Adakah Intervensi pembedahan lebih baik berbanding tiada rawatan atau intervensi bukan pembedahan dalam merawat hallux valgus (bunions)?

Mesej utama

– Pembedahan mungkin mengakibatkan penambahbaikan dalam tahap kesakitan, serta sedikit penambahbaikan dalam fungsi dan kepuasan terhadap rawatan berbanding dengan tiada rawatan atau rawatan bukan pembedahan. Walau bagaimanapun, komplikasi pembedahan, seperti jangkitan luka, atau kerengsaan peralatan yang memerlukan pembedahan tambahan, perlu diimbangi dengan manfaatnya dalam penambahbaikan tahap kesakitan dan fungsi.

Apakah hallux valgus?

Hallux valgus adalah benjolan tulang yang terbentuk di bahagian dalam kaki (dikenali sebagai bunion). Punca sebenar tidak diketahui tetapi ia diperburuk oleh tekanan yang berterusan pada bahagian hadapan kaki, seperti dengan kasut yang tidak sesuai dan kasut bertumit tinggi. Hallux valgus boleh menyebabkan keseimbangan yang buruk dan meningkatkan risiko jatuh. Pesakit mungkin mengalami kesukaran untuk memakai kasut biasa, kesakitan di bahagian bawah kaki dan ibu jari kaki, serta kesakitan yang disebabkan oleh kerosakan sendi. Semua ini menjadi lebih teruk apabila menanggung berat badan (cth, semasa berdiri).

Orang yang mengalami hallux valgus ingin menghilangkan kesakitan kaki semasa memakai kasut konvensional; penambahbaikan dalam bengkak, kesakitan sendi dan saiz bunion; penambahbaikan berjalan; kurang sekatan dalam aktiviti sukan; kurang menggunakan alat bantu berjalan atau splint/braces; penambahbaikan penampilan kosmetik dan kebebasan daripada ubat.

Bagaimanakah hallux valgus dirawat?

Rawatannya termasuk pilihan bukan pembedahan seperti splint, brace atau pembalut serta prosedur pembedahan yang melibatkan satu sayatan (pembedahan sederhana) atau dua atau lebih sayatan (pembedahan kompleks) pada tulang untuk menyelaraskannya kembali ke kedudukan sebelumnya atau kedudukan yang sepatutnya.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pembedahan adalah lebih baik berbanding tiada rawatan atau rawatan bukan pembedahan dalam menambahbaik tahap kesakitan, fungsi, kualiti hidup dan sama ada pesakit menganggap rawatan tersebut sebagai kejayaan.

Kami juga ingin mengetahui sama ada pembedahan dikaitkan dengan kesan sampingan yang tidak diingini atau keperluan untuk pembedahan tambahan (kegagalan rawatan).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pembedahan dengan tiada rawatan atau rawatan bukan pembedahan atau pelbagai jenis pembedahan dalam kalangan orang dewasa. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 25 kajian yang melibatkan 1597 orang dewasa berumur 16 hingga 80 tahun. Terdapat lebih ramai wanita berbanding lelaki. Peserta dipantau selama purata 20 bulan (berkisar dari lima hingga 84 bulan). Kami tidak menemui kajian yang membandingkan pembedahan dengan plasebo (rawatan pura-pura). Satu kajian membandingkan pembedahan dengan tiada rawatan dan rawatan bukan pembedahan, manakala 24 kajian membandingkan pelbagai jenis pembedahan antara satu sama lain.

Keputusan utama

Di sini, kami mengehadkan laporan kepada perbandingan utama, iaitu pembedahan berbanding tiada rawatan (1 kajian, 140 peserta).

Kajian ini mengukur kesakitan pada skala 0 hingga 100 mata, di mana skor yang lebih rendah menunjukkan kurang kesakitan. Pada 12 bulan selepas pembedahan, kesakitan mungkin telah berkurang berbanding tiada rawatan (sejumlah 18 mata).

– Orang yang tidak menerima rawatan menilai kesakitan mereka pada 39 mata.

– Orang yang menjalani pembedahan menilai kesakitan mereka pada 21 mata.

Kajian ini mengukur fungsi pada skala 0 hingga 100 mata, di mana skor yang lebih tinggi menunjukkan fungsi yang lebih baik. Pada 12 bulan selepas pembedahan, fungsi mungkin telah meningkat sedikit berbanding tiada rawatan (sejumlah 9 mata).

– Orang yang tidak menerima rawatan menilai fungsi mereka pada 66 mata.

– Orang yang menjalani pembedahan menilai fungsi mereka pada 75 mata.

Kajian ini mengukur kualiti hidup pada skala 0 hingga 100 mata, di mana skor yang lebih tinggi menunjukkan kualiti hidup yang lebih baik. Pada 12 bulan selepas pembedahan, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup antara kumpulan.

– Orang yang tidak menerima rawatan menilai kualiti hidup mereka pada 93 mata.

– Orang yang menjalani pembedahan menilai kualiti hidup mereka pada 93 mata.

Kajian ini mengukur kepuasan terhadap rawatan pada skala 0 hingga 100 mata, di mana skor yang lebih tinggi menunjukkan kepuasan yang lebih baik. Pada 12 bulan selepas pembedahan, kepuasan mungkin telah meningkat sedikit berbanding tiada rawatan (sejumlah 19 mata).

– Orang yang tidak menerima rawatan menilai kepuasan mereka pada 61 mata.

– Orang yang menjalani pembedahan menilai kepuasan mereka pada 80 mata.

Kami tidak pasti tentang kesan terhadap kesan yang tidak diingini atau keperluan untuk pembedahan tambahan antara kumpulan.

Apakah batasan bukti?

Kesemua 25 kajian mempunyai kelemahan yang mungkin menjejaskan kebolehpercayaan keputusan mereka. Secara umum, kajian-kajian tersebut mempunyai kaedah yang lemah dan bilangan peserta yang sedikit.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 20 April 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Keesha Ravintharan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information