Apakah faedah dan risiko katil, tilam dan pelapik untuk mencegah dan merawat ulser tekanan?

Gambaran keseluruhan menunjukkan banyak data dari kajian rawak terkawal dan mengandungi analisis lanjutan yang dikenali sebagai 'meta-analisis rangkaian'. Analisis ini memungkinkan perbandingan semua jenis permukaan sokongan untuk mencegah atau merawat ulser tekanan. Alat interaktif ini dapat membantu dalam pemanduan data https://stopthepressure.shinyapps.io/Cochrane_support_surface_reviews/.

Mesej utama

Tilam udara statik atau pelapik, tilam atau pelapik udara bertekanan bergantian, dan pelapik gel yang digunakan pada katil pembedahan mungkin lebih baik daripada tilam busa dalam mencegah ulser tekanan.

Berbanding dengan tilam busa, tilam atau pelapik udara bertekanan bergantian mungkin membawa manfaat kesihatan yang melebihi kosnya dalam mencegah ulser tekanan.

Tilam udara statik atau pelapik mungkin lebih baik daripada tilam busa untuk penyembuhan ulser, tetapi mungkin lebih mahal.

Adalah tidak jelas apakah rawatan yang terbaik untuk mencegah atau merawat ulser tekanan; apakah kesan pilihan rawatan ini terhadap keselesaan dan kualiti hidup seseorang; dan sama ada terdapat kesan yang tidak diingini.

Apakah ulser tekanan?

Ulser tekanan (juga dikenali sebagai luka tekanan atau luka katil) adalah luka pada kulit dan tisu di bawahnya yang disebabkan oleh tekanan yang berpanjangan atau gosokan. Orang yang mempunyai masalah pergerakan atau yang berbaring di atas katil bagi jangka masa yang lama adalah berisiko mengalami ulser tekanan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Terdapat banyak jenis katil, tilam dan pelapik yang direka khas untuk orang dengan ulser tekanan. Ini boleh dibuat dari pelbagai bahan (seperti busa, sel udara dan pelapik gel) dan dibahagikan kepada dua kumpulan:

- permukaan reaktif (statik) yang memberi tekanan berterusan pada kulit; dan

- permukaan aktif (tekanan bergantian) yang mengedarkan semula tekanan di bawah badan secara berkala.

Kami ingin mengetahui sama ada jenis permukaan reaktif dan aktif yang berbeza:

- mencegah ulser tekanan;

- membantu ulser untuk sembuh;

- selesa dan memperbaiki kualiti hidup seseorang;

- mempunyai faedah kesihatan yang melebihi kosnya; dan

- mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Kami juga ingin mengetahui apakah pilihan rawatan yang terbaik untuk mencegah atau menyembuhkan ulser tekanan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari Ulasan Cochrane yang merumuskan keputusan semua kajian yang telah dirancang dengan teliti (kajian terkawal) yang menilai katil, tilam dan pelapik yang berbeza untuk mencegah dan merawat ulser tekanan. Ulasan Cochrane memberikan bukti yang tinggi mengenai keberkesanan intervensi penjagaan kesihatan. Kami merumuskan keputusan ulasan ini dalam satu dokumen (dikenali sebagai gambaran keseluruhan ulasan).

Kami juga mengumpulkan kajian yang disertakan dalam ulasan ini dan membandingkan semua rawatan yang sedia ada pada masa yang sama dalam satu analisis (dikenali sebagai meta-analisis rangkaian). Kami kemudiannya merumuskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kesan dalam mencegah ulser tekanan

Kami menjumpai empat ulasan berkaitan penggunaan katil, tilam dan pelapik untuk mencegah ulser tekanan. Daripada ini, kami menyertakan 40 kajian (12,517 orang) dalam meta-analisis rangkaian yang menilai pengurangan risiko terjadinya ulser tekanan. Bukti meta-analisis rangkaian menunjukkan bahawa pelapik udara statik (reaktif), tilam udara tekanan bergantian, dan pelapik gel (reaktif) yang digunakan pada katil pembedahan dapat mengurangkan risiko ulser tekanan berbanding dengan tilam busa.

Kami juga menyertakan 10 kajian (7211 orang) dalam analisis meta rangkaian yang menilai masa yang diperlukan untuk terjadinya ulser baru. Bukti meta-analisis rangkaian menunjukkan bahawa permukaan udara reaktif dapat mengurangkan kemungkinan terjadinya ulser baru berbanding dengan permukaan busa.

Kesan dalam merawat ulser tekanan

Kami menemui dua ulasan mengenai penyembuhan ulser tekanan. Daripada ini, kami menyertakan empat kajian (397 orang) dalam meta-analisis rangkaian. Bukti meta-analisis rangkaian ini menunjukkan bahawa lebih ramai orang dengan ulser dapat sembuh sepenuhnya menggunakan permukaan udara reaktif berbanding permukaan busa.

Bukti gambaran keseluruhan mencadangkan bahawa, jika melihat pada masa yang diperlukan untuk menyembuhkan ulser sepenuhnya, permukaan udara yang reaktif dapat meningkatkan kemungkinan penyembuhan ulser tekanan berbanding dengan tilam busa.

Namun, adalah tidak jelas rawatan mana yang terbaik untuk mencegah atau merawat ulser tekanan.

Kesan lain dalam mencegah dan merawat ulser tekanan

Bukti gambaran keseluruhan menunjukkan bahawa:

- dibandingkan dengan tilam busa, permukaan udara tekanan bergantian mungkin menghasilkan manfaat kesihatan yang melebihi kosnya dalam mencegah ulser tekanan;

- permukaan reaktif yang dipenuhi udara mungkin lebih mahal daripada tilam busa untuk menyembuhkan ulser; dan

- faedah dan risiko lain dari katil, tilam dan pelapik tilam adalah tidak jelas.

Apakah batasan bukti tersebut?

Walaupun ulasan yang kami temui menggunakan kaedah yang boleh dipercayai, kebanyakan kajian di dalamnya adalah kecil dan menggunakan metodologi yang mungkin menyebabkan kesilapan dalam keputusannya.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini hingga Julai 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information