Pilihan rawatan untuk tumor neuroendokrin

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang keselamatan dan keberkesanan terapi untuk tumor neuroendokrin (NETs) di saluran gastrousus dan pankreas untuk memberikan penarafan pilihan-pilihan rawatan ini.

Latar belakang

NETs ialah kumpulan pelbagai jenis kanser yang jarang berlaku, yang bermula di mana-mana bahagian badan. Walau bagaimanapun, kebanyakan tumor neuroendokrin berasal dari saluran gastrousus atau pankreas. Terdapat banyak jenis NETs dengan kadar pertumbuhan dan gejala yang berbeza. Walaupun sesetengah NETs menghasilkan hormon berlebihan, NETs yang lain tidak mengeluarkan hormon, atau kurang hormon untuk menyebabkan gejala. Pilihan rawatan, serta kombinasi dan turutannya, bergantung pada jenis tumor, lokasinya, keagresifan, dan sama ada ia menghasilkan hormon berlebihan.

Sehingga kini, tiada cadangan jelas yang dapat diberikan tentang rawatan NETs yang paling berkesan dan yang paling kurang menyebabkan kejadian buruk. Kami menggunakan kaedah statistik untuk membandingkan semua terapi antara satu sama lain berdasarkan maklumat sedia ada.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 22 kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan rawatan), yang diterbitkan sebelum 11 Disember 2020, sejumlah 4299 peserta. Terdapat perbezaan dalam lokasi tumor (saluran gastrousus dan pankreas), jenis tumor, saiz sampel, rawatan, dan kualiti penyelidikan antara kajian.

Keputusan utama

Analisis ini mencadangkan, secara umum, keunggulan terapi gabungan, termasuk ubat-ubatan seperti somatostatin, dalam kedua-dua NETs gastrousus dan pankreas. Walau bagaimanapun, dalam NETs pankreas, everolimus adalah terapi yang paling berkesan dengan kepastian bukti tertinggi berbanding dengan rawatan lain. Tambahan pula, keputusan menunjukkan bahawa terapi NETs mempunyai pelbagai risiko terhadap kejadian buruk dan kesan pada kualiti hidup. Oleh sebab perkembangan penyakit ke peringkat lanjut pada masa penemuan dan rawatan sering diberikan dengan tujuan untuk mengawal dan mengecutkan penyakit, bukannya penyembuhan sempurna, pertimbangan utama diberi kepada kejadian buruk rawatan dan kualiti hidup.

Kualiti bukti

Kami menilai kepastian bukti yang tinggi hingga rendah untuk pelbagai pilihan terapi. Penarafan rawatan (termasuk gabungan) secara keseluruhan tidak dapat dilakukan. Untuk membuat keputusan termaklum, kelebihan dan kekurangan setiap terapi, termasuk risiko terhadap kejadian buruk dan kesan pada kualiti hidup, perlu seimbang antara satu sama lain. Bukti daripada meta-analisis rangkaian ini (dan RCTs berkaitan) tidak menyokong sebarang terapi tertentu (atau gabungan terapi) berkenaan dengan hasil penting berkaitan pesakit (contohnya, kelangsungan hidup secara keseluruhan dan kualiti hidup).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information