Apakah cara terbaik untuk menyokong resiliens dan kesejahteraan mental dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan barisan hadapan semasa dan selepas pandemik?

Apa itu 'resiliens'?

Bekerja sebagai profesional penjagaan kesihatan atau sosial 'barisan hadapan' semasa pandemik global penyakit, seperti COVID-19, boleh menjadi sangat tertekan. Lama-kelamaan, kesan negatif tekanan boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti depresi dan keresahan, yang boleh mempengaruhi kerja, keluarga dan hubungan sosial lain. ‘Resiliens’ adalah kemampuan untuk menangani kesan negatif tekanan dan mengelakkan masalah kesihatan mental dan kesannya yang lebih luas.

Penyedia perkhidmatan kesihatan boleh menggunakan pelbagai strategi (intervensi) untuk menyokong resiliens dan kesejahteraan mental dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan mereka. Ini termasuk intervensi berasaskan kerja, seperti mengubah rutin atau memperbaik peralatan; atau intervensi sokongan psikologi, seperti kaunseling.

Apakah yang kami ingin tahu?

Pertama (objektif 1), kami ingin tahu kejayaan sebarang intervensi untuk memperbaik resiliens atau kesihatan profesional barisan hadapan.

Kedua (objektif 2), kami ingin tahu apa yang memudahkan (fasilitator) atau menyukarkan (halangan) untuk melaksanakan intervensi-intervensi ini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk sebarang jenis kajian yang menyiasat intervensi untuk menyokong resiliens dan kesejahteraan mental para profesional penjagaan kesihatan yang bekerja di barisan hadapan semasa wabak penyakit berjangkit. Wabak penyakit ini harus diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai epidemik atau pandemik, dan berlaku dari tahun 2002 seterusnya (tahun sebelum wabak sindrom pernafasan akut (SARS) yang teruk).

Apa yang kami temui?

Kami menemui 16 kajian yang relevan. Kajian-kajian ini berasal dari wabak penyakit yang berlainan -dua dari SARS; sembilan dari Ebola; satu dari sindrom respiratori Timur Tengah (MERS); dan empat dari COVID-19. Kajian-kajian tersebut melihat intervensi di tempat kerja yang melibatkan sokongan psikologi (misalnya, kaunseling atau berjumpa dengan ahli psikologi) atau intervensi berdasarkan kerja (misalnya, memberi latihan, atau mengubah rutin).

Objektif 1: satu kajian menyiasat berapa baik intervensi berfungsi. Kajian ini dilakukan sejurus selepas wabak Ebola, dan menyiasat sama ada kakitangan yang dilatih untuk memberi 'pertolongan cemas psikologi' kepada orang lain (seperti pesakit dan ahli keluarga mereka) merasa kurang 'burnt out'. Kami ada beberapa kebimbangan tentang hasil yang dilaporkan oleh kajian ini dan beberapa kaedahnya. Ini bermaksud kepastian bukti adalah sangat rendah dan kami tidak dapat menyatakan sama ada intervensi tersebut membantu atau tidak.

Objektif 2: kesemua 16 kajian menyediakan beberapa bukti tentang halangan dan fasilitator untuk melaksanakan intervensi. Kami dapati 17 penemuan utama dari kajian-kajian ini. Kami tiada keyakinan tinggi dalam sebarang penemuan; kami sederhana yakin dalam enam penemuan dan berkeyakinan rendah hingga sangat rendah dalam 11 penemuan.

Kami sederhana yakin dua faktor berikut adalah penghalang pelaksanaan intervensi: pekerja barisan hadapan, atau organisasi tempat mereka bekerja, tidak mengetahui sepenuhnya apa yang mereka perlukan untuk menyokong kesejahteraan mental mereka; dan kekurangan peralatan, masa kakitangan atau kemahiran yang diperlukan untuk intervensi.

Kami sederhana yakin tiga faktor berikut adalah cara fasilitator untuk melaksanakan intervensi: intervensi yang dapat disesuaikan untuk kawasan setempat; mempunyai komunikasi yang berkesan, secara formal dalam organisasi dan tidak formal atau rangkaian sosial; dan mempunyai persekitaran pembelajaran yang positif, selamat dan menyokong profesional penjagaan kesihatan barisan hadapan.

Kami sederhana yakin pengetahuan dan kepercayaan yang dimiliki oleh profesional penjagaan kesihatan barisan hadapan tentang intervensi dapat membantu atau menghalang pelaksanaan intervensi.

Mesej utama

Kami tidak menemui bukti yang memberitahu tentang berapa baik pelbagai strategi berfungsi untuk menyokong resiliens dan kesejahteraan mental pekerja barisan hadapan. Kami temui beberapa bukti terhad tentang perkara-perkara yang mungkin dapat membantu kejayaan penyampaian intervensi. Kajian penyelidikan yang dirancang dengan betul untuk mencari cara terbaik menyokong resiliens dan kesejahteraan mental pekerja penjagaan kesihatan dan sosial sangat diperlukan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Ulasan ini menyertakan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 28 Mei 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information