Adakah intervensi sokongan sosial membantu penghidap penyakit jantung? 

Mesej utama

Tidak terdapat bukti jelas yang menyarankan bahawa sokongan sosial atau program rangkaian sosial membantu penghidap penyakit jantung.  

Program-program ini mungkin menghasilkan sedikit peningkatan dalam kualiti hidup dan tekanan darah. 

Ulasan kami mengesyorkan bahawa, walaupun sokongan sosial atau intervensi rangkaian sosial mungkin berpotensi untuk membantu penghidap penyakit jantung, kajian yang lebih berkualiti tinggi dan dilaporkan dengan jelas diperlukan untuk membuktikan sebarang keberkesanan. 

Apakah itu penyakit jantung? 

Istilah ‘penyakit jantung’ merujuk kepada pelbagai penyakit yang menjejaskan jantung, termasuklah: penyakit jantung koronari (penyakit saluran darah jantung); masalah ritma jantung (aritmia, seperti fibrilasi atrium); jangkitan jantung; dan kecacatan jantung kongenital. Simptom penyakit jantung yang biasa adalah sakit dada (angina) dan serangan jantung (infarksi miokardium). Penyakit jantung adalah punca biasa kematian awal di seluruh dunia. Program pemulihan jantung moden biasanya direka untuk menangani faktor fizikal, mental dan sosial, serta untuk menyokong penghidap penyakit jantung dalam kehidupan seharian mereka. 

Mengapakah program sokongan sosial boleh membantu penghidap penyakit jantung? 

Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa tahap sokongan sosial yang rendah dan pengasingan sosial dikaitkan dengan kesihatan yang tidak baik bagi penghidap penyakit jantung. Rangkaian sosial atau intervensi sokongan sosial bertujuan menggunakan hubungan sosial untuk menyokong tingkah laku yang sihat, dan mungkin melibatkan pasangan, ahli keluarga, rakan, rakan sebaya yang lain atau penjaga. Walaupun beberapa penyelidikan menyarankan bahawa program sedemikian mungkin menyumbang kepada peningkatan kesihatan dalam kalangan penghidap penyakit jantung, tiada semakan sistematik untuk bukti sehingga kini. 

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada program yang direka untuk membantu penghidap penyakit jantung, yang melibatkan komponen sokongan sosial yang diterangkan dengan jelas, mungkin menambah baik: 

 - kematian (daripada penyakit jantung, atau sebarang sebab lain);

 - kemasukan ke hospital;

 - kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan.

Kami juga ingin mengetahui sekiranya program menambah baik mana-mana faktor lain yang berkaitan, seperti kesihatan mental dan kesejahteraan, dan pengasingan sosial. 

Apa yang telah kami lakukan? 
Kami mencari pangkalan data untuk kajian rawak terkawal (RCT) bagi rangkaian sosial atau intervensi sokongan sosial untuk penghidap penyakit jantung. 

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami dapati?

Kami mendapati 54 kajian yang layak melibatkan 11,445 orang dengan penyakit jantung. Kami mendapati variasi yang luas dalam jenis intervensi yang dirangkumkan dalam semakan, dari segi program yang disertakan, bagaimana dan oleh siapa ia disampaikan, dan kejelasan ia dilaporkan. 

Kebanyakan peserta adalah lelaki, dengan purata umur antara 49 hingga 76 tahun. Kajian melibatkan orang yang mengalami kegagalan jantung, pasca infarksi miokardium (serangan jantung), pelbagai penyakit jantung, dan pasca revaskularisasi (prosedur untuk meluaskan arteri yang tersumbat atau menyempit). 

Kami mendapati bahawa rangkaian sosial atau intervensi sokongan sosial tidak mempunyai kesan yang jelas terhadap kematian, kemasukan ke hospital, atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. 

Apakah batasan bukti?

Pelaporan faktor-faktor seperti jenis program yang disertakan, cara ia disampaikan dan cara ia diuji adalah sangat berbagai-bagai. Ini menyebabkan kesukaran dalam menilai bukti yang dikemukakan. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2022. 

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information