubat-ubatan boleh mencegah terjadinya tromboemboli vena selepas pembedahan penurunan berat badan?

Apakah itu tromboemboli vena?

Tromboemboli vena (venous thromboembolism, VTE) ialah suatu keadaan klinikal yang biasanya bermula apabila darah beku terbentuk di dalam salur vena. Keadaan ini termasuklah kedua-dua jenis trombosis vena iaitu trombosis vena dalam (apabila darah beku terbentuk di dalam salur vena dalam, biasanya di bahagian kaki) dan emboli pulmonari (apabila darah beku terbentuk di dalam paru-paru atau sampai kepada saluran darah di dalam paru-paru). Kedua-dua situasi di atas boleh mengurangkan kualiti hidup dengan ketara dan juga boleh mengancam nyawa. Mereka yang obes atau mereka yang menjalani pembedahan adalah lebih berkemungkinan untuk mengalami VTE. Justeru itu, mereka yang menjalani prosedur pembedahan bariatrik (bertujuan mengurangkan berat badan dengan menyekat pengambilan atau penyerapan makanan) terutamanya berisiko tinggi mendapat VTE. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada mereka ini patut menerima intervensi yang sama untuk mencegah VTE seperti mereka yang mempunyai keadaan klinikal yang lain.

Bagaimanakah tromboemboli vena boleh dicegah?

Profilaksis VTE (intervensi pencegahan) boleh berbentuk kaedah mekanikal (contohnya stokin elastik atau alat mampatan luaran) atau farmakalogikal (termasuk ubat-ubatan yang mengurangkan pembentukan darah beku, seperti heparin, pentasakarida atau agen antiplatelet), ataupun gabungan kedua-dua pendekatan di atas.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin menilai sama ada sebarang intervensi farmakologi boleh mencegah VTE di kalangan mereka yang menjalani pembedahan bariatrik, dan sama ada intervensi ini adalah selamat.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidik kesan sebarang ubatan untuk mencegah VTE di kalangan mereka yang menjalani pembedahan bariatrik, dibandingkan dengan ubatan yang sama pada dos berlainan, atau yang berbeza fekuensi (diberikan lebih atau kurang kerap), atau yang dimulakan pada masa yang berbeza, atau yang dibandingkan dengan ubatan yang berbeza, atau yang dibandingkan dengan tanpa rawatan atau plasebo (rawatan palsu). Kami juga menyertakan kombinasi pelbagai intervensi.

Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati

Kami menemui tujuh kajian melibatkan 1045 peserta yang menjalani pembedahan bariatrik. Kajian-kajian ini memberikan maklumat tentang empat perbandingan berbeza:

1) Heparin pada dos yang lebih tinggi berbanding dengan heparin pada dos standard;
2) heparin berbanding dengan pentasaccharide;
3) heparin yang dimulakan sebelum berbanding dengan selepas prosedur pembedahan; dan
4) kombinasi profilaksis mekanikal dan farmakologi berbanding dengan profilaksis mekanikal sahaja.

Empat kajian memberikan maklumat untuk perbandingan pertama: satu menilai heparin tanpa pecahan (yang diberikan oleh profesional perubatan dan segera larut) dan tiga menilai heparin berat molekul rendah (yang boleh disuntik sendiri oleh pesakit dan bertindak lebih lama). Terdapat satu kajian untuk setiap daripada tiga perbandingan yang lain.

Heparin pada dos yang lebih tinggi berbanding dengan dos standard mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap VTE atau pendarahan besar di kalangan mereka yang menjalani pembedahan bariatrik. Bukti mengenai kematian, emboli pulmonari, trombosis vena dalam dan kesan sampingan trombositopenia (kiraan darah platelet rendah) adalah tidak pasti.

Heparin berbanding dengan pentasaccharide mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko VTE atau trombosis vena dalam di kalangan mereka yang menjalani pembedahan bariatrik. Bukti mengenai pendarahan besar, kematian, emboli pulmonari dan kesan sampingan (trombositopenia, degupan jantung tidak teratur, ruam, loya dan muntah) adalah tidak pasti.

Heparin sebelum berbanding dengan selepas pembedahan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko VTE atau trombosis vena di kalangan mereka yang menjalani pembedahan bariatrik. Bukti mengenai pendarahan besar dan kematian adalah tidak pasti. Kajian tidak mengukur emboli pulmonari atau kesan sampingan yang berbahaya.

Profilaksis mekanikal beserta profilaksis farmakologi berbanding dengan profilaksis mekanikal sahaja mungkin mengurangkan risiko VTE dan trombosis vena dalam di kalangan mereka yang menjalani pembedahan bariatrik. Bukti mengenai pendarahan besar dan kematian adalah tidak pasti. Kajian tidak mengukur emboli pulmonari atau kesan sampingan yang berbahaya.

Tiada kajian yang mengukur kesan sebarang intervensi terhadap kualiti hidup.

Kesimpulan

Walaupun terdapat beberapa bukti tentang kesan heparin, pentasakarida dan gabungan profilaksis mekanikal dengan farmakologi untuk mencegah VTE di kalangan mereka yang menjalani pembedahan bariatrik, kami masih tidak pasti intervensi manakah yang paling berkesan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah kerana kualiti kajian adalah rendah. Ramai peserta yang menarik diri daripada salah satu kajian, kesan sampingan yang berlaku adalah kecil keseluruhannya, dan kebanyakan kajian mempunyai bilangan peserta yang kecil. Kajian lebih besar yang menilai kesan penting (contohnya VTE, pendarahan besar, kematian akibat sebarang sebab, kematian akibat VTE, emboli pulmonari, trombosis vena dalam, kesan sampingan berbahaya dan kualiti hidup) adalah diperlukan untuk menilai ubatan manakah yang lebih berkesan dan selamat dan pada dos manakah ia patut digunakan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information