Mesej utama
Kami tidak menemui sebarang bukti berkualiti baik tentang faedah dan risiko kortikosteroid dalam merawat orang dewasa dengan kanser lanjutan dan keletihan berkaitan kanser (CRF).
Kajian masa depan yang lebih besar, dan direka dengan baik adalah diperlukan untuk menentukan sama ada kortikosteroid bermanfaat atau berbahaya dalam merawat CRF.
Mengapakah ulasan in penting?
Keletihan adalah gejala yang sangat biasa dan menyusahkan orang yang menghidap kanser lanjutan, yang sangat menjejaskan kualiti hidup mereka. Ubat kortikosteroid biasanya digunakan untuk merawat CRF dan gejala lain terhadap orang yang memerlukan penjagaan paliatif. Ubat kortikosteroid boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius, terutamanya apabila digunakan untuk jangka masa yang panjang. Oleh sebab itu, adalah penting untuk mengetahui sama ada ia berkesan merawat keletihan akibat kanser.
Apa yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ubat kortikosteroid lebih baik daripada ubat tidak aktif (plasebo), atau ubat lain untuk memperbaiki keletihan yang dikaitkan dengan kanser. Kami juga ingin mengetahui sama ada kortikosteroid dikaitkan dengan kesan sampingan yang tidak diingini apabila digunakan untuk keletihan yang disebabkan oleh kanser lanjutan.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan:
- kortikosteroid dengan plasebo; atau
- kortikosteroid dengan ubat aktif lain pada orang dewasa dengan kanser.
Kami membandingkan dan merumus keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang telah kami temui?
Kami menemui empat kajian yang melibatkan 239 orang yang memerlukan rawatan untuk CFR. Semua kajian berlangsung kurang dari tiga minggu; ubat-ubatan telah digunakan selama 14 hari atau kurang. Tiga kajian membandingkan kortikosteroid dengan plasebo, dan satu kajian membandingkan kortikosteroid dengan ubat aktif lain (modafinil). Ubat kortikosteroid yang digunakan ialah methylprednisolone dan deksametason, dalam dos rendah yang setanding. Semua kajian adalah kecil, dengan kurang daripada 100 orang dimasukkan.
Pada masa ini adalah tidak pasti sama ada kortikosteroid mengurangkan CRF. Adalah tidak jelas sama ada terdapat lebih banyak kesan sampingan terhadap orang yang menggunakan kortikosteroid jangka pendek untuk CRF. Kami tidak tahu sama ada terdapat peningkatan dalam kualiti hidup bagi mereka yang mengambil kortikosteroid untuk CRF.
Jika orang menggunakan kortikosteroid untuk mengurus CRF mereka, mereka harus membincangkan kesan sampingan yang mungkin, dan berapa lama mereka akan menggunakannya, dengan doktor mereka. Kajian lain mendapati bahawa penggunaan jangka panjang boleh dikaitkan dengan kesan sampingan yang berbahaya.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti kerana terdapat hanya empat kajian kecil yang melihat kesan kortikosteroid dalam keletihan yang berkaitan dengan kanser. Semua kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini mungkin memasukkan kesilapan.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini hingga 18 Julai 2022.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my