Mengapakah persoalan ini penting?
Untuk memerangi penyebaran SARS-CoV-2 dan kesan COVID-19, negara-negara di seluruh dunia telah mengambil pelbagai langkah kesihatan awam. Di banyak negara, penutupan sekolah adalah salah satu tindak balas awal. Pada pertengahan April 2020, 192 negara telah menutup sekolah yang mempengaruhi lebih daripada 90% populasi pelajar di seluruh dunia. Ini sangat mengganggu kehidupan sekolah, keluarga dan pekerjaan, dengan kemungkinan kesan negatif termasuk:
- kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak dan remaja yang semakin teruk;
- peningkatan ketaksamaan antara kanak-kanak dan remaja dari latar belakang yang kurang bernasib baik dan dengan yang lebih istimewa;
- kemungkinan penurunan pendapatan ibu bapa dan keselamatan pekerjaan;
- kemungkinan kehilangan produktiviti ekonomi ibu bapa.
Memandangkan potensi akibat negatif daripada penutupan sekolah, banyak negara telah membuka kembali sekolah. Untuk mengelakkan penularan penyakit dalam kalangan pelajar, antara staf dan pelajar, dan seterusnya, pelbagai jenis langkah berasakan sekolah telah dilaksanakan. Ini termasuk:
- pemakaian topeng muka dan pencucian tangan yang kerap dalam kalangan pelajar dan staf;
- menyesuaikan aktiviti sekolah (contohnya, tidak menyanyi di kelas muzik);
- meningkatkan sistem pengudaraan; dan
- menyaring kes jangkitan yang disyaki.
Sehingga kini, kami hanya mengetahui sedikit tentang langkah-langkah berasaskan sekolah yang dirancang untuk mengawal penularan COVID-19 yang telah dinilai, dan cara mereka dinilai. Ini adalah penting untuk diketahui supaya pada waktunya, kita dapat membandingkan keberkesanan langkah-langkah yang berbeza dan memberitahu garis panduan dasar masa depan.
Kami bertekad untuk mengenal pasti dan memetakan bukti mengenai langkah-langkah berasaskan sekolah untuk mengasingkan COVID-19. Karya ini bertujuan untuk membentuk asas ulasan masa depan mengenai keberkesanan langkah-langkah ini. Ulasan ini akan memaklumkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bagaimana kita mengenal pasti dan memetakan bukti?
Pertama, kami mencari kajian yang menilai setiap set intervensi di sekolah yang dirancang untuk mencegah penyebaran COVID-19. Kami mempertimbangkan semua jenis kajian dan pelbagai hasil, termasuk:
- penularan penyakit berjangkit;
- kesan-kesan berbahaya atau bermanfaat terhadap kesihatan yang lain;
- implikasi yang lebih luas untuk masyarakat, ekonomi dan populasi.
Kami kemudiannya mengumpulkan kajian mengikut seberapa serupa atau berbezanya mereka antara satu sama lain. Ini membolehkan kami mengukur:
- jenis kajian yang telah digunakan untuk menilai langkah-langkah setakat ini;
- tempat kajian telah dijalankan;
- jenis intervensi yang telah dinilai; dan
- hasil-hasil yang telah dikaji.
Apa yang telah kami temui?
Kami menemui 42 kajian.
Jenis kajian
Tiga puluh satu kajian menggunakan reka bentuk permodelan matematik untuk meramalkan kesan pengukuran terhadap populasi. Dua kajian menggunakan reka bentuk eksperimen, di mana penyelidik membahagikan orang atau tetapan ke dalam kumpulan untuk membandingkan kesan langkah yang berbeza. Sembilan kajian menggunakan reka bentuk pemerhatian, di mana penyelidik hanya memerhatikan kesan intervensi.
Tetapan kajian
Kajian dilakukan di Eropah (20 kajian), Amerika Utara dan Selatan (13 kajian), Pasifik Barat (6 kajian) dan Mediterranean Timur (1 kajian). Sebilangan besar kajian menilai langkah di lebih daripada satu tetapan sekolah (contohnya, sekolah rendah dan sekolah menengah). Tiga kajian tertumpu pada sekolah menengah.
Jenis intervensi
Kajian menilai tiga jenis langkah:
1. Langkah-langkah organisasi untuk mengurangkan penularan SARS-CoV-2 (36 kajian): ini termasuklah:
- langkah-langkah yang dirancang untuk membatasi risiko penularan penyakit antara orang yang bersentuhan antara satu sama lain (seperti topeng muka dan polisi jarak fizikal); dan
- langkah-langkah untuk mengurangkan peluang untuk bersentuhan (misalnya, waktu ketibaan, rehat dan pulang yang berperingkat).
2. Langkah-langkah struktur atau persekitaran untuk mengurangkan penularan SARS-CoV-2 (11 kajian): misalnya, membahagikan taman permainan sekolah atau menambahbaikan peredaran udara.
3. Langkah-langkah pengawasan dan tindak balas untuk mengesan jangkitan SARS-CoV-2 (19 kajian): ini termasuklah:
- ujian, pengesanan dan pemeriksaan gejala; dan
- pengasingan kes yang disahkan atau kuarantin kes yang disyaki.
Hasil yang dikaji
Kajian menilai kesan-kesan langkah terhadap:
- Penularan SARS-CoV-2 (29 kajian), termasuk jumlah kes baru atau jumlah purata orang yang dijangkiti oleh seseorang yang dijangkiti virus (nombor pembiakan R);
- penggunaan penjagaan kesihatan (8 kajian), misalnya, jumlah kemasukan ke hospital;
- hasil kesihatan lain (3 kajian), misalnya, risiko terkena ekzema tangan (penyakit kulit); dan
- hasil peringkat masyarakat, ekonomi, dan populasi lain (5 kajian), termasuk kos.
Apakah implikasi penemuan kami ini?
Pelbagai langkah-langkah berasaskan sekolah yang dirancang untuk mengasingkan COVID-19 telah dinilai hingga kini. Untuk menilai ini, penyelidik telah menggunakan kaedah yang berbeza dan menyiasat hasil yang berbeza. Ulasan ini merupakan langkah pertama yang penting dalam mengenal pasti bukti yang sedia ada, dan akan memaklumkan ulasan pantas mengenai topik ini pada masa akan datang.
Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my