Adakah langkah-langkah yang bertujuan untuk mengurangkan penghasilan aerosol semasa prosedur pergigian dapat mencegah transmisi penyakit berjangkit?

Mengapakah soalan ini penting?

Kebanyakan prosedur penjagaan gigi menghasilkan titisan kecil cecair yang terapung di udara, yang disebut aerosol. Contohnya, untuk membuang lapisan bakteria (plak) yang terbentuk di permukaan gigi, doktor gigi menggunakan mesin penskaleran. Skaler bergetar dengan kelajuan tinggi dan menggunakan aliran air untuk membersihkan plak. Ini menghasilkan aerosol yang dibuat dari udara, air, dan air liur pesakit, yang mungkin juga mengandungi mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan virus.

Aerosol yang mengandungi bakteria, kulat atau virus boleh menyebarkan penyakit berjangkit. Mengehadkan penghasilan aerosol ini dapat membantu mencegah transmisi penyakit dalam persekitaran pergigian.

Pelbagai pendekatan boleh diguna untuk mengurangkan penghasilan aerosol yang berpotensi jangkitan semasa prosedur pergigian. Ini termasuk:

- cara untuk dekontaminasi mulut sebelum aerosol dihasilkan, misalnya dengan mengguna ubat kumur anti-mikrobial;

- cara-cara untuk mencegah aerosol keluar dari mulut (misalnya, meletakkan kepingan getah - yang dikenali sebagai 'empangan' - di sekeliling gigi yang akan dirawat, untuk mengasingkan zon rawatan dari air liur; atau menggunakan tiub sedutan seperti dikenali sebagai ejektor air liur);

- pengudaraan setempat menggunakan alat penyedut (dikenali sebagai alat evakuasi isipadu tinggi) yang menyedut isipadu besar udara dan mengeluarkan aerosol dari zon rawatan;

- pengudaraan am, untuk mengurangkan konsentrasi aerosol di udara, misalnya dengan membuka tingkap;

- dekontaminasi aerosol bawaan udara, misalnya menggunakan sinar ultraviolet untuk mensteril udara.

Ini boleh digunakan sendiri, atau dalam kombinasi.

Kami menganalisis bukti dari kajian penyelidikan untuk mengetahui sama ada intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan penghasilan aerosol semasa prosedur pergigian dapat mencegah transmisi penyakit berjangkit. Kami juga ingin tahu tentang kos intervensi, sama ada pesakit dan doktor gigi mendapatinya boleh diterima, dan sama ada intervensi itu mudah dilaksanakan.

Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertama, kami mencari semua kajian yang relevan dalam literatur perubatan yang membandingkan intervensi untuk mengurangkan penghasilan aerosol semasa prosedur pergigian berbanding intervensi lain atau tanpa intervensi. Kami kemudian membandingkan keputusan-keputusannya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti tersebut. Untuk ini, kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian. Berdasarkan penilaian itu, kami mengkategorikan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 16 kajian melibatkan seramai 425 orang. Kajian-kajian melibatkan antara satu dan 80 peserta, yang berumur antara 5 hingga 69 tahun. Enam kajian dilakukan di AS, lima di India, dua di UK dan satu di Mesir, Belanda dan Emiriah Arab Bersatu.

Kajian-kajian menilai satu atau lebih alat berikut:

- alat evakuasi isipadu tinggi (7 kajian);

- alat penyedut bebas tangan (2 kajian);

- ejektor air liur (1 kajian);

- empangan getah (3 kajian);

- empangan getah dengan alat evakusi isipadu tinggi (1 kajian); atau

- sistem pembersihan udara (1 kajian).

Tiada kajian yang menilai risiko transmisi penyakit berjangkit. Atau juga tidak menilai kos, kebolehterimaan atau kemudahan pelaksanaan.

Kesemua 16 kajian mengukur perubahan tahap pencemaran bakteria dalam aerosol, tetapi kami menilai bukti sebagai kepastian yang sangat rendah. Ini bererti kami berkeyakinan sangat rendah terhadap bukti tersebut, dan menjangka kajian lanjutan akan mengubah penemuan ulasan ini. Oleh itu, kami tidak dapat menyimpulkan dari bukti ini sama ada terdapat kesan terhadap tahap pencemaran bakteria. Tiada kajian yang meneliti pencemaran virus atau kulat.

Apakah maksudnya?

Kami tidak tahu sama ada intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan penghasilan aerosol semasa prosedur pergigian mencegah transmisi penyakit berjangkit. Ulasan ini menekan keperluan lebih banyak kajian yang berkualiti dalam bidang ini.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information