Keprihatinan untuk meningkatkan kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar perubatan dan doktor muda

Mengapakah ulasan ini penting?

Profesion perubatan diiktiraf kerana sifatnya yang mencabar dan mendesak. Pelajar perubatan dan doktor muda telah dikenal pasti mengalami tekanan peribadi dan profesional yang meningkat sepanjang tahun latihan mereka. Akibatnya, mereka menghadapi peningkatan tekanan pada kesejahteraan mental mereka. Adalah penting bahawa kumpulan ini disokong dalam kesejahteraan mental mereka untuk memastikan keseimbangan keseluruhan dalam kesihatan, serta bagi membantu tanggungjawab mereka terhadap penjagaan pesakit dan keselamatan pesakit. Tambahan pula, pelajar perubatan dan doktor muda selalunya tidak mempunyai masa. Oleh itu, adalah penting untuk menentukan sama ada keprihatinan adalah intervensi yang berkesan yang mewajarkan komitmen masanya. Tiada Ulasan Cochrane sebelum ini yang mengkaji keprihatinan dalam populasi sasaran kami.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Pelajar perubatan dan doktor muda; profesional perubatan lain pada tahap latihan dan kepakaran yang berbeza; dan institusi-institusi seperti universiti dan hospital yang terlibat dalam pendidikan dan latihan pelajar perubatan.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Apakah kesan intervensi psikologi berasaskan keprihatinan terhadap kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar perubatan dan doktor muda?

Kajian manakah yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami mencari pangkalan data untuk mencari semua kajian keprihatinan dalam kalangan pelajar perubatan dan doktor muda yang diterbitkan sehingga Oktober 2021. Untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini, kajian hendaklah merupakan percubaan rawak terkawal (sejenis kajian yang mana peserta-peserta diperuntukkan kepada kumpulan-kumpulan melalui cara rawak). Kajian perlulah memasukkan pelajar perubatan dari mana-mana peringkat tahun atau doktor muda dalam pasca siswazah tahun satu, dua atau tiga. Kami tidak mengecualikan sebarang kajian berdasarkan umur peserta, kewarganegaraan atau keadaan kesihatan yang sedia ada. Kami memasukkan 10 kajian melibatkan sejumlah 731 peserta di dalam analisis ini.

Apakah bukti daripada ulasan ini menunjukkan kepada kami?

Secara keseluruhannya, kami tidak mengenal pasti sebarang bukti kesan intervensi berasaskan keprihatinan terhadap kebimbangan atau gejala kemurungan. Walau bagaimanapun, intervensi berasaskan keprihatinan nampaknya mempunyai kesan positif yang kecil terhadap tekanan dan kesan positif sempadan terhadap keletihan. Kami tidak dapat melaporkan sama ada intervensi berasaskan keprihatinan mempunyai sebarang kesan ke atas kecederaan diri dengan sengaja, idea membunuh diri atau tingkah laku membunuh diri kerana tiada kajian meneliti hasil ini. Akhir sekali, kerana banyak kajian tidak mempunyai susulan jangka panjang peserta, adalah tidak mungkin untuk mengulas tentang kesan jangka panjang keprihatinan dalam kalangan pelajar perubatan dan doktor muda.

Kami menilai kepastian menyeluruh terhadap bukti ini sebagai rendah atau sangat rendah.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Walaupun tiada penemuan positif yang kukuh daripada ulasan ini, beberapa keputusan mengenai keprihatinan dan hasil tekanan menunjukkan bahawa perlu ada kajian lanjut tentang keprihatinan. Sebarang penyelidikan pada masa depan harus direka dengan teliti, dan sebaiknya, termasuk penilaian kesan jangka panjang terhadap keprihatinan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information