Mesej utama
Blok erector spinae plane (ESPB) mungkin tidak menambahbaik intensiti kesakitan pasca pembedahan 24 jam selepas pembedahan, tetapi ia mungkin tidak membawa kesan buruk yang serius dan boleh mengurangkan keperluan untuk ubat penahan sakit oral serta kesan-kesan sampingan yang berkaitan dengannya.
Apakah anestesia setempat?
Kesakitan pasca pembedahan akut biasanya dirawat dengan gabungan ubat-ubatan seperti opioid dan anestesia setempat. Anestesia serantau adalah cara khusus untuk mematikan saraf yang membawa isyarat sakit pada kawasan di mana pembedahan berlaku. ESPB ialah teknik baharu, pertama kali diperkenalkan pada 2016, yang mungkin dapat mengurangkan penggunaan opioid dalam tempoh pasca pembedahan serta kesan buruk berkaitan opioid. Apabila menggunakan ESPB, anestetik lokal disuntik pada satah fascia di bawah otot spina erektor dan ini boleh dilakukan pada tahap tulang belakang yang berbeza-beza. Otot spina erektor ialah sekumpulan otot di sepanjang bahagian pada setiap sisi belakang tulang belakang
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami telah menyiasat keberkesanan ESPB dalam melegakan kesakitan serta potensi kesan sampingan dan risikonya berbanding tanpa blok, blok plasebo (pesakit menerima suntikan garam dan bukannya ubat aktif) dan anestesia setempat lain pada orang dewasa yang menjalani pembedahan dengan anestesia am.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah memasukkan 64 kajian yang membahagikan pesakit secara rawak kepada salah satu kumpulan rawatan (kajian rawak terkawal) dengan 3973 pesakit secara keseluruhan. Dalam kajian ini semua pesakit telah menerima penjagaan opioid standard serta anestesia setempat yang berbeza mengikut pengagihan kumpulan mereka.
Apa yang kami temui?
Kesakitan pasca pembedahan semasa rehat 24 jam selepas pembedahan tidak menunjukkan perbezaan klinikal yang relevan, tanpa faedah tambahan pada intensiti kesakitan pasca pembedahan.
Kesan buruk yang berkaitan dengan blok sangat jarang berlaku, dan kami tidak dapat melihat perbezaan yang ketara antara kumpulan.
Penggunaan opioid oral serta kesan sampingan berkaitan dengannya (seperti loya dan gatal-gatal) telah berkurangan dalam kumpulan pesakit yang menerima rawatan ESPB.
Batasan bukti
Kami telah menilai kepastian bukti untuk hasil utama menggunakan skor GRADE (Gred Pengesyoran, Penilaian, Pembangunan dan Evaluasi). Kepastian bukti kebanyakannya digredkan rendah, dari sederhana hingga sangat rendah. Ini sebahagiannya disebabkan oleh banyak kajian kecil dengan hasil yang sangat pelbagai.
Kesimpulan
Bukti semasa menunjukkan bahawa ESPB mungkin tidak meningkatkan intensiti kesakitan pasca pembedahan satu hari selepas pembedahan melebihi ubat pengurangan kesakitan standard. Walau bagaimanapun, ESPB mungkin tidak mempunyai risiko tinggi untuk membawa kesan buruk yang serius berkaitan blok. Tambahan pula, ESPB boleh membantu mengurangkan keperluan untuk ubat opioid dan dengan itu mengurangkan kesan-kesan sampingan berkaitan opioid. Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk menentukan peranan ESPB dengan lebih baik dalam rawatan kesakitan pascapembedahan.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 4 Januari 2021.
Diterjemahkan oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Zarina Thasneem Zainudeen (IPPT, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my