Mesej utama
1. Kami tidak pasti sama ada formula protein tinggi memberi kesan terhadap kekurangan zat makanan atau obesiti pada bayi.
2. Kajian yang lebih besar diperlukan untuk menilai lebih lanjut manfaat dan potensi bahaya bagi pelbagai jenis formula.
3. Penyelidikan masa depan harus memberi tumpuan kepada pertumbuhan jangka panjang dan perkembangan otak.
Apakah formula bayi protein tinggi dan rendah?
Formula bayi mempunyai kandungan nutrisi yang serupa dengan susu ibu, dan mengandungi bahan seperti susu lembu, lemak, vitamin, protein (seperti whey atau protein soya), dan karbohidrat. Bergantung pada jumlah protein yang terkandung di dalamnya, formula dikategorikan sebagai protein rendah (kurang daripada 1.8 g setiap 100 kcal), protein standard, atau protein tinggi (2.5 g atau lebih setiap 100 kcal).
Mengapa penting untuk mengkaji formula bayi?
Di sebalik pengesyoran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ramai bayi cukup bulan di seluruh dunia diberi susu formula dan bukannya susu ibu. Sesetengah formula bayi mengandungi lebih banyak daripada jumlah protein yang disyorkan; ia direka untuk meningkatkan berat badan bayi semasa tahun pertama kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, kita tidak tahu kesan formula protein tinggi terhadap kekurangan zat makanan, berat badan berlebihan, atau obesiti semasa bayi.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada formula protein tinggi lebih baik daripada formula protein standard atau rendah untuk mencegah:
1. kekurangan zat makanan (berat badan rendah untuk umur, ketinggian rendah untuk umur, atau berat atau tinggi yang rendah);
2. berat badan berlebihan atau obesiti (berat badan tinggi untuk ketinggian); dan
3. kejadian lain yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang mengkaji formula protein yang lebih tinggi berbanding dengan formula protein yang lebih rendah pada bayi yang sihat apa-apa jantina, yang dilahirkan pada sembilan bulan kehamilan dan dengan berat dan ketinggian kelahiran normal.
Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 11 kajian yang sesuai melibatkan 1885 bayi yang sihat, cukup tempoh kehamilan, diberi susu formula. Tujuh kajian (1629 bayi) membandingkan formula protein tinggi dengan formula protein standard, dan empat kajian (256 bayi) membandingkan formula protein standard dengan formula protein rendah. Kajian terbesar melibatkan 1090 bayi dan kajian terkecil melibatkan 20 bayi. Sepuluh kajian telah dijalankan di Eropah dan satu di AS. Kebanyakan kajian berlangsung lebih kurang empat bulan; hanya dua kajian yang berlangsung selama lima tahun atau lebih. Syarikat farmaseutikal membiayai semua kajian.
Secara keseluruhannya, kami tidak pasti sama ada memberi bayi yang sihat dengan formula protein tinggi berbanding formula protein standard mempunyai sebarang kesan terhadap kekurangan zat makanan, berat badan berlebihan, atau obesiti pada tahun pertama kehidupan. Kami tidak pasti sama ada memberi bayi yang sihat formula protein standard berbanding dengan formula protein rendah mempunyai sebarang kesan terhadap kekurangan zat makanan pada kanak-kanak. Berlakunya kejadian yang tidak diingini pada bayi yang diberi susu formula mungkin tidak berkaitan dengan kandungan protein susu formula.
Apakah batasan bukti
Kami tidak yakin tentang bukti kerana kajian memberikan maklumat dalam cara yang berbeza, dan keputusannya berbeza merentasi kajian. Selain itu, beberapa kajian mempunyai banyak keciciran, yang boleh menjejaskan keputusan. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah keputusan ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).