Mesej utama :
• Kami tidak pasti sama ada pendekatan untuk pencegahan jatuh yang menyasarkan seluruh komuniti mengurangkan kejatuhan dan kecederaan yang berkaitan dengan jatuh.
• Kajian selanjutnya harus direka bentuk dengan baik dan menggunakan penerangan terkini tentang intervensi mereka. Secara idealnya, kajian harus dijalankan dalam beberapa komuniti (bukan hanya dua komuniti kajian), setiapnya dengan populasi yang besar, dan jenis warga emas yang tinggal dalam komuniti kajian harus mewakili negara di mana tempat kajian dijalankan.
Mengapakah ianya penting untuk cuba mencegah jatuh?
Jatuh di kalangan warga emas adalah sangat biasa. Kira-kira satu pertiga daripada orang yang berumur 65 tahun ke atas jatuh setiap tahun, dan sesetengah orang tua mungkin jatuh beberapa kali setiap tahun. Jatuh di kalangan warga emas boleh menjadi sangat serius dan boleh menyebabkan patah tulang dan memerlukan rawatan di hospital. Jatuh yang teruk mungkin menjejaskan kualiti hidup seseorang secara serius dan mungkin membawa kepada pemulihan yang lama. Oleh kerana jatuh di kalangan warga emas mungkin memerlukan rawatan di hospital, termasuklah pembedahan untuk patah tulang, ia juga memerlukan kos perkhidmatan penjagaan kesihatan yang banyak. Mencari cara untuk mencegah jatuh akan memberi manfaat kepada warga emas serta mengurangkan beban jatuh dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Apakah pendekatan berasaskan populasi untuk pencegahan jatuh?
Pendekatan untuk mencegah jatuh di kalangan orang dewasa yang lebih tua biasanya disasarkan kepada orang yang berisiko tinggi untuk jatuh. Orang yang berisiko tinggi mungkin telah mengalami sekurang-kurangnya sekali jatuh atau mungkin mempunyai keadaan lain yang meningkatkan risiko mereka terjatuh (seperti masalah berjalan atau bergerak atau mengimbangi). Pendekatan berasaskan populasi adalah berbeza kerana ia ditujukan kepada seluruh komuniti dan bukannya individu. Contoh pendekatan pencegahan kejatuhan berasaskan populasi termasuk inisiatif kesihatan awam yang bertujuan untuk memaklumkan orang ramai tentang faedah aktiviti fizikal (contohnya senaman kekuatan dan imbangan); melawat semua warga emas di rumah untuk membantu mereka mengenal pasti dan mengurangkan risiko jatuh; atau majlis tempatan menambah baik laluan umum pejalan kaki dan pencahayaan di pekan atau bandar.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sejauh mana pendekatan berasaskan populasi berkesan dalam mencegah jatuh atau kecederaan yang berkait dengan jatuh di kalangan orang dewasa yang lebih tua.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan jatuh dan kecederaan yang berkait dengan jatuh dalam komuniti yang menggunakan pendekatan pencegahan jatuh dalam seluruh komuniti mereka (iaitu pendekatan berasaskan populasi) berbanding komuniti yang tidak menerima intervensi. Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian ini, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami dapati?
Kami menemui sembilan kajian yang menyasarkan peserta berumur sekurang-kurangnya 60 tahun dari komuniti di lapan negara berbeza. Komuniti kajian berbeza-beza saiz. Kebanyakan kajian melaporkan bilangan penduduk yang lebih tua, yang berkisar antara 1200 hingga hampir 137,000 penduduk yang lebih tua. Kajian lain hanya melaporkan saiz seluruh populasi dalam komuniti kajian, iaitu antara 67,300 hingga 172,500 penduduk. Kajian berlangsung antara 14 bulan dan lapan tahun. Pendekatan biasanya melibatkan pelbagai komponen seperti senaman, pendidikan, atau mengurangkan bahaya jatuh di rumah (seperti menambah rel pegangan atau tikar tidak licin) atau mengurangkan bahaya jatuh dalam komuniti (memperbaik turapan dan lampu jalan). Satu kajian juga melihat manfaat suplemen harian percuma kalsium dan vitamin D.
Keputusan utama
Kami tidak pasti sama ada menawarkan suplemen kalsium atau vitamin D kepada semua warga emas dalam komuniti mengurangkan bilangan orang yang memerlukan rawatan hospital untuk jatuh.
Kami juga tidak pasti sama ada pendekatan berasaskan populasi yang mempunyai pelbagai komponen mengurangkan bilangan jatuh atau bilangan orang yang mengalami sekali atau lebih jatuh. Kami juga tidak pasti sama ada pendekatan ini memberi sebarang perbezaan terhadap bilangan orang yang mengalami patah tulang berkait dengan jatuh, atau sekiranya ia mengurangkan bilangan orang yang mengalami kecederaan yang berkait dengan jatuh atau kemasukan ke hospital yang berkait dengan jatuh. Tambahan pula, kami tidak pasti sama ada pendekatan ini memberikan penjimatan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti kerana dalam beberapa kajian yang disertakan komuniti tidak dipilih secara rawak untuk menerima pendekatan pencegahan jatuh. Ini adalah reka bentuk biasa untuk kajian berasaskan populasi, tetapi ini boleh bermakna terdapat perbezaan antara komuniti yang mungkin mempengaruhi keputusan. Kajian tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk menilai sama ada ianya dijalankan dengan baik. Di samping itu, penemuan sering berbeza antara kajian, dan kami tidak dapat mengenal pasti sebabnya.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).