Progestogen berbanding agonis hormon pelepasan gonadotropin (GnRH), antagonis GnRH, dan progestogen lain bagi wanita yang menjalani teknologi pembiakan yang dibantu (ART)

Soalan ulasan

Pengarang Cochrane telah mengulas bukti mengenai kesan progestogen berbanding agonis pelepasan gonadotropin (GnRH), antagonis GnRH, dan progestogen lain dalam kalangan wanita yang menjalani teknologi pembiakan yang dibantu.

Latar belakang

Agonis dan antagonis GnRH adalah ubat-ubatan yang mempengaruhi hormon yang berkaitan dengan kesuburan. Mereka biasanya digunakan untuk menghalang hormon yang dipanggil hormon luteinising daripada menyebabkan ovulasi pramatang pada wanita yang menjalani rawatan teknologi pembiakan yang dibantu. Ini penting kerana ovulasi secara spontan boleh menyebabkan pembatalan pengambilan telur. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini mahal dan perlu disuntik. Satu pendekatan alternatif adalah dengan menggunakan progestogen, yang merupakan hormon steroid, kerana mereka mungkin sama efektif tetapi diambil secara oral, yang boleh mengurangkan kos dan meningkatkan kepuasan pesakit. Kami telah menjalankan perbandingan manfaat dan risiko kedua-dua rawatan ini, menggunakan pelbagai jenis progestogen, seperti medroksiprogesteron.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 14 kajian yang membandingkan progestogen oral dengan agonis GnRH, antagonis, dan progestogen lain dalam jumlah keseluruhan 3224 wanita yang menjalani teknologi pembiakan yang dibantu. Bukti adalah terkini hingga Disember 2021.

Keputusan utama

Empat belas kajian yang direka dengan baik telah dimasukkan dalam analisis ini.

Progestogen berbanding antagonis GnRH

Bukti menunjukkan bahawa jika peluang kelahiran bayi hidup berikutan antagonis GnRH diandaikan adalah 18%, peluang selepas medroksiprogesteron asetat (progestogen) adalah di antara 14% dan 32%.

Kadar pembatalan mungkin tidak mempunyai perbezaan di antara progestogen dan antagonis GnRH dan mungkin berkurangan sedikit dalam agonis GnRH berbanding dengan medroksiprogesteron asetat 4 mg.

Tiada kesimpulan yang boleh diperolehi berkenaan kadar kehamilan klinikal dan kadar keguguran apabila membandingkan progestogen dengan antagonis GnRH.

Dalam wanita dengan jumlah telur yang normal (normo-responders), progesteron mikronisasi (progestogen) mungkin meningkatkan jumlah oosit MII sebanyak 2 hingga 6 berbanding dengan antagonis GnRH.

Kemungkinan terdapat perbezaan sedikit atau tidak ada dalam dos gonadotropin.

Progestogen berbanding agonis GnRH

Mungkin tidak ada perbezaan dalam kadar kelahiran bayi hidup apabila membandingkan medroxyprogesterone asetat 4 mg (progestogen) dengan agonis GnRH pada responden-normo yang menjalani teknologi pembiakan dibantu.

Bukti menunjukkan bahawa jika peluang pembatalan kitaran selepas agonis GnRH diandaikan sebagai 5%, peluang selepas medroxyprogesterone asetat 4 mg (progestogen) akan berada di antara 2% dan 16%.

Tiada kesimpulan yang dapat diperoleh mengenai kadar kehamilan klinikal dan kadar keguguran apabila membandingkan progestogen dengan agonis GnRH.

Mungkin terdapat perbezaan yang sedikit atau tiada pada oosit MII.

Medroxyprogesterone asetat 4 mg (progestogen) mengurangkan dos gonadotropin berbanding dengan agonis GnRH.

Satu progestogen berbanding progestogen lain

Tiada kajian yang melaporkan kadar kelahiran bayi hidup yang dimasukkan dalam analisis utama.

- Dydrogesterone kemungkinan mengurangkan kadar pembatalan berbanding dengan medroxyprogesterone asetat dan progesteron mikronisasi.

- Medroxyprogesterone asetat menunjukkan kadar pembatalan yang sedikit lebih rendah berbanding dengan progesteron mikronisasi 100 mg.

- Medroxyprogesterone asetat 10 mg kemungkinan menunjukkan kadar pembatalan pengambilan oosit yang lebih rendah berbanding dengan medroxyprogesterone asetat 4 mg.

- Data-data tidak mencukupi mengenai kesan-kesan tidak diingini lain.

Bukti menunjukkan bahawa:

- Jika peluang pembatalan mengikuti medroxyprogesterone asetat 10 mg diandaikan sebagai 5%, peluang mengikuti medroxyprogesterone asetat 4 mg adalah di antara 5% dan 22%;

- Jika peluang pembatalan mengikuti progesteron mikronisasi 100 mg diandaikan sebagai 17%, peluang mengikuti medroxyprogesterone asetat 4 mg adalah di antara 8% dan 24%;

- Jika peluang pembatalan mengikuti dydrogesteron 20 mg diandaikan sebagai 7%, peluang mengikuti medroxyprogesterone asetat 10 mg adalah di antara 6% dan 17%;

- Jika peluang pembatalan mengikuti dydrogesteron 20 mg diandaikan sebagai 12%, peluang mengikuti medroxyprogesterone asetat 4 mg adalah di antara 8% dan 24%

- Jika peluang pembatalan mengikuti dydrogesteron 20 mg diandaikan sebagai 11%, peluang mengikuti progesteron mikronisasi 100 mg adalah di antara 10% dan 24%.

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kehamilan klinikal dan kadar keguguran antara medroxyprogesterone asetat 10 mg (progestogen) dan dydrogesterone 20 mg (progestogen).

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam oosit MII dan dos gonadotropin.

Bukti tentang peristiwa tidak diingini lain yang sederhana atau teruk dilaporkan dengan buruk dan tidak menunjukkan kesimpulan yang jelas untuk semua perbandingan.

Apakah batasan bukti?

Masih terdapat ketidakpastian tentang sama ada sebarang progestogen dibandingkan di antara mereka atau dengan antagonis GnRH atau agonis GnRH mengubah peluang untuk melahirkan bayi. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar pembatalan pengambilan telur apabila dibandingkan dengan antagonis GnRH dan progestogen mungkin meningkatkan risiko pembatalan apabila dibandingkan dengan agonis GnRH. Di antara progestogen, kadar pembatalan mungkin lebih rendah dalam didrogesteron berbanding yang lain, dan medroksiprogesteron asetat 10 mg mungkin lebih baik daripada medroksiprogesteron asetat 4 mg dan progesteron mikronis. Kepastian bukti telah dinilai sebagai rendah. Ini disebabkan kebanyakan perbandingan hanya melibatkan satu kajian yang tidak mendaftarkan jumlah wanita yang mencukupi untuk memberikan hasil yang bermakna. Ini bermaksud bahawa keputusan kajian mesti ditangani dengan berhati-hati, dan kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan penemuan.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kelly Sze Fang Num. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Ui, s

Tools
Information