Mesej utama
• Menambahkan beta2-agonis (LABA) bertindak panjang atau antagonis muskarinik bertindak panjang (LAMA) kepada kortikosteroid sedutan dos sederhana (ICS) berkemungkinan mengurangkan serangan asma yang memerlukan rawatan dengan steroid oral dan meningkatkan kemungkinan kawalan simptom yang memuaskan berbanding dengan ICS sahaja, manakala menggandakan dos ICS mungkin tidak. Jumlah data yang kami temui adalah lebih besar untuk LABA berbanding LAMA.
• Kita perlu mengetahui lebih lanjut tentang kesan sampingan jangka panjang ICS dos tinggi kerana tempoh purata kajian yang disertakan adalah hanya enam bulan. Menggunakan dos ICS berkesan terendah adalah digalakkan untuk meminimumkan kesan sampingan yang berkaitan dengan kortikosteroid.
Apakah itu asma, dan bagaimana ia dirawat?
Asma adalah keadaan pernafasan kronik yang dicirikan oleh keradangan dan penyempitan saluran pernafasan yang menyebabkan gejala seperti berdehit, batuk, sesak dada, dan sesak nafas. Rawatan melibatkan penggunaan inhaler, yang merupakan pelega (cth bronkodilator bertindak pendek) dan, jika perlu, pencegah (cth. ICS), serta mengelakkan pencetus dan mengekalkan gaya hidup sihat.
Apakah yang kami ingin tahu?
Dalam kajian ini, kami ingin mencari cara terbaik untuk meningkatkan kawalan asma dalam kalangan remaja dan dewasa yang tidak menguruskan asma mereka dengan baik dengan ICS dos sederhana. Kami membandingkan tiga rawatan yang berbeza.
Tiga rawatan yang kami melihat kepada ialah:
• menambah penyedut LABA;
• menambah penyedut LAMA;
• menggandakan dos penyedut ICS semasa.
Matlamat utama adalah untuk melihat rawatan mana yang paling berkesan dalam meningkatkan kawalan asma dan yang mana paling selamat dari segi kesan sampingan.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mengumpul dan menganalisis data daripada 35 kajian, yang menyertakan sejumlah 38,276 orang dengan asma yang tidak terkawal semasa menggunakan ICS dos sederhana, dengan menggunakan kaedah khas yang dipanggil meta-analisis rangkaian. Ini membolehkan kami membandingkan banyak kumpulan penyedut secara serentak. Kami membandingkan penambahan LABA atau LAMA kepada ICS dos sederhana, berbanding menggandakan dos ICS atau menggunakan ICS dos sederhana sahaja.
Apakah yang kami temui?
Menambahkan LABA atau LAMA kepada ICS dos sederhana mungkin mengurangkan serangan asma yang memerlukan rawatan dengan steroid oral. Ia juga meningkatkan kemungkinan kawalan simptom yang memuaskan berbanding dengan ICS sahaja manakala menggandakan dos ICS mungkin tidak. Jumlah data yang kami temui adalah lebih besar untuk LABA berbanding LAMA.
Menambahkan LABA atau LAMA kepada ICS dos sederhana atau menggandakan dos ICS mungkin tidak mengurangkan kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan asma atau kesan sampingan yang serius. Penambahan LAMA kepada ICS mungkin mengurangkan kesan sampingan dan pemberhentian rawatan. Walau bagaimanapun, gabungan terapi ICS/LAMA memerlukan dua penyedut berasingan manakala gabungan ICS/LABA tersedia dalam satu penyedut.
Apakah keterbatasan bukti ini?
Kita perlu mengetahui lebih lanjut tentang kesan sampingan jangka panjang ICS dos tinggi kerana purata tempoh kajian yang disertakan adalah hanya enam bulan. Keputusan kajian mungkin tidak terpakai kepada orang yang merokok atau individu yang mengalami kesan sampingan daripada LAMA kerana individu tersebut sama ada tidak disertakan atau terlalu sedikit dalam ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga Disember 2022.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my