Mesej utama
Banyak negara telah memperkenalkan dasar untuk mengawal selia bagaimana industri farmaseutikal memasarkan produknya. Walau bagaimanapun, kita tidak tahu apakah kesan dasar ini kerana terdapat kekurangan kajian yang telah dijalankan dengan baik.
Apakah dasar pemasaran ubat?
Pembangunan and pemasaran ubat adalah sesuatu yang sangat mahal. Oleh itu, industri farmaseutikal banyak menggunakan sumber untuk mempromosikan ubat-ubatan mereka dan meningkatkan penggunaannya. Mereka sering menggalakkan pesakit dan pengguna menggunakan ubat-ubatan dan menggalakkan ahli profesional kesihatan untuk membekalkannya kepada pesakit. Mereka juga mempromosikan ubat kepada organisasi insurans kesihatan dan pihak kerajaan. Contohnya, mereka melakukan ini melalui iklan, lawatan daripada wakil jualan, sampel ubat percuma dan program kesedaran pendidikan.
Strategi ini boleh menyebarkan maklumat bermanfaat tentang keadaan kesihatan dan ubat-ubatan yang tersedia untuk mereka, tetapi ia juga boleh membawa kemudaratan. Sebagai contoh, pesakit, doktor dan organisasi boleh dipujuk untuk menggunakan atau membekalkan ubat yang tidak perlu, mahal dan kadang kala memudaratkan.
Oleh itu, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan sering cuba mengawal selia cara ubat-ubatan dipromosikan. Contohnya, industri farmaseutikal tidak dibenarkan mempromosikan ubat preskripsi kepada pesakit dan pengguna di sesetengah negara. Di negara lain pula, ubat-ubatan hanya dibenarkan untuk dipromosikan kepada profesional penjagaan kesihatan melalui cara tertentu, seperti melalui jurnal perubatan. Di sesetengah negara, kerajaan dan organisasi berfungsi
secara bersendirian. Di negara lain kerajaan bekerjasama dengan industri farmaseutikal.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin menilai kesan dasar pemasaran ubat ke atas akses dan penggunaan ubat-ubatan orang ramai, kesihatan mereka dan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan mereka dan ke atas kos.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan kesan satu polisi pemasaran ubat dengan polisi lain atau tiada polisi.
Apa yang kami temui?
Kami tidak menemui sebarang kajian yang dijalankan dengan baik yang boleh menjawab soalan ini.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2023.
Diterjemahkan oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my