Penggunaan antibiotik dalam rawatan kolitis ulseratif

Apakah matlamat ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menentukan sama ada penggunaan antibiotik, berguna dan selamat bagi penghidap penyakit kolitis ulseratif (“ulcerative colitis” UC) untuk mencapai atau mengekalkan remisi/keredaan penyakit.

Mesej utama

Kami mendapati bahawa antibiotik, apabila ditambah kepada terapi standard, kesannya sama sahaja seperti plasebo kerana ianya kerap kali gagal mencapai remisi/keredaan ataupun meningkatkan pemulihan bagi penghidap UC, perkara ini dinilai sehingga tiga bulan selepas pengambilan ubat.

Kami mendapati bahawa antibiotik apabila dibandingkan dengan plasebo mungkin berguna untuk mencapai remisi/keredaan ataupun melegakan sebahagian daripada simptom UC, perkara ini dinilai pada bulan ke 12 selepas pengambilannya.

Dari segi keselamatan, kepastian bukti adalah rendah, tetapi antibiotik mungkin sama selamat dengan plasebo.

Kami mempunyai keyakinan dengan penemuan kajian setakat tiga bulan, tetapi kurang berkeyakinan dengan bukti pada bulan ke 12 disebabkan oleh bilangan peserta yang sedikit.

Apakah dia kolitis ulseratif?

Kolitis ulseratif adalah penyakit keradangan kronik (berlanjutan) yang melibatkan usus besar. Simptom-simptom yang paling lazim termasuklah cirit birit berdarah, sakit perut, dan rasa ingin membuang air besar dengan tiba tiba yang hampir tidak terkawal. Sesetengah orang mengalami simptom-simptom lain seperti sakit sendi, ulcer di dalam mulut dan mata merah/radang. Apabila seseorang sedang mengalami simptom-simptom UC, penyakit mereka dikatakan sedang ‘aktif’. Apabila simptom bertambah baik dengan rawatan, penyakit ini dikatakan menampakkan respon positif kepada rawatan. Apabila simptom sudah tiada, penyakit ini dikatakan sedang berada dalam keadaan reda (‘remisi’). Penghidap UC yang sedang dalam keadaan remisi sering diberikan terapi ubat-ubatan untuk cuba memanjangkan (mengekalkan) tempoh keredaan atau respon terhadap rawatan.

Apakah yang dikaji oleh ulasan ini?

Ulasan ini mengkaji penggunaan antibiotik dalam rawatan UC. Sebelas kajian mempertimbangkan antibiotik sebagai terapi untuk mencapai remisi dan satu kajian mempertimbangkannya sebagai terapi untuk mengekalkan remisi.

Antibiotik secara teorinya boleh membantu kerana ia mungkin dapat membanteras bakteria berbahaya di dalam usus yang dianggap sebahagian daripada punca terjadinya simptom UC.

Buat masa ini, kebanyakan doktor tidak mengesyorkan penggunaan antibiotik melainkan pesakit terbukti mengalami jangkitan kuman.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mencari kajian rawak terkawal (“randomised controlled trials” RCT) yang merupakan kajian klinikal di mana individu diagihkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan yang membandingkan antibiotik dengan rawatan lain atau rawatan palsu. Kami menemui 12 RCT yang melibatkan 847 peserta. Kajian tersebut melibatkan individu pelbagai usia; menggunakan pelbagai jenis dan dos antibiotik; dan juga sama ada antibiotik tersebut diambil sebagai tablet, suntikan atau cara-cara yang lain. Keputusan utama ulasan ini adalah seperti berikut.

1. Antibiotik, apabila ditambah kepada terapi standard, adalah tidak berbeza dengan plasebo dalam kegagalannya mencapai remisi atau mengurangkan simptom penghidap UC apabila dinilai sehingga tiga bulan setelah pengambilannya.

2. Antibiotik mungkin lebih kurang gagal berbanding plasebo dalam mencapai remisi atau melegakan simptom UC apabila dinilai pada bulan ke 12 daripada masa pengambilannya.

3. Dari segi keselamatan, antibiotik mungkin serupa dengan plasebo, tetapi kepastian bukti ini adalah rendah.

4. Perbandingan antara antibiotik dan rawatan lain tidak dapat dipastikan kerana kekurangan bukti yang baik untuk membuat penilaian.

Kesimpulan

Tiada perbezaan antara antibiotik dan plasebo apabila ditambahkan kepada terapi standard dalam mencapai remisi atau mengurangkan simptom untuk jangka masa pendek. Walau bagaimanapun, antibiotik mungkin membantu mengurangkan bilangan mereka yang tidak mencapai remisi, dan berkemungkinan menyebabkan lebih sedikit bilangan mereka yang tidak mengalami kelegaan simptom pada bulan ke 12.

Tiada kesimpulan yang dapat dirumuskan mengenai rawatan-rawatan lain atau keselamatan pengambilan antibiotik disebabkan kekurangan bukti, walaupun terdapat kemungkinan yang antibiotik adalah sama selamat seperti plasebo. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk memberi penjelasan tentang kegunaan antibiotik dalam merawat UC; walau bagaimanapun kajian perlu ditumpukan terhadap kesan jangka panjang berdasarkan penemuan ulasan ini.

Adakah ini ulasan yang mutakhir?

Ulasan ini adalah yang terkini setakat Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information