Mengapakah persoalan ini penting?
Demensia adalah keadaan kronik dan progresif yang menjejaskan ingatan dan keupayaan manusia untuk menjalankan fungsi harian. Diagnosis klinikal demensia biasanya melibatkan imbasan otak, pemeriksaan fizikal dan pengambilan sejarah. Sebagai langkah pertama, kami sering menggunakan ujian ingatan dan pemikiran untuk mengenalpasti orang yang memerlukan penilaian lanjut. Secara tradisinya, ujian ini dilakukan secara bersemuka, tetapi pengubahsuaian ujian membenarkan penggunaan melalui telefon atau melalui panggilan video – kadangkala dikenali sebagai 'penilaian jauh'.
Keperluan untuk penilaian jarak jauh telah menjadi sangat mendesak disebabkan oleh COVID-19. Walau bagaimanapun, terdapat potensi manfaat penilaian jarak jauh di sebalik pandemik COVID-19. Menghadiri temu janji secara fizikal boleh menjadi sukar bagi sesetengah orang dan penilaian jauh lebih memudahkan. Penilaian jauh juga berguna dalam penyelidikan, kerana ramai orang boleh dihubungi dalam masa yang agak singkat.
Ujian yang disampaikan melalui telefon mungkin tidak sebaik ujian yang dijalankan secara peribadi, dan menjalankan ujian ini dengan betul adalah penting. Di satu pihak, jika sesuatu ujian mencadangkan seseorang mengalami demensia sedangkan mereka tidak (dipanggil positif palsu), ini boleh memberi kesan emosi kepada orang tersebuat dan keluarga mereka. Sebaliknya, sekiranya tidak mengenalpasti masalah ingatan dan pemikiran apabila mereka hadir (dipanggil negatif palsu), bermakna orang tersebuat tidak akan mendapat rawatan dan sokongan yang mereka perlukan.
Apakah matlamat ulasan ini?
Kami berhasrat untuk menilai sama ada ujian ingatan dan pemikiran yang dijalankan melalui panggilan telefon atau video boleh mengesan demensia.
Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Kami melihat pelbagai ujian ingatan dan pemikiran. Banyak ujian telah berkembang dari semasa ke semasa dan ia berbeza dari segi kandungan dan aplikasinya, tetapi kebanyakannya adalah berdasarkan pengubahsuaian ujian peribadi tradisional.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Ulasan ini menyertakan 31 kajian, yang menggunakan 19 ujian memori yang berbeza, dengan sejumlah 3075 peserta.
Hanya tujuh kajian adalah berkaitan dengan persoalan kami mengenai ketepatan ujian jarak jauh. Dengan jumlah kajian yang terhad, anggaran tentang ketepatan ujian-ujian tersebut adalah tidak tepat. Ulasan kami mencadangkan bahawa ujian jarak jauh dapat mengenalpasti orang yang mengalami demensia dengan ketepatan 26% dan 100%, dan boleh menolak diagnosis demensia dengan ketepatan 65% hingga 100%.
Baki 24 kajian membandingkan ujian jarak jauh dengan ujian secara bersemuka yang setara. Kajian-kajian ini mencadangkan bahawa markah ujian jarak jauh biasanya mempunyai persetujuan dengan ujian secara peribadi, tetapi ini adalah tidak sempurna.
Sejauh manakah keputusan kajian dalam ulasan ini boleh dipercayai?
Dalam kajian-kajian ini, diagnosis klinikal untuk demensia digunakan sebagai piawaian rujukan (emas). Kami mengenalpasti beberapa isu dalam reka bentuk, pengendalian dan cara pelaporan kajian. Salh satu isu adalah mengenai pemilihan peserta kajian. Kajian-kajian tersebut selalunya tidak menyertakan orang yang mengalami masalah pendengaran atau bahasa yang mungkin menjadikan pengujian jarak jauh lebih rumit.
Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasi?
Kebanyakan kajian mengkaji orang dewasa yang lebih tua (berumur lebih daripada 65 tahun). Penemuan mungkin tidak mewakili semua orang dewasa yang lebih tua dengan demensia, kerana beberapa kajian hanya meneliti kumpulan orang yang tertentu, contohnya, selepas strok. Kajian-kajian ini biasanya dijalankan di pusat pakar oleh pakar. Oleh itu, kami tidak tahu sejauh mana ujian-ujian ini mengenalpasti demensia dalam amalan komuniti rutin.
Apakah implikasi ulasan ini?
Ulasan menunjukkan kekurangan penyelidikan berkualiti tinggi yang menerangkan ketepatan ujian pemikiran dan ingatan berasaskan panggilan telefon dan video. Terdapat banyak perbezaan antara kajian yang disertakan dalam ulasan ini seperti jenis ujian yang digunakan, peserta yang disertakan, ketetapan kajian dijalankan dan bahasa yang dikaji. Ini menjadikan perbandingan antara kajian sukar. Ulasan kami mencadangkan bahawa penilaian jarak jauh dan penilaian peribadi tidak selalunya setara. Dalam situasi di mana akses kepada penilaian secara peribadi adalah sukar, ujian jarak jauh boleh digunakan sebagai langkah pertama yang berguna. Sebaik-baiknya, ini perlu disusuli dengan penilaian secara peribadi sebelum diagnosis dibuat. Oleh kerana kajian adalah terhad, dan perbezaan dalam cara kajian dijalankan, kami tidak boleh mengesyorkan satu ujian jarak jauh yang tertentu untuk penilaian demensia.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Pencarian ini dijalankan pada Jun 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my