Adakah hasil jangkitan mata yang teruk selepas pembedahan bertambah baik dengan pembedahan awal untuk mengeluarkan gel vitreous?

Apakah endophthalmitis luaran?
Mata adalah organ serba lengkap yang dilapis oleh sel yang sensitif kepada cahaya yang membentuk retina. Retina melapisi bahagian belakang bola mata dan bahagian tengahnya diisi dengan gel jernih, yang dikenali sebagai vitreous. Seperti semua organ, mata boleh dijangkiti. Jangkitan di dalam mata (endophthalmitis) jarang berlaku tetapi mengancam penglihatan. Endophthalmitis luaran ditakrifkan sebagai jangkitan yang memasuki mata dari persekitaran sekeliling, biasanya selepas pembedahan rutin seperti pembedahan katarak, atau disebabkan oleh luka terbuka selepas trauma. Pengurusan segera diperlukan untuk melindungi penglihatan.

Bagaimanakah endophthalmitis luaran dirawat?
Walaupun endophthalmitis jarang berlaku, kesannya selepas jangkitan mungkin mendalam. Rawatan yang cepat dan sesuai adalah kritikal. Kini, majoriti jangkitan endophthalmitis mempunyai biopsi diagnostik gel vitreous dan kemudian dirawat dengan antibiotik. Biopsi melibatkan 'tap' di mana sampel kecil gel vitreous dikeluarkan, untuk mengenal pasti jenis jangkitan. Pesakit kemudiannya disuntikkan antibiotik ke dalam cecair di dalam bola mata untuk merawat jangkitan. Jika ini tidak berjaya, pembedahan mata kadangkala diperlukan kemudiannya, di mana jeli yang dijangkiti di dalam bola mata dikeluarkan (dikenali sebagai pembedahan "vitrektomi"). Vitrektomi melibatkan pembedahan untuk mengeluarkan gel vitreous dari dalam mata. Pada individu yang mengalami endophthalmitis, vitrektomi boleh membantu dalam mengeluarkan jangkitan, membantu mata pulih dengan lebih cepat dan berkemungkinan mengehadkan kerosakan yang disebabkan oleh jangkitan. Walau bagaimanapun, kesan vitrektomi terhadap pengurusan endophthalmitis masih tidak jelas.

Apakah yang ingin kami ketahui?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai peranan vitrektomi dalam rawatan endophthalmitis.

Apakah yang kami lakukan?
Kami menjalankan ulasan sistematik terhadap kajian orang yang mengalami endophthalmitis yang telah menjalani vitrektomi untuk rawatan endophthalmitis selepas pembedahan atau kecederaan mata.

Apakah yang kami temui?
Kami mengenal pasti satu kajian rawak terkawal (RCT) yang mengkaji vitrektomi berbanding suntikan mata antibiotik dalam endophthalmitis selepas pembedahan katarak. RCT tunggal ini mencadangkan bahawa vitrektomi tidak mempunyai kelebihan berbanding rawatan standard antibiotik intravitreal sahaja.

Apakah batasan bukti?
Keputusan ulasan kami adalah berdasarkan RCT tunggal, yang telah dijalankan lebih 27 tahun yang lalu. Sejak masa ini terdapat beberapa kemajuan dalam pembedahan yang berpotensi mengubah hasil orang yang menjalani vitrektomi.

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami mencari kajian sehingga 5 Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information