Mesej utama
-Terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk alopesia areata sebagai terapi sistemik seperti imunosupresan dan rawatan setempat seperti perangsang pertumbuhan rambut, tetapi ianya tidak jelas sejauh mana rawatan tersebut membantu dalam menghasilkan pertumbuhan rambut baharu di bahagian yang terlibat.
-Hanya satu rawatan imunosupresan oral, baricitinib, menunjukkan peningkatan dalam pertumbuhan semula rambut.
-Terapi nampaknya selamat dan kesan sampingan yang serius jarang berlaku.
-Lebih banyak kajian yang berkualiti diperlukan untuk menilai terapi yang bermanfaat.
Apakah itu alopesia areata?
Alopesia areata adalah keadaan biasa yang dicirikan oleh keguguran rambut setempat atau tersebar pada kulit kepala atau pada badan. Hampir separuh daripada pesakit mengalami pertumbuhan rambut baharu tanpa rawatan, tetapi sebilangan besar daripada mereka masih memerlukan rawatan khusus.
Bagaimanakah alopecia areata dirawat?
Kebanyakan pesakit sembuh secara spontan dan, dalam beberapa kes, doktor dan pesakit mungkin memilih untuk menunggu rambut baharu tumbuh. Walau bagaimanapun, pertumbuhan spontan jarang berlaku dalam kes-kes yang serius. Bagi pesakit yang memerlukan ubatan, terdapat pelbagai rawatan, termasuk terapi topikal, rawatan oral, dan suntikan kortikosteroid setempat.
Mengapakah kami melakukan Ulasan Cochrane ini?
Disebabkan landskap rawatan untuk alopesia areata luas, kami ingin mengetahui potensi manfaat dan kemudaratan bagi rawatan yang sedia ada, dan untuk melihat sama ada sesetengah rawatan berfungsi lebih baik daripada rawatan yang lain.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menguji terapi untuk merawat alopesia areata (AA), alopesia totalis (AT) dan alopesia universalis (AU). Terapi yang kami cari termasuk ubat-ubatan yang diberikan secara oral atau melalui suntikan ke bawah kulit (subcutaneous) dengan kesan sistemik (yang memberi kesan terhadap badan secara keseluruhan) seperti imunosupresan, dan rawatan setempat (yang memberikan kesan terhadap permukaan kulit) seperti perangsang pertumbuhan rambut atau krioterapi. Rawatan ini dibandingkan dengan plasebo (rawatan ‘dummy’ yang tidak mengandungi sebarang ubat) atau dengan ubatan lain. Kami menilai kesan rawatan terhadap pertumbuhan semula rambut yang signifikan (sama atau lebih daripada 75% dan diukur dari 12 hingga 26 minggu selepas memulakan rawatan atau melebihi 26 minggu), terhadap kesejahteraan (kualiti hidup), dan jika rawatan tersebut berkemungkinan untuk menyebabkan kejadian buruk yang serius (kesan yang tidak diingini atau berbahaya).
Kami juga merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami menyertakan bukti setakat Julai 2022.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 63 kajian yang menguji 47 terapi berbeza dalam kalangan 4817 orang dengan AA, AT atau AU (peserta berumur antara 2 dan 74 tahun).
Dalam 12 perbandingan (satu perbandingan bermakna satu rawatan berbanding dengan rawatan lain) yang dianggap lebih relevan bagi amalan klinikal, pertumbuhan semula rambut jangka pendek ≥ 75% (dari 12 hingga 26 minggu susulan) dinilai dalam 14 kajian dan pertumbuhan semula jangka panjang ≥ 75% (selepas 26 minggu susulan) dinilai dalam dua kajian. Hanya satu kajian menilai kesejahteraan (kualiti hidup) dan 22 kajian menilai kejadian buruk yang serius (walaupun hanya empat kajian melaporkan sekurang-kurangnya satu kejadian buruk yang serius).
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Baricitinib (ubat imunosupresan yang diambil melalui mulut) berbanding dengan plasebo meningkatkan pertumbuhan semula rambut ≥ 75% (kedua-dua jangka pendek dan panjang) dan kami yakin dengan keputusan ini. Bukti bagi kesan perangsang topikal pertumbuhan rambut (minoxidil) terhadap pertumbuhan semula rambut dalam jangka pendek ≥ 75% berbanding dengan plasebo adalah sangat tidak pasti memandangkan sebahagian besar keputusan berbeza dari kajian ke kajian. Ianya tidak jelas sama ada rawatan lain berbanding dengan plasebo atau ubat lain memberikan kesan terhadap pertumbuhan semula rambut, dan kami tidak yakin dengan bukti tersebut kerana keputusan daripada kajian-kajian berbeza dengan meluas, dan melibatkan sedikit peserta. Sesetengah kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana kajian dijalankan, atau sekiranya peserta yang mengambil bahagian mengetahui apa yang telah mereka terima, yang mana ini mungkin mempengaruhi keputusan kajian. Kajian lanjut mungkin mengubah keputusan ini.
Empat kajian yang menilai ubatan imunosupresan dupilumab (diberikan secara subkutan), baricitinib, dan ruxolitinib topikal melaporkan 30 kesan buruk yang serius (23 dalam kumpulan rawatan dan 7 dalam kumpulan plasebo) dalam kalangan sejumlah 1332 peserta. Dalam semua kes, penulis tidak mewujudkan hubungan langsung antara kejadian buruk yang serius dan terapi. Tiada kematian, jangkitan serius atau kes kanser. Berdasarkan bukti yang ada, rawatan tersebut mungkin memberikan sedikit atau tiada kesan terhadap kejadian buruk yang serius.
Ianya tidak jelas sama ada siklosporin oral (ubat imunosupresan) mempunyai kesan terhadap kualiti hidup.
Batasan bukti
Keyakinan kami terhadap bukti hanya tinggi untuk satu perbandingan (baricitinib berbanding plasebo) dan, untuk bukti selebihnya yang dikenal pasti, keyakinan kami secara amnya rendah kerana kebanyakan terapi telah dinilai dalam kajian dengan kelemahan dari segi reka bentuk, dengan sedikit pesakit, dan belum direplikasi untuk menilai keputusan yang konsisten.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).