Adakah jenis bius untuk terapi saluran semula untuk strok iskemia akut menjejaskan hasil pesakit?

Apakah matlamat ulasan ini?

Strok iskemia akut ialah kehilangan peredaran darah secara tiba-tiba di kawasan tertentu di otak, disebabkan oleh penyumbatan pada salah satu saluran darah, menyebabkan kerosakan saraf. Rawatan segera (saluran semula) untuk membuang penyumbatan boleh memberikan manfaat. Kami ingin mengetahui sama ada jenis bius yang digunakan untuk prosedur ini mempengaruhi rawatan untuk memulihkan aliran darah selepas saluran darah tersumbat (terapi saluran semula).

Apakah jenis terapi saluran semula dan bius?

Terapi saluran semula menggunakan pendekatan yang berbeza untuk memulihkan aliran darah. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan peranti yang berbeza untuk membuang penyumbatan dari arteri besar yang membekalkan otak. Prosedur ini boleh dilakukan di bawah pelbagai jenis bius. Bius am – bius lengkap dengan ubat diikuti dengan pernafasan sokongan (di mana orang itu 'ditidurkan'); bius setempat – ubat tersebut digunakan secara langsung hanya pada kawasan tertentu yang kecil, memberikan kelegaan kesakitan; bius ubat penenang – ubat-ubatan diberikan untuk membuat orang itu berasa mengantuk dan santai dan kemudiannya dipantau dengan teliti, dan penjagaan bius yang dipantau – jenis perkhidmatan bius spesifik yang diminta oleh pakar bius untuk penjagaan pesakit yang menjalani prosedur yang mungkin berubah-ubah antara tahap bius ubat penenang (iaitu minimum, sederhana dan dalam).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui jenis pendekatan bius yang menggalakkan hasil pesakit yang lebih baik semasa terapi saluran semula untuk strok iskemia akut.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pelbagai jenis bius untuk intervensi endovaskular (di mana kateter dimasukkan ke dalam potongan kecil di pangkal peha atau lengan, dan dipandu melalui saluran darah) pada orang yang mengalami strok iskemia akut. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kumpulan. Kami menyertakan kajian yang membandingkan bius am dengan mana-mana jenis bius lain pada orang yang menerima terapi saluran semula dalam strok iskemia akut. Kajian boleh dilakukan di mana-mana sahaja di dunia dan peserta boleh terdiri daripada mana-mana umur asalkan mereka menerima terapi saluran semula endovaskular untuk strok iskemia akut di bawah sebarang jenis bius.

Tarikh carian: 21 Mac 2022

Apa yang kami temui

Kami menemui enam kajian, yang melibatkan seramai 982 orang, di hospital di negara berpendapatan tinggi termasuk China (tiga), Denmark (satu), Perancis (satu), Jerman (satu), dan Sweden (satu). Kami mengumpulkan keputusan apabila sesuai.

Orang yang dirawat dengan bius am mempunyai lebih banyak saluran semula arteri berbanding dengan bius bukan am dalam jangka masa pendek. Bius am tidak mengubah kesejahteraan fungsi dan kematian berbanding dengan bius bukan am dalam jangka masa panjang.

Kebolehpercayaan bukti

Kami mempunyai keyakinan sama ada sedikit atau sederhana dalam keputusan ini kerana, dalam kebanyakan kajian, ada kemungkinan penyelidik yang mengumpulkan maklumat tentang hasil pembedahan mengetahui jenis bius yang diberikan kepada peserta. Ini boleh mempengaruhi penilaian mereka. Juga, sebilangan kecil kajian melibatkan populasi yang kecil. Tambahan pula, kebolehubahan antara kajian yang disertakan, pengurusan dan jenis bius, jenis terapi saluran semula, dan pengalaman penyedia penjagaan kesihatan yang terlibat dalam prosedur mungkin mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap hasil.

Apakah yang berlaku seterusnya?

Carian kami menemui lapan kajian berterusan dengan 2578 peserta. Kami merancang untuk menambah keputusan kajian-kajian ini untuk mengemaskini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information