Rejimen antibiotik untuk sepsis neonatal lewat

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti yang ada mengenai rejimen antibiotik yang berbeza untuk bayi baru lahir (dari 72 jam kehidupan hingga satu bulan kehidupan), dengan sepsis lewat.

Latar belakang

Sepsis pada bayi baru lahir adalah keadaan yang serius dan berpotensi mengakibatkan kematian, disebabkan oleh tindak balas badan terhadap jangkitan. Sepsis neonatal adalah penyebab utama yang ketiga bagi kematian neonatal secara global . Walaupun terdapat beban yang tinggi pada sepsis dalam bayi yang baru lahir, bukti berkualiti tinggi dalam diagnosis dan rawatan adalah kurang. Ulasan Cochrane ini asalnya diterbitkan pada 2005. Untuk mengenal pasti polisi antibiotik yang paling sesuai bagi sepsis neonatal, terdapat keperluan untuk mendasarkan polisi ini pada ulasan yang dikemas kini dan dilakukan dengan baik. Oleh itu, terdapat keperluan untuk ulasan yang menilai kesan rejimen antibiotik yang berbeza untuk sepsis neonatal lewat.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021. Kami menyertakan lima kajian yang merawakkan 580 peserta. Lima kajian membandingkan lima rejimen antibiotik yang berbeza.

Keputusan utama

Kami menyertakan lima kajian: satu kajian membandingkan cefazolin serta amikacin dengan vancomycin serta amikacin; satu kajian membandingkan ticarcillin serta asid clavulanic dengan flucloxacillin serta gentamicin; satu kajian membandingkan cloxacillin serta amikacin dengan cefotaxime serta gentamicin; satu kajian membandingkan meropenem dengan penjagaan piawai (ampicillin serta gentamicin atau cefotaxime serta gentamicin); dan satu kajian membandingkan vancomycin serta gentamicin, dengan vancomycin serta aztreonam.

Tidak ada satu pun dari lima perbandingan antibiotik yang menunjukkan bahawa pilihan antibiotik mempengaruhi kesan kematian akibat semua sebab, kejadian buruk yang serius (iaitu komplikasi utama), sokongan peredaran darah, nefrotoksisiti (toksisiti pada buah pinggang), gangguan perkembangan neurologi (kecacatan dalam fungsi otak yang mempengaruhi tingkah laku, ingatan, atau kemampuan belajar anak), atau enterokolitis nekrotik (tisu di usus menjadi radang dan mula mati). Bukti terkini tidak dapat mengesahkan atau menolak, satu rejimen antibiotik adalah lebih baik daripada yang lain disebabkan kekurangan data.

Kualiti bukti

Kesimpulan kami adalah berdasarkan bukti yang berkualiti sangat rendah. Lima kajian tersebut mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi (iaitu kajian dijalankan dengan cara yang mungkin mempengaruhi keputusan pada hala yang positif). Di samping itu, lima kajian tersebut menyertakan peserta yang sedikit, menjadikan keputusan ulasan ini tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information