Soalan ulasan
Kami ingin mengetahui faktor yang boleh meningkatkan atau mengurangkan kemungkinan penghidap diabetes menghidap retinopati diabetik proliferatif dan retinopati diabetik proliferatif berisiko tinggi, kedua-dua komplikasi diabetes yang mengancam penglihatan.
Latar belakang
Dalam diabetes, dari masa ke masa, paras gula darah yang meningkat merosakkan saluran darah halus di retina, lapisan di bahagian belakang mata yang memberikan penglihatan kepada manusia. Ini dipanggil 'retinopati diabetik'. Dalam sesetengah pesakit diabetes dan retinopati diabetik, saluran darah yang tidak normal dan rapuh tumbuh di retina: dipanggil 'saluran baru'. Apabila saluran baru terbentuk, kita katakan terdapat 'retinopati diabetik proliferatif', juga dipanggil 'PDR'. Saluran baru ini lemah dan boleh berdarah di dalam mata, menyebabkan apa yang dikenali sebagai 'pendarahan vitreous'. Darah di dalam mata menghilangkan penglihatan, walaupun, jika ia hilang dengan sendirinya (yang kadang-kadang berlaku) atau dengan pembedahan, penglihatan paling kerap pulih. Tisu parut juga boleh tumbuh di atas saluran baru. Parut boleh menarik retina dan menyebabkan apa yang dikenali sebagai cabutan retina traksi, komplikasi retinopati diabetes paling teruk yang mengancam penglihatan. Cabutan retina traksi boleh menyebabkan buta keseluruhan jika tidak dirawat dengan pembedahan segera.
Walaupun kebanyakan pesakit diabetes menghidap retinopati diabetik, hanya sedikit yang mengalami komplikasi yang teruk ini. Tidak jelas mengapa ini berlaku. Kehilangan penglihatan biasanya boleh dicegah jika rawatan dilakukan lebih awal. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui siapa yang berisiko untuk mengalami PDR, supaya mereka ini boleh disusuli dengan teliti dan dirawat dengan cara yang tepat pada masanya. Kami melakukan ulasan ini untuk mengetahui faktor risiko yang mungkin menentukan sebab sesetengah orang mengalami PDR.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan kajian di mana pesakit diabetes, yang tidak pernah dirawat untuk retinopati diabetik, telah disusuli dari semasa ke semasa untuk menentukan siapa yang mengalami PDR dan yang berkembang ke peringkat PDR yang teruk (dipanggil 'ciri berisiko tinggi PDR' (HRC-PDR)). Untuk disertakan dalam ulasan kami, kajian ini perlu menyiasat faktor risiko PDR dan HRC-PDR: contohnya, gula darah, tekanan darah, kolesterol, dan penyakit buah pinggang, antara lain. Kami menyertakan kajian yang melihat pada orang dewasa (18 tahun dan ke atas) apa-apa jantina, etnik, orientasi seksual, status sosioekonomi, dan negara, yang ditulis dalam apa-apa bahasa, dalam ulasan ini.
Keputusan utama
Daripada 6391 artikel yang kami temui, 59 kajian (87 artikel) memenuhi kriteria, dan kami memasukkannya dalam ulasan kami. Kami mendapati bahawa gula darah yang lebih tinggi (yang bermaksud kawalan diabetes yang lemah) dan retinopati diabetik yang lebih lanjut (lebih banyak perubahan akibat diabetes dalam retina) meletakkan pesakit berisiko lebih tinggi untuk mengalami PDR. Pesakit dengan penyakit buah pinggang nampaknya juga berisiko lebih tinggi untuk mengalami PDR. Ada juga kemungkinan bahawa pesakit diabetes jenis 1 yang didiagnosis pada usia muda, dan mereka yang mempunyai tahap trigliserida yang lebih tinggi (trigliserida ialah sejenis lemak dalam darah, seperti kolesterol) atau yang mempunyai vena retina dengan diameter yang lebih besar, lebih berisiko mengalami PDR. Faktor risiko lain yang dikaji - contohnya, tempoh diabetes, tekanan darah, dan kolesterol - nampaknya tidak menjadi faktor risiko untuk PDR. Tidak ada maklumat yang mencukupi daripada kajian yang disertakan untuk kami menganalisis faktor risiko untuk HRC-PDR.
Kesimpulan penulis
Pesakit diabetes jenis 1 atau jenis 2 yang mempunyai kawalan gula darah yang lemah berkemungkinan berisiko tinggi untuk mengalami PDR. Bukti menunjukkan bahawa kawalan gula darah yang lebih baik, walaupun pada orang yang sudah mempunyai retinopati diabetik peringkat awal, boleh membantu menghalangnya daripada berkembang menjadi PDR. Pesakit dengan penyakit buah pinggang juga mungkin berisiko berkembang menjadi PDR. Selain itu, pesakit diabetes jenis 1, yang didiagnosis pada usia yang lebih muda, atau yang mempunyai tahap trigliserida yang lebih tinggi atau vena retina yang lebih besar, mungkin lebih terdedah mengalami PDR.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 27 Mei 2022.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my