Apakah isunya?
Kanser payudara metastatik berlaku apabila barah telah merebak ke kawasan badan di luar payudara dan kelenjar limfa yang berdekatan. Walaupun kanser payudara metastatik secara amnya tidak dapat disembuhkan, fakta ini diterima secara meluas bahawa mereka yang mempunyai penyakit metastatik harus menerima beberapa jenis rawatan kemoterapi untuk membantu meringankan keparahan gejala penyakit, memperlambat perkembangan barah dan meningkatkan kelangsungan hidup, jika dibandingkan dengan tidak ada rawatan. Kemoterapi berasaskan platinum diketahui berkesan untuk merawat sejumlah jenis barah termasuk kanser paru-paru, testis, kepala dan leher, pundi kencing dan ovari. Walau bagaimanapun, ia juga diketahui menyebabkan lebih banyak kesan buruk (seperti mual dan muntah, keguguran rambut, anemia, kerosakan ginjal dan sel darah putih rendah) daripada pilihan kemoterapi lain. Dua agen platinum yang paling banyak digunakan untuk merawat barah payudara metastatik adalah karboplatin dan cisplatin.
Dalam kajian Cochrane sebelum ini, kami mendapati bahawa bagi wanita dengan barah payudara metastatik, terdapat sedikit atau tidak ada manfaat untuk kelangungan hidup, dan lebih banyak kesan sampingan yang berkaitan dengan ketoksikan daripada rejimen berasaskan platinum. Walau bagaimanapun, apabila menganalisis kumpulan wanita berpenyakit metastatik yang berbeza, kami mendapati bukti awal mengenai manfaat kelangsungan hidup daripada rejimen berasaskan platinum untuk wanita dengan subjenis triple-negatif kanser payudara metastatik. Istilah 'triple-negatif' berkaitan dengan fakta bahawa subjenis kanser payudara ini menguji negatif untuk reseptor estrogen (ER) dan reseptor progesteron (PgRs), dan mempunyai tahap protein yang rendah yang disebut reseptor 2 faktor pertumbuhan epidermis manusia (HER2).
Ulasan semasa mengemas kini bukti mengenai rejimen yang berasaskan platinum untuk wanita dengan subjenis triple-negatif kanser payudara metastatik (mTNBC).
Mengapa ianya penting?
mTNBC merangkumi kira-kira 12% hingga 17% daripada barah payudara dan dikaitkan dengan kelangsungan hidup yang lebih pendek dan kemungkinan kanser itu kambuh semula. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa penyelidik telah membuat hipotesis bahawa kemoterapi yang mengandungi platinum mungkin lebih berkesan dalam merawat mTNBC daripada pilihan kemoterapi yang lain. Beberapa kajian rawak terkawal (RCT) telah dirancang dan dijalankan untuk menguji hipotesis ini.
Kami bertanya:
Adakah rawatan kemoterapi yang mengandungi agen platinum lebih kurang berkesan untuk merawat wanita dengan mTNBC daripada rawatan kemoterapi yang tidak mengandungi agen platinum?
Kami mendapati...
Kami menemui 10 kajian yang melibatkan 1349 wanita. Bukti adalah terkini sehingga September 2019. Ulasan ini mendapati bahawa bagi wanita dengan mTNBC, kemoterapi yang mengandungi platinum:
- boleh meningkatkan masa kelangsungan hidup berbanding kemoterapi tanpa platinum;
- mengurangkan bilangan barah payudara yang kambuh semula berbanding dengan kemoterapi yang tidak mengandungi platinum tetapi kami tidak dapat pastikan hasil ini;
- menyebabkan tumor mengecut lebih banyak daripada kemoterapi tanpa platinum;
- boleh meningkatkan kemungkinan mual dan muntah yang teruk berbanding dengan rawatan tanpa platinum; dan
- boleh meningkatkan kemungkinan anemia dibandingkan dengan kemoterapi tanpa platinum.
Apakah maksudnya?
Kemoterapi yang mengandungi platinum dapat memberikan manfaat kelangsungan hidup yang kecil bagi peserta mTNBC, tetapi masih cukup besar untuk membenarkan penggunaannya. Manfaat berpotensi ini perlu ditimbang dengan risiko kesan sampingan toksik rejimen berasaskan platinum yang lebih tinggi berbanding rejimen bukan platinum. Kajian lebih lanjut diperlukan sebelum kesimpulan yang lebih pasti dapat dibuat.
Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus - kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my