Apakah faedah dan risiko terapi luka tekanan negatif untuk menguruskan abdomen terbuka pada orang yang bukan pesakit trauma?

Mesej utama

- Kami tidak tahu sama ada terapi luka tekanan negatif (negative pressure wound therapy, NPWT, ditakrifkan sebagai tekanan yang lebih rendah daripada tekanan rujukan, secara amnya menyebabkan sedutan) membantu luka perut sembuh dengan lebih cepat atau mengurangkan potensi kesan bahaya berbanding dengan menggunakan beg Bogota (beg cecair steril yang digunakan untuk menutup luka perut).

- Kami tidak tahu sama ada sistem Suprasorb CNP (sejenis NPWT) membantu luka perut sembuh dengan lebih cepat atau mengurangkan potensi kesan bahaya berbanding dengan menggunakan sistem ABThera (jenis NPWT lain).

- Kami tidak tahu sama ada NPWT meningkatkan risiko tebuk usus. Penyelidikan masa depan patut meneroka masa penyembuhan, potensi kesan yang tidak diingini atau berbahaya, kematian semua sebab, tempoh tinggal di hospital, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kadar operasi semula, jangkitan luka dan hasil kesakitan.

Apakah abdomen terbuka?

Kadang-kadang perut seseorang perlu dibiarkan terbuka sewaktu ia sembuh selepas pembedahan. Tetapi, kadar kematian yang tinggi dikaitkan dengan membiarkan perut terbuka selepas pembedahan. Pengurusan abdomen terbuka adalah beban yang besar bagi pesakit dan doktor.

Bagaimana ini diuruskan?

NPWT menggunakan pembalut tertutup yang disambungkan ke pam vakum untuk mengalirkan cecair dari luka. Tetapi, keselamatan dan keberkesanan NPWT sebagai rawatan abdomen terbuka masih tidak dapat dipastikan.

NPWT telah digunakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk merawat pesakit bukan trauma selepas pembedahan abdomen. Pesakit bukan trauma ialah pesakit yang memerlukan pembedahan untuk keadaan yang bukan disebabkan oleh trauma (cth jangkitan perut, kanser, iskemia).

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada NPWT berkesan dalam merawat abdomen terbuka selepas pembedahan pada pesakit bukan trauma dalam mana-mana persekitaran penjagaan. Kami ingin membandingkan NPWT dengan kaedah rawatan lain atau jenis NPWT lain, dan kami amat berminat dengan kesannya terhadap perkara berikut:

- penutupan luka (berapa lama yang diambil untuk luka tutup dan berapa ramai orang yang mengalami luka yang tertutup sepenuhnya);

- jika terdapat sebarang kesan bahaya atau tidak diingini (cth penembusan usus);

- kadar kematian;

- kualiti hidup atau status kesihatan peserta;

- tempoh penginapan hospital;

- kadar operasi semula;

- jangkitan luka; dan

- kesakitan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan NPWT dengan mana-mana jenis penutupan perut sementara yang lain dikalangan pesakit bukan trauma dengan abdomen terbuka. Kami juga merangkumi kajian yang membandingkan pelbagai jenis sistem NPWT untuk menguruskan abdomen terbuka pada pesakit bukan trauma. Kami tidak mempunyai sekatan berkenaan dengan bahasa, tarikh penerbitan, atau tempat kajian dijalankan. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menjumpai satu kajian pusat tunggal dijalankan di Turki, yang melibatkan 40 orang dewasa dengan abdomen terbuka. Para peserta dibahagikan secara rawak untuk rawatan sama ada dengan NPWT atau beg Bogota. Kami tidak dapat mengetahui daripada keputusan sama ada jika dibandingkan dengan beg Bogota, NPWT mengurangkan:

- masa yang diperlukan untuk luka ditutup sepenuhnya;

- kesan berbahaya atau tidak diingini (penembusan usus);

- kadar kematian; atau

- tempoh penginapan hospital antara kumpulan.

Kajian itu tidak melaporkan perkadaran peserta dengan luka yang berjaya ditutup, kualiti hidup berkaitan kesihatan peserta, kadar operasi semula, jangkitan luka atau kesakitan.

Kami menjumpai satu lagi kajian pusat tunggal yang dijalankan di Austria yang melibatkan 34 orang dewasa dengan abdomen terbuka. Peserta dibahagikan secara rawak untuk rawatan sama ada dengan sistem Suprasorb CNP atau sistem ABThera. Kami tidak dapat mengetahui daripada keputusan sama ada jika dibandingkan dengan sistem ABThera, sistem CNP Suprasorb mengurangkan:

- nisbah orang dengan luka yang berjaya ditutup;

- kesan berbahaya atau tidak diingini (penembusan usus);

- kadar kematian; atau

- kadar operasi semula antara kumpulan.

Kajian tidak melaporkan masa yang diperlukan untuk luka ditutup sepenuhnya, kualiti hidup berkaitan kesihatan peserta, tempoh penginapan hospital, jangkitan luka, atau kesakitan.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami hanya menemui dua kajian yang berkaitan, jadi kami tidak pasti tentang faedah atau bahaya menggunakan NPWT berbanding dengan menggunakan beg Bogota atau jenis sistem NPWT yang berbeza. Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan NPWT dengan jenis penutupan abdomen sementara yang lain.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information