Pembuangan kateter uretra awal berbanding lewat selepas pemindahan buah pinggang

Apakah isunya?
Ureter merupakan saluran yang mengalirkan air kencing dari buah pinggang ke dalam pundi kencing, yang mana ia disimpan sehingga pesakit pergi ke bilik air untuk membuang air kencing. Semasa pembedahan pemindahan buah pinggang, buah pinggang yang baharu akan diletak di dalam pesakit, dan ureter baharu disambung pada pundi kencing. Semasa prosedur ini, kateter dimasukkan melalui uretra ke dalam pundi kencing dan dibiarkan di situ selepas pembedahan. Kateter adalah sebuah tiub fleksibel dan sempit yang membolehkan air kencing mengalir dari pundi kencing. Kateter mengalirkan air kencing secara berterusan dan menghalang pundi kencing daripada meregang. Adalah dipercayai bahawa dengan mengekalkan pundi kencing kosong, sambungan antara ureter baharu dan pundi kencing dapat sembuh dengan lebih baik. Namun, kateter boleh menyebabkan bakteria masuk ke dalam pundi kencing dan menyebabkan jangkitan air kencing. Semakin lama kateter disimpan dalam pundi kencing, semakin tinggi risiko mendapati jangkitan. Jangkitan kencing boleh menyusahkan pesakit pemindahan buah pinggang sebab mereka perlu mengambil ubat untuk menekan sistem imun. Ubat-ubat imunosupresif ini bermakna pesakit akan mendapati sukar untuk melawan jangkitan. Pada masa ini, tiada sesiapa mengetahui masa yang terbaik untuk membuang kateter. Kami ingin mencari jawapan untuk mengurangkan risiko jangkitan kencing yang disebabkan oleh kateter, sambil memberikan peluang yang terbaik mungkin sambungan antara pundi kencing dan ureter baharu untuk sembuh.

Apa yang kami lakukan?
Kajian ini direka bentuk untuk mengkaji semua penyelidikan yang diterbitkan sebelumnya dalam bidang ini untuk menentukan jawapan kepada soalan tersebut. Dua kajian, yang memasukkan 197 orang yang telah menerima pemindahan buah pinggang, dikenal pasti.

Apa yang kami dapati?
Adalah tidak pasti sama ada bilangan pesakit dengan bakteria dalam air kencing berbeza daripada pesakit yang kateter dibuang kurang daripada lima hari selepas pembedahan berbanding dengan pesakit yang kateternya dibuang lebih dari lima hari selepas pembedahan mereka. Kajian-kajian yang dikenal pasti untuk ulasan ini secara amnya berkualiti rendah.

Kesimpulan
Kami memerlukan kajian yang direka bentuk dengan baik dan berkualiti tinggi untuk menyiasat masa terbaik untuk membuang kateter pada pesakit setelah pembedahan pemindahan buah pinggang mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Jie Min (RCSI & UCD Malaysia Campus). DIsunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information