Rawatan farmakologi untuk sakit belakang rendah pada orang dewasa: gambaran keseluruhan Ulasan Cochrane

Mesej utama

Untuk sakit belakang rendah akut

• NSAID dan ubat pengenduran otot mungkin memberikan manfaat yang kecil pada kesakitan, namun ubat pengenduran otot mungkin dikaitkan dengan kesan yang tidak diingini. Paracetamol tidak mempunyai kesan pada kesakitan atau kesan yang tidak diingini.

Untuk sakit belakang rendah kronik

• Opioid mungkin mengurangkan kesakitan tetapi mungkin dikaitkan dengan kesan yang tidak diingini. NSAID mungkin mengurangkan kesakitan tanpa kesan yang tidak diingini dan antidepresan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan pada kesakitan.

Pegawai perubatan harus membincangkan kemungkinan kesan kecil pada kesakitan dan peningkatan risiko untuk kesan yang tidak diingini apabila mempertimbangkan ubat yang berbeza untuk merawat sakit belakang rendah. Pembiaya dan penyelidik harus mengutamakan pengenalpastian ubat-ubatan yang memberikan manfaat yang bermakna dari segi klinikal kepada orang yang mengalami sakit belakang rendah.

Apakah itu sakit belakang rendah dan bagaimana ia dirawat?

Sakit belakang rendah (LBP) adalah keadaan kesihatan yang biasa dan melemahkan. Dalam kebanyakan kes, punca atau punca-punca sakit belakang rendah tidak dapat dikenal pasti dengan pasti dan digambarkan sebagai LBP 'tidak spesifik'. Pegawai perubatan biasanya memberi ubat untuk merawat LBP. Terdapat banyak jenis ubat dan kelas ubat yang sedia ada, contohnya, analgesik opioid, ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAID), dan paracetamol. Dengan banyak pilihan yang sedia ada, terdapat keperluan untuk menentukan ubat yang terbaik dan paling selamat.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin meringkaskan bukti daripada ulasan Cochrane tentang ubat yang paling berkesan dan paling selamat untuk orang dewasa dengan LBP tidak spesifik.

Apa yang kami buat?

Kami mencari semua ulasan sistematik Cochrane yang menilai manfaat dan kemudaratan ubat untuk orang dewasa dengan LBP tidak spesifik untuk menghasilkan gambaran keseluruhan bukti Cochrane.

Apakah yang telah kami dapati?

Kami menemui tujuh ulasan (yang menyertakan 103 kajian ke atas sejumlah 22,238 orang). Lima ulasan dinilai mempunyai kualiti yang tinggi. Ulasan yang disertakan melaporkan data mengenai enam ubat atau kelas ubat yang berbeza: paracetamol, NSAID (contohnya, ibuprofen), ubat pengenduran otot (contohnya, cyclobenzaprine), benzodiazepine (contohnya, diazepam), opioid (contohnya, tapentadol), dan antidepresan (contohnya, paroxetine). Lima ulasan menyertakan peserta yang melaporkan LBP yang berkekalan lebih lama daripada enam minggu. Keyakinan terhadap bukti adalah dari sangat rendah hingga tinggi.

Bagi orang yang mempunyai LBP akut, kami mendapati bahawa NSAID dan ubat pengenduran otot boleh mengurangkan kesakitan dalam jangka pendek (≤ tiga bulan selepas intervensi). Walau bagaimanapun, ubat pengenduran otot mungkin dikaitkan dengan kesan yang tidak diingini. Paracetamol tidak mempunyai kesan pada kesakitan atau kesan yang tidak diingini dan tiada ulasan melihat pada opioid atau antidepresan. Untuk LBP kronik, kami mendapati bahawa opioid boleh mengurangkan kesakitan dalam jangka pendek tetapi mungkin dikaitkan dengan kesan yang tidak diingini seperti loya, sakit kepala, sembelit, dan pening. NSAID boleh mengurangkan kesakitan dalam tempoh pertengahan (> 3 bulan dan ≤ 12 bulan selepas intervensi) tanpa kesan yang tidak diingini. Antidepresan tidak mempunyai kesan ke atas LBP kronik dan tiada ulasan melihat pada paracetamol untuk LBP kronik.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang kurang terhadap bukti kerana satu ulasan adalah berkualiti sederhana dan satu ulasan adalah berkualiti rendah dan enam ulasan telah diterbitkan lebih daripada lima tahun lalu. Terdapat keperluan untuk mengemas kini Ulasan Cochrane ini mengikut panduan yang disyorkan.

Untuk LBP akut, kami sekurang-kurangnya berkeyakinan sederhana tentang kesan paracetamol, NSAID dan ubat pengenduran otot terhadap kesakitan dan fungsi jangka pendek. Untuk titik masa lain dan ubat lain (contohnya opioid, antidepresan), kami tidak mempunyai bukti untuk memaklumkan keputusan rawatan.

Untuk LBP kronik, kami sekurang-kurangnya berkeyakinan sederhana tentang kesan paracetamol dan opioid terhadap kesakitan dan fungsi jangka pendek tetapi kurang yakin tentang kesan ubat lain (contohnya NSAID, antidepresan, ubat pengenduran otot, dan benzodiazepine). Faktor yang mengurangkan keyakinan terhadap penemuan termasuk kelemahan dalam cara kajian direka (pesakit tidak diberikan rawatan secara rawak, pengagihan untuk rawatan tidak disembunyikan, pesakit tidak mematuhi rawatan yang ditetapkan), tidak mempunyai kajian atau peserta yang mencukupi untuk mempunyai kepastian tentang keputusan, dan variasi antara cara pemberian rawatan.

Definisi dan pelaporan kesan yang tidak diingini untuk setiap ubat dalam setiap ulasan adalah terhad, menjadikannya sukar untuk menilai keselamatan untuk setiap intervensi farmakologi. Masih terdapat jurang yang jelas dalam pangkalan bukti untuk keselamatan ubat-ubatan untuk LBP.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2021

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information