Latar belakang
Pembedahan pintasan (iaitu mengambil salur darah dari kaki yang sama atau sebelah yang lain (graf) dan menggunakannya untuk membawa darah dari atas ke bawah bahagian arteri yang tersumbat, rosak, atau melebar) adalah prosedur pembedahan yang sering digunakan untuk merawat penyakit arteri periferal bahagian kaki (daripada bahagian pinggang ke bawah) yang bergejala (penyakit di mana saluran darah menyempit atau tersumbat), aneurisma bahagian kaki (pengembangan saluran darah seperti belon), dan trauma vaskular utama bahagian kaki. Ini adalah pilihan rawatan yang sudah dikenal pasti dengan hasil yang sangat baik untuk pemeliharaan anggota badan dan daya tahan graf, tetapi graf boleh mengalami penyempitan (stenosis), yang boleh mengganggu fungsinya. Terdapat dua pilihan untuk merawat stenosis ini sebelum pintasan vena itu tersumbat sepenuhnya: intervensi pembedahan terbuka dan intervensi endoluminal. Prosedur pembedahan terbuka mempunyai ketahanan yang lama, tetapi prosedurnya adalah invasif. Intervensi seperti ini boleh menyebabkan komplikasi luka selepas pembedahan. Rawatan endoluminal adalah kurang invasif. Rawatan ini mungkin dikaitkan dengan komplikasi selepas pembedahan yang lebih sedikit tetapi mungkin kurang ketahanan jika dibandingkan dengan rawatan pembedahan terbuka. Tinjauan ini dilakukan untuk menyiasat adakah lebih baik melakukan intervensi terbuka atau endoluminal untuk merawat stenosis pada pintasan graf vena.
Ciri-ciri kajian dan keputusan utama
Kami mencari bukti yang secara langsung membandingkan intervensi endoluminal dengan intervensi pembedahan terbuka untuk stenosis pada graf vena selepas pintasan infrainguinal (sehingga 25 Ogos 2020). Kami tidak menemui percubaan terkawal secara rawak (kajian klinikal di mana peserta dibahagikan secara kebetulan antara dua atau lebih kumpulan rawatan) mengenai topik ini. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk membantu pakar bedah vaskular dan endovaskular dan pesakitnya dalam membuat pilihan terbaik untuk rawatan stenosis graf vena berikutan pintasan di kaki.
Kebolehpercayaan bukti
Disebabkan kami tidak menemui kajian yang sesuai, jadi kami tidak dapat menilai sebarang bukti.
Kesimpulan
Kami tidak menjumpai RCT yang membandingkan intervensi endoluminal berbanding intervensi pembedahan untuk stenosis graf vena berikutan pintasan di kaki. Kajian berkualiti tinggi yang dapat memberikan bukti tentang cara pengurusan stenosis graf vena selepas pintasan infrainguinal diperlukan.
Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my