Adakah terapi kesedaran dapat membantu orang ramai untuk berhenti merokok?

Mesej utama

- Pada masa ini tiada bukti jelas bahawa rawatan berasaskan terapi kesedaran dapat membantu orang ramai berhenti merokok atau meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan mereka.

- Walau bagaimanapun, keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah atau sangat rendah, dan bukti lanjut berkemungkinan mengubah kesimpulan kami.

Apakah terapi kesedaran?

Terapi kesedaran adalah satu kaedah tumpuan dan perhatian pada fikiran dan perasaan anda dan memerhatikannya tanpa menilai apabila ia timbul dan berlalu pergi. Terapi ksedaran dipercayai dapat membantu seseorang mengawal fikiran dan perasaan mereka dengan lebih baik, dan bukannya dikawal oleh perasaan dan fikiran mereka. Bila sesoarang berhenti merokok akan timbul desakan yang kuat untuk merokok dan mood yang rendah, jadi rawatan berasaskan kesedaran boleh meningkatkan keupayaan orang ramai untuk menghadapi desakan dan mood yang rendah ini.

Jenis terapi berasaskan kesedaran termasuk:

- latihan kesedaran (yang melibatkan latihan meditasi berasaskan kesedaran);

- terapi penerimaan dan komitmen (ACT); yang tidak mengajar meditasi tetapi menggalakkan orang ramai untuk menerima fikiran dan perasaan mereka daripada melawan mereka, sambil membuat perubahan tingkah laku yang berterusan);

- latihan toleransi tekanan (yang menyediakan atau merupakan sebahagian daripada terapi ACT, ia juga menunjukkan atau mencabar mereka yang merokok dengan situasi yang membuatkan mereka ingin merokok. Terapi ini membolehkan mereka mempraktikkan kemahiran yang telah mereka pelajari melalui ACT);

- yoga (yang meningkatkan kesedaran tentang pernafasan dan menggalakkan hubungan antara minda dan badan).

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada program berhenti merokok berasaskan terapi kesedaran memberi kesan yang lebih baik daripada program berhenti merokok yang lain atau tiada rawatan langsung untuk membantu orang ramai berhenti merokok.

Kami ingin tahu:

- berapa orang berhenti merokok sekurang-kurangnya selama enam bulan;

- sama ada terdapat perubahan dalam kesihatan mental dan kesejahteraan mereka.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang memerhatikan penggunaan terapi kesedaran bagi membantu orang ramai berhenti merokok.

Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati terdapat 21 kajian melibatkan 8186 orang muda dan dewasa yang merokok.

Kajian-kajian tersebut menguji pelbagai rawatan berasaskan kesedaran, termasuk latihan kesedaran (8 kajian), ACT (8 kajian), yoga (3 kajian), dan latihan toleransi tekanan (2 kajian). Kajian-kajian tersebut membandingkan kaedah rawatan ini dengan:

- rawatan berhenti merokok yang lain yang sama-sama memerlukan masa yang intensif (seperti kaunseling);

- rawatan berhenti merokok lain yang kurang memerlukan masa yang intensif (seperti kaedah nasihat ringkas);

- tiada rawatan.

Sebilangan besar kajian dilakukan di Amerika Syarikat (15 kajian). Kajian-kajian yang lain dilakukan di Hong Kong (2 kajian), Brazil (1 kajian), Ireland (1 kajian), dan Cyprus (1 kajian). Satu kajian tidak melaporkan negara tempat ianya dijalankan.

Hasil-hasil utama

Kami tidak menemui bukti jelas bahawa terapi kesedaran membantu orang ramai berhenti merokok. Apabila kami mengumpulkan kajian mengikut jenis intervensi berasaskan terpai kesedaran yang diterima oleh peserta, kami tidak menemui bukti bahawa peserta yang menerima latihan terapi kesedaran, ACT, latihan toleransi tekanan atau yoga lebih berkemungkinan berhenti merokok berbanding mereka yang menerima sebarang rawatan berhenti merokok yang lain atau tiada rawatan/sokongan langsung.

Sembilan kajian melihat sama ada rawatan berhenti merokok berasaskan terapi kesedaran menghasilkan perubahan positif pada kesihatan mental dan kesejahteraan, diri, seperti pengurangan tekanan atau kebimbangan/keresahan atau peningkatan pada emosi/mood. Satu diantara kajian-kajian ini mendapati bahawa mereka yang menerima program latihan kesedaran melaporkan mereka kurang tertekan berbanding mereka yang menerima rawatan berhenti merokok alternatif. Walau bagaimanapun, 8 kajian yang lain tidak menemui bukti perbezaan terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan diantara kumpulan-kumpulan kajian.

Apakah batasan bukti yang disertakan?

Kami menilai kualitinya sebagai sangat rendah, kerana terdapat masalah dengan reka bentuk kajian, penemuan kajian yang sangat berbeza di antara satu dengan yang lain, dan bilangan peserta yang mengambil bahagian tidak mencukupi, menjadikannya sukar untuk menentukan sama ada terapi kesedaran membantu orang ramai untuk berhenti merokok ataupun sama ada ianya dapat dikaitkan dengan kesihatan mental dan kesejahteraan yang lebih baik. Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk membuat kesimpulan yang lebih kukuh.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 15 April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir @Azman. Disunting oleh Rosnani binti Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane#@rcsiucd.edu.my

Tools
Information