Rawatan endovaskular untuk stenosis arteri vertebra

Soalan

Adakah rawatan endovaskular ditambah rawatan perubatan bermanfaat untuk mereka yang mengalami stenosis arteri vertebra bergejala berbanding rawatan perubatan sahaja?

Latar belakang

Arteri vertebra adalah saluran darah yang membekalkan bahagian belakang otak. Penyempitan saluran ini (stenosis arteri vertebra) adalah punca utama strok, tetapi tidak semua orang yang mempunyai stenosis arteri vertebra akan mengalami gejala. Rawatan perubatan (terutamanya termasuklah mengawal faktor risiko dan rawatan ubat), pembedahan, dan rawatan endovaskular (pelebaran arteri dengan belon dari dalam arteri, cth angioplasti transluminal perkutaneus, dengan atau tanpa memasukkan tiub jaringan kecil (stent)) adalah pendekatan utama apabila stenosis arteri vertebra menyebabkan gejala (stenosis arteri vertebra bergejala). Walau bagaimanapun, pengurusan optimum untuk orang yang mengalami stenosis arteri vertebra bergejala belum lagi ditubuhkan. Kami mengulas kajian yang membandingkan pendekatan gabungan rawatan endovaskular ditambah rawatan perubatan dengan rawatan perubatan sahaja untuk stenosis arteri vertebra bergejala.

Tarikh carian

Kami mencari pelbagai pangkalan data elektronik data kajian klinikal pada 23 Julai 2021, untuk mencari kajian yang akan membantu kami menjawab soalan kajian.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tiga kajian dengan sejumlah 349 pesakit yang menghidap stenosis arteri vertebra bergejala. Semua kajian telah dijalankan di beberapa pusat. Dua kajian merawakkan pesakit dengan stenosis arteri vertebra intrakranial atau ekstrakranial kepada rawatan endovaskular ditambah rawatan perubatan atau rawatan perubatan sahaja. Satu kajian merawakan pesakit stenosis arteri vertebra intrakranial sahaja kepada rawatan endovaskular ditambah rawatan perubatan atau rawatan perubatan sahaja.

Keputusan utama

Tidak ada perbezaan ketara dari segi risiko kematian atau strok antara orang yang menerima rawatan endovaskular berserta rawatan perubatan dengan pesakit yang menerima rawatan perubatan sahaja.

Kepastian bukti

Kami mempunyai keyakinan rendah hingga sederhana terhadap hasil kajian: keyakinan kami tidak lebih tinggi kerana pesakit tahu siapa yang menjalani rawatan dan beberapa hasil mempunyai selang keyakinan yang luas disebabkan oleh sedikit pesakit dengan peristiwa titik akhir.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information